Cari Blog Ini

Senin, 07 Juli 2014

Haqiki-61. 36. Kembali Menyaksikan Kewujudan Diri Sendiri (hakikat Abdul Rab)

Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu.

Bismillahirrahmanirrahim
Allahummashalli 'alaa Muhammad wa'alaa aalihi wa ashabihi wadlurriyatihi
washallim.

 


“Alhamdulillahi nasta’iinuhu wanastagh firuhu wana’uudzubillaahi min syuruuri anfusinaa waminsayyi ati a’ maalinaa man yahdihillahu falaa mudhilla lahu waman yudhlil falaa haadiya lahu, asyhadu anlaa ilaha illallaahu wah dahulaa syariikalahu wa asyhadu anna muhammadan ‘abduhuu warasuuluhu la nabiya ba’da.”

Haqiki

HAKIKAT ABDUL RAB
Jalan Hakikat Abdul Rab (hamba Tuhan) jarang ditemui kerana kebanyakan manusia mencari Insan Kamil. Mereka menyangkakan menjadi Insan Kamil merupakan kemuncak pencapaian. Mereka tidak tahu bahawa menjadi Hamba Tuhan itulah kesempurnaan jalan. Orang yang benar dengan Allah s.w.t ‘menemui’ Insan Kamil untuk dibawa kepada jalan Hamba Tuhan. Insan Kamil berperanan membuka jalan kehambaan kerana Insan Kamil mempunyai ilmu yang sempurna tentang Allah s.w.t dan pengabdian kepada-Nya. Salinan Insan Kamil yang paling sempurna, Nabi Muhammad s.a.w, membawa sahabat-sahabat baginda s.a.w ke jalan menghambakan diri kepada Tuhan dengan sebenar-benar kehambaan. Mereka tidak mengejar makam-makam dan martabat dan tidak juga mengejar kekeramatan. Makam yang mereka tuntut ialah makam hamba Tuhan. Martabat yang mereka cari adalah ketakwaan kepada Tuhan. Kekeramatan yang mereka kejar adalah berjihad pada jalan Tuhan.

Si hamba bergerak jauh daripada daerah Insan Kamil. Pengetahuan dan pengenalan yang diperolehinya daripada ‘pertemuan’ dengan Insan Kamil itu sangat berguna bagi memperkuatkan kehambaannya. Berbekalkan pengetahuan dan pengenalan tersebut dia meneruskan perjalanannya bagi mencari kedudukannya sebagai seorang hamba Tuhan. Pada tahap ini kesedaran kemanusiaannya belum kembali sepenuhnya. Dia masih lagi dikuasai oleh kesedaran dalam Ilmu.
Kemudian si hamba mendengar Juru-bicara dari dalam dirinya membacakan:
Masuklah engkau (Abdul Rab) ke dalam golongan hamba-hamba-Ku dan masuklah engkau ke dalam syurga-Ku. ( Ayat 30 : Surah al-Fajr )

Ketika menaik, pada stesen ke sembilan, si hamba mendengar bacaan di atas sebagai ujian. Pada peringkat kesedaran di dalam Ilmu ini pula ayat tersebut merupakan perintah. Dia diperintahkan keluar daripada kesedaran Ilmu dan masuk sepenuhnya ke dalam kesedaran kemanusiaan. Syurga adalah barzakh atau sempadan atau pun suasana peralihan di antara kesedaran Ilmu dengan kesedaran kemanusiaan, kesedaran hakikat dengan kesedaran insan, suasana Pemerintah dengan suasana yang diperintah. Jasad Adam a.s diciptakan di dalam syurga dan di dalam syurga juga ia menerima tiupan dari Roh Allah s.w.t. Di dalam syurga wujud yang diperintah menerima bakat dan keupayaan daripada wujud yang memerintah. Anasir jasad dicantumkan dengan anasir rohani di dalam syurga kerana satu tujuan:
Sesungguhnya Aku hendak ciptakan khalifah di bumi. ( Ayat 30 : Surah al-Baqarah ) Roh yang membawa bakat kekhalifahan berjumpa dengan jasad yang menyatakan bakat kekhalifahan itu. Pertemuan itu berlaku di dalam syurga. Pada peringkat ini si hamba yang di dalam kesedaran Ilmu itu menyaksikan jalan penurunan ke Alam Arwah, daripada kesedaran Ilmu kepada kesedaran rohani.

Sebelum keluar daripada kesedaran Ilmu si hamba diberi kekuatan untuk menghadapi dunia yang akan menjadi tempat menetapnya nanti sehingga ke akhir hayatnya. Si hamba tidak perlu takut kepada kehuru-haraan dunia kerana dengan izin Allah s.w.t kekuasaan dunia telah dicabut daripadanya sewaktu dia melalui proses menaik dahulu melalui suasana:
Matilah kamu sebelum kamu mati. ( Maksud Hadis ) Kesedaran terhadap hakikat ketuhanan iaitu Hakikat Abdul Rab, yang menguasainya memberinya kekuatan untuk menghadapi apa yang selain Tuhan. Hamba yang kembali ‘bersama’ Hakikat Abdul Rab merasakan dirinya yang lama sudah ‘kiamat’ dan diri yang baharu bergerak menurut kehendak dan peraturan Allah s.w.t. Tuhan menceritakan suasana sesudah kiamat:
Pada hari yang akan digantikan bumi ini dengan bumi lain dan semua langit juga. Dan akan tampil mereka ke hadapan Allah Yang Maha Esa, Maha Perkasa. ( Ayat 48 : Surah Ibrahim )
Hamba yang menyaksikan penguasaan ketuhanan terhadap dirinya kembali kepada kesedaran rohani dalam keadaan seolah-olah telah berlaku kiamat dan segala sesuatu diheret ke hadapan Allah, Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. Tidak akan ada sesuatu yang keluar daripada kekuasaan dan keperkasaan Tuhan.

