Cari Blog Ini

Senin, 07 Juli 2014

Haqiki-58. Perbendaharaan Yang Tersembunyi (35)

Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu.

Bismillahirrahmanirrahim
Allahummashalli 'alaa Muhammad wa'alaa aalihi wa ashabihi wadlurriyatihi
washallim.

 


“Alhamdulillahi nasta’iinuhu wanastagh firuhu wana’uudzubillaahi min syuruuri anfusinaa waminsayyi ati a’ maalinaa man yahdihillahu falaa mudhilla lahu waman yudhlil falaa haadiya lahu, asyhadu anlaa ilaha illallaahu wah dahulaa syariikalahu wa asyhadu anna muhammadan ‘abduhuu warasuuluhu la nabiya ba’da.”

Haqiki
 
35. Perbendaharaan Yang Tersembunyi
 
Juru-bicara dalam diri si hamba menyampaikan: ” Allah s.w.t bertitah, Jangan sesiapa mengganggu Keesaan-Ku. Tidak ada sesiapa dapat merobohkan Keperkasaan-Ku. Sesiapa yang mencerobohi Benteng Keperkasaan-Ku akan Aku bakar dengan api Keagungan-Ku dan dia akan binasa! Selamatkanlah diri kamu. Pergilah kamu dan masuklah kamu ke dalam Perbendaharaan-Ku Yang Tersembunyi untuk mengenal Daku sekadar Daku izinkan engkau mengenali Daku’”.
 
Perbendaharaan Yang Tersembunyi itu bernama: Laa Ilaa Ha Illallahh
Pintu gerbangnya bernama: Muhammadur Rasulullah

Kuncinya bernama:
Bismillah Hirrah Maa nirrahim Cahaya yang menerangi di dalamnya bernama:
Al Fatihah Kenderaan di dalamnya bernama:
Laa Hau lawala kuwataillah billah
 
Dengan izin Allah s.w.t si hamba masuk ke dalam Perbendaharaan-Nya Yang Tersembunyi.
HAKIKAT ASMA’ (NAMA-NAMA ALLAH S.W.T)

Ke mana sahaja kamu hadapkan muka kamu di situ Wajah Allah. ( Ayat 115 : Surah al-Baqarah )
Di dalam Perbendaharaan-Nya Yang Tersembunyi, ke mana sahaja di halakan pandangan hanya Wajah-Nya yang kelihatan. Wajah-Nya disaksikan sebagai:
Wajah-Nya menyata melalui sifat-sifat dan nama-nama-Nya. Wajah-Nya disaksikan melalui Jamal-Nya dan Jalal-Nya. Wajah Jamal-Nya menyata melalui nama-nama: ar-Rauf, al-Wadud, al-Halim, al-Karim, al’Afuwwu, al-Ghaffar, al-Mannan, al-Hannan, as-Sobbur, asy-Syakur dan ar-Razak. Wajah Jalal-Nya menyata melalui Nama-nama: al-Jabbar, al-Muntaqim, al-‘Aziz, al-Muta’al, al-Mutakabbir, al-Muhaimin, al-Jalil, al-‘Adzim, al-Kabir, al-Mu’iz, al-Qabidh dan al-Khafidh. Nama-nama Tuhan ada yang menunjukkan kepada sifat dan ada yang menunjukkan kepada Zat. Aspek Zat yang boleh disifatkan dipanggil tasybih dan yang tidak boleh disifatkan dipanggil tanzih. Kesempurnaan jiwa hamba adalah berada di antara kedua-dua aspek tersebut:
Tiada sesuatupun yang sebanding dengan-Nya dan Dia Mendengar dan Melihat (Ayat 11 : Surah asy-Syura )

Walaupun Dia tidak serupa dengan sesuatu tetapi Dia adalah Mendengar dan Melihat. Allah s.w.t menyatukan kedua-dua aspek tersebut pada satu ayat. Bila kedua-dua aspek tersebut menyatu pada jiwa si hamba dia akan merasakan ketenteraman dan kedamaian.

Ada nama-nama-Nya yang kelihatan sebagai berlawanan di antara satu dengan yang lain. Al-Hayyun menghidupkan dan al-Mumit mematikan. Al-Hadi memberi petunjuk dan al-Muzil menyesatkan. Kelihatan seolah-olah ada perlumbaan di antara nama-nama yang berlawanan sifat. Muncullah as-Salam yang mensejahterakan sehingga tidak berlaku perlumbaan atau perlawanan. Sekaliannya berada dalam kesejahteraan, mengambil bidang masing-masing tanpa mengganggu bidang yang lain. Percantuman dua perkara yang berbeza melahirkan pengenalan yang sebenarnya.
Dia Yang Awal dan Dia juga Yang Akhir, Dia Yang Zahir dan Dia juga Yang Batin. ( Ayat 3 : Surah al-Hadiid )

As-Salam yang mensejahterakan membawa setiap nama kepada ketetapan bidang tugas masing-masing. Bila sekaliannya berada dalam ketetapan as-Samad melengkungi sekaliannya. As-Samad menjadi sempadan bagi satu nama dan juga sempadan bagi sekalian nama-nama. Kesemua nama-nama dikemudikan oleh al-Wahid, memperkenalkan Wahdaniatik, keesaan Tuhan. Al-Wahid memimpin sekalian nama-nama bagi memperkenalkan al-Ahad. 

Penyaksian terhadap Wahdaniatik Tuhan membawa pengakuan terhadap kedudukan-Nya sebagai al-Malik, Raja yang memerintah dan juga al-Malik-ul-Mulk, Raja kepada segala kerajaan, dan juga Rabbul Arbab, Tuhan yang menguasai sekalian bakat-bakat ketuhanan. Kesemuanya menceritakan yang satu iaitu ALLAH! ALLAH adalah nama yang paling agung yang mengandungi dan menyimpulkan sekalian nama-nama yang lain.ALLAHmenunjukkan terkumpulnya sekalian nama-nama dan ALLAH adalah juga nama bagi Zat.

Sesungguhnya ALLAH menguasai segala sesuatu ( Ayat 20 : Surah al-Baqarah )ALLAH yang memegang semua kekuasaan menetapkan:
Tidak ada satu pun yang melata melainkan Dia yang menguasai ubun-ubunnya. Dan Tuhanku adalah di atas jalan yang lurus. ( Ayat 56 : Surah Hud )

Allah s.w.t menetapkan nama-nama-Nya menjadi hakikat-hakikat yang menguasai sekalian kejadian-Nya. Setiap yang maujud ubun-ubunnya dipegang oleh nama Tuhan dan nama Tuhan yang menjadi hakikat itu mengheret makhluk yang di bawah bidang kekuasaan-Nya pada jalan yang Allah s.w.t telah tentukan. Tidak ada satu makhluk pun boleh bebas daripada nama Tuhan yang menjadi hakikat yang menguasainya. Nama al-Hadi membimbing seseorang kepada jalan yang benar. Semua guru-guru merupakan ‘cermin’ tempat zahirnya kesan kekuasaan al-Hadi.

 Sesiapa sahaja yang mendapat bimbingan kepada jalan yang lurus dan sesiapa sahaja yang membimbingnya, pada hakikatnya al-Hadi yang memberi bimbingan. Al-Muzil mempunyai kekuatan untuk menyesatkan dan kekuatan ini terzahir pada makhluk-Nya yang bernama iblis. Sekalipun kelihatan iblis yang menyesatkan manusia tetapi iblis bukan berdiri dengan sendiri. Iblis tidak mempunyai sebarang kekuasaan. Allah s.w.t mengizinkan iblis menumpang kekuasaan al-Muzil. Oleh kerana iblis menumpang kekuasaan nama Tuhan maka tidak ada kekuasaan makhluk dapat mengalahkannya. Hanya satu sahaja kekuasaan yang mampu mengatasinya, iaitulah kekuasaan ALLAH yang menguasai segala kekuasaan. 