Ketika di dalam kesedaran rohani itu si hamba mendapat pengetahuan yang jelas bahawa kesempurnaan jalan bagi kehidupan di bumi adalah gabungan jalan kenabian dan jalan asma’. Jalan kenabian adalah syariat, iaitu mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.
Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku. ( Ayat 56 : Surah adz-Dzaariyaat )

Jalan Asma’ adalah menyaksikan Rububiah atau hakikat ketuhanan atau pun urusan Tuhan, pada setiap masa dan dalam semua suasana.
Apa sahaja yang melata ubun-ubunnya adalah dalam genggaman Tuhannya. Dan Tuhanku berada di atas jalan yang lurus. ( Ayat 56 : Surah Hud )

Bukan kamu yang membunuh mereka tetapi Allah yang membunuh mereka. Dan bukan kamu yang melimpar ketika kamu melimpar tetapi Allah yang melimpar, kerana Dia mahu memberi kemenangan kepada orang-orang yang beriman dari (jihad) itu satu nikmat yang baik. Sesungguhnya Allah Mendengar, Melihat. ( Ayat 17 : Surah al-Anfal )

Kesempurnaan jalan yang menggabungkan kedua-dua jalan tersebut, iaitu bersungguh-sungguh melaksanakan perintah Allah s.w.t dan tidak lalai daripada mengingati serta memperhatikan sesuatu tentang-Nya pada setiap waktu dan semua suasana.

Dalam kesedaran rohani si hamba menyaksikan:
Ya Allah! Engkau adalah Tuhan dan daku adalah hamba-Mu. Ketika di dalam kesedaran rohani itu juga si hamba memperakui kewujudannya yang berjasad. Gabungan rohani dan jasad si hamba menyaksikan:

Aku naik saksi tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi Muhammad adalah Rasul Allah.Itulah penyaksian seorang insan yang menanggung amanah:  
1: Rukun Islam. 2: Rukun Iman. 3: Rukun Ihsan

Kepada para insan yang berpegang teguh dengan amanah tersebut dibacakan ayat penetapan: Ingatlah! Bahawa sesungguhnya aulia Allah itu tidak mereka takut dan tidak mereka berdukacita. Mereka adalah beriman dan mereka sebenarnya bertakwa. Mereka mendapat berita gembira di kehidupan dunia dan di hari akhirat; tiada lagi perubahan pada ketentuan Allah, itulah keuntungan yang besar.

( Ayat 62 – 64 : Surah Yunus )Si hamba memasuki daerah kesedaran rohani dengan munajat: “Ilahi! Daku bukan seorang abid, maka daku tidak kuat beribadat. Daku bukan seorang alim, maka daku tidak tahu menyeru. Daku hanyalah seorang penyerah, maka terimalah daku. Lakukan apa yang Engkau mahu dengan diriku. Daku jualkan diriku kepada-Mu. Harganya adalah sabar, reda, tawakal dan ikhlas. Engkau ambillah diriku dan kurniakan kepadaku sabar, reda, tawakal dan ikhlas. Izinkan daku memakai pakaian sebagai hamba-Mu”.

Kemudian si hamba membacakan:
Katakanlah: “Wahai Tuhanku! Masukkan daku dengan kemasukan yang baik dan keluarkan daku dengan keluaran yang baik. Dan jadikanlah untukku pertolongan yang langsung dari-Mu sebagai kekuatan yang menolong”. ( Ayat 80 : Surah Bani Israil )
“Engkau jualah Pelindung diriku, yang memfitrahkan daku untuk berdiri di antara kedua Tangan-Mu, Jalal dan Jamal-Mu, dan menetapkan daku dalam makam Hadrat-Mu. Nur-Mu yang menjadi perisai melindungi daku dalam melaksanakan perintah dan peraturan-Mu”.


Maha Suci Engkau, Tuhanku, Tuhan Yang Maha Perkasa dari apa yang mereka sifatkan. Dan salam sejahtera atas sekalian yang diutus. Dan segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Kemudian si hamba mengalami suasana kebatinan yang digambarkan sebagai “dinding Kaabatullah terbuka dan terbentanglah bumi baharu yang rata dan sangat luas, dilengkungi oleh Rahmaniat Tuhan”. Si hamba diterangi oleh cahaya Hakikat Ahmadiah.
bersambung......
Wallahu'alam  


Barakallahu Fikum 
Wasalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatu 

Allahumma shalli 'alaa Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamasollaita'ala Ibrahim.
Wabarik'ala Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamabarakta'ala Ibrahima fil'alamin.
innaka hamidunmajid
amiin Ya Karim
amiin Ya Wahhab..amiin Ya "Alimun

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly   1 Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu. Bismillahirrahmanirrahim Allahummashalli 'al...