Lantaran itu Dia mengajarkan:
Daku berlindung kepada ALLAH dari syaitan yang direjamSegala kekuasaan tunduk kepada kekuasaan ALLAH. Allah yang memiliki segala kekuasaan itu menetapkan:
Barangsiapa dibimbing oleh Allah pada jalan yang benar, engkau tidak dapat menyesatkannya. Dan barangsiapa yang disesatkan oleh Allah, engkau tidak dapat membimbingnya kepada jalan yang benar. ( Maksud Hadis )

Manusia hanya ada satu pilihan sahaja iaitu tunduk menyerah kepada Allah s.w.t. Penyerahan kepada Allah s.w.t merupakan kekuatan maksima yang tidak terkalahkan oleh kekuatan yang lain.
Oleh kerana nama-nama Tuhan menjadi hakikat yang menguasai segala sesuatu, maka tidak ada makhluk yang dapat mengubah perjalanan hakikat yang menguasainya. Unta tidak boleh meminta menjadi matahari. Bulan tidak boleh meminta menjadi bumi. Gunung tidak boleh meminta menjadi langit. Malaikat tidak boleh meminta menjadi manusia. 

Manusia tidak boleh meminta menjadi Tuhan. Setiap sesuatu dikawal oleh hakikat masing-masing. Dalam aspek ini setiap kejadian Tuhan tidak mempunyai pilihan. Mereka adalah hamba yang terikat. Sebagai satu kejadian yang dikawal oleh satu hakikat ia bebas bergerak di dalam sempadan hakikatnya. Oleh kerana nama Tuhan menjadi hakikat maka makhluk memperolehi bakat-bakat yang berkuasa melahirkan kesan. Hakikat yang menguasai manusia adalah hakikat yang paling lengkap dan sempurna. Tidak ada yang dapat mengatasi apa yang ada dengan manusia. Keistimewaan hakikat yang menguasai manusia menyebabkan di dalam sempadan kemanusiaan, manusia bebas melahirkan fikiran, perbuatan, kehendak dan pilihan. Dalam aspek ini manusia adalah hamba yang merdeka.

Hakikat yang menguasai makhluk itulah yang menyebabkan makhluk mendapat nikmat penciptaan dan nikmat kesinambungan kewujudan. Hakikat menjadi pemangkin atau hijab yang mempertahankan apa yang Tuhan ciptakan. Hubungan wujud makhluk dengan Wujud hakikat adalah perkaitan mumkinul wujud dengan Wajibul Wujud. Wujud hakikat adalah wujud ketuhanan, wujud pemerintah atau pentadbiran ketuhanan. Wujud makhluk adalah wujud yang diperintah, wujud yang menumpang, yang bergantung, berhajat dan berharap kepada wujud yang memerintah.


Hakikat bukanlah makhluk. Ia adalah suasana pentadbiran Tuhan. Qadak dan Qadar yang ditentukan Tuhan adalah di dalam sempadan hakikat yang daripada suasana tersebut berlakulah takdir. Takdir tidak menyimpang daripada hakikat yang menguasainya. Setiap makhluk di heret oleh hakikat yang menguasainya. Sesiapa yang berhakikatkan hakikat kenabian akan menjadi nabi. Sesiapa yang berhakikatkan hakikat kewalian akan menjadi wali. Sesiapa yang berhakikatkan Hakikat Manusia akan menjadi manusia.

Tiada perubahan dalam kalimat Allah itu. ( Ayat 64 : Surah Yunus )

Orang yang mengenal dirinya sebenarnya mengenali hakikat yang menguasai dirinya, iaitu suasana ketuhanan yang menguasai kewujudan dan penghidupannya. Mengetahui hakikat ketuhanan yang menguasai diri tidak menjadikan diri itu Tuhan. Tuhan tetap Tuhan tidak berubah menjadi hamba. Hakikat ketuhanan adalah pemerintah dan hamba pula adalah makhluk yang diperintah. Diri tetap berada pada taraf kehambaan walaupun mengenali hakikat ketuhanan.

Diri yang menetap pada kedudukan kehambaan dengan menyerah sepenuhnya kepada pemerintah itulah sebenarnya wali Tuhan. Wali Tuhan pada peringkat ini menetap pada makam kehambaan dengan menyaksikan Rububiah pada setiap ketika dan dalam semua suasana.
bersambung......


Wallahu'alam  
Barakallahu Fikum 
Wasalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatu 

Allahumma shalli 'alaa Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamasollaita'ala Ibrahim.
Wabarik'ala Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamabarakta'ala Ibrahima fil'alamin.
innaka hamidunmajid
amiin Ya Karim
amiin Ya Wahhab..amiin Ya "Alimun

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly   1 Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu. Bismillahirrahmanirrahim Allahummashalli 'al...