Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu.
Bismillahirrahmanirrahim
Allahummashalli 'alaa Muhammad wa'alaa aalihi wa ashabihi wadlurriyatihi
washallim.
“Alhamdulillahi nasta’iinuhu wanastagh firuhu wana’uudzubillaahi min
syuruuri anfusinaa waminsayyi ati a’ maalinaa man yahdihillahu falaa
mudhilla lahu waman yudhlil falaa haadiya lahu, asyhadu anlaa ilaha
illallaahu wah dahulaa syariikalahu wa asyhadu anna muhammadan ‘abduhuu warasuuluhu la nabiya ba’da.”
Risalah Sirrul Asral -9. Syeh Abdul Qadir Jailani
.
8.Taubat dan Pengajian Melalui Perkataan .
Tahap-tahap dan peringkat-peringkat
perubahan kerohanian telah pun disebut. Perlu ditegaskan bahawa setiap
peringkat dicapai terutamanya dengan taubat. Bolehlah dipelajari cara
bertaubat dengan orang yang mengetahui cara berbuat demikian dan yang
telah sendirinya bertaubat. Taubat yang sebenar dan menyeluruh merupakan
langkah pertama di dalam perjalanan.
“(Ingatlah) tatkala orang-orang kafir itu adakan dalam hati mereka
kesombongan (iaitu) kesombongan jahiliah. Lalu Allah turunkan
ketenteraman atas rasul-Nya dan atas mukmin. Dan Dia wajibkan mereka
(ucapkan) perkataan menjaga keselamatan (taubat) kerana mereka lebih
berhak dengan itu, dan memang (mereka) ahlinya, dan adalah Allah
mengetahui tiap sesuatu”. (Surah Fath, ayat 26).
Keadaan takutkan Allah mempunyai maksud
yang sama dengan kalimah “La ilaha illa Llah” – tiada Tuhan, tiada
apa-apa, kecuali Allah. Bagi orang yang mengetahui ini akan ada perasaan
takut kehilangan-Nya, kehilangan perhatian-Nya, cinta-Nya,
keampunan-Nya; dia takut dan malu melakukan kesalahan sedangkan Dia
melihat, dan takutkan azab-Nya. Jika seseorang itu tidak berkeadaan
demikian dia perlu mendapatkaan orang yang takutkan Allah dan menerima
keadaan takutkan Allah itu daripada orang berkenaan.
Sumber dari mana perkataan itu diterima
mestilah bersih dan suci daripada segala-galanya kecuali Allah, dan
sesiapa yang menerimanya mestilah ada kebolehan untuk membezakan antara
perkataan orang yang suci hatinya dengan perkataan orang awam.
Penerimanya mestilah sedar cara
perkataan itu diucapkan, kerana perkataan yang bunyinya sama mungkin
mempunyai maksud yang jauh berbeza. Tidak mungkin perkataan yang
datangnya daripada sumber yang asli sama dengan perkataan yang datangnya
daripada sumber lain.
Hatinya menjadi hidup bila dia menerima
benih tauhid daripada hati yang hidup kerana benih yang demikian sangat
subur, itulah benih kehidupan. Tidak ada yang tumbuh daripada benih
yang kering lagi tiada kehidupan. Kalimah suci “La ilaha illa Llah”
disebut dua kali di dalam Quran menjadi bukti.
“(Kerana) apabila dikata kepada mereka “Tiada Tuhan melainkan Allah”
mereka menyombong. Dan mereka berkata, ‘Apakah kami mesti tinggalkan
tuhan-tuhan kami buat (mengikut) seorang ahli syair dan gila?” (Surah Shaaffaat. Ayat 35 & 36).
Ini adalah keadaan orang awam yang baginya rupa luar termasuk kewujudan zahirnya adalah tuhan-tuhan.
“Oleh itu Ketahuilah bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah. Dan
mintalah perlindungan bagi buah amal kamu, dan bagi mukmin dan mukminat,
dan Allah mengetahui tempat usaha kamu (di siang hari) dan tempat
kembali kamu (pada malam hari)”. (Surah Muhammad, ayat 19).
Firman Allah ini menjadi panduan kepada orang-orang beriman yang tulen yang takutkan Allah.
Saidina Ali r.a meminta Rasulullah
s.a.w mengajarkan kepadanya cara yang mudah, paling bernilai, paling
cepat kepada keselamatan. Baginda s.a.w menanti Jibrail memberikan
jawapannya daripada sumber Ilahi. Jibrail datang dan mengajarkan baginda
s.a.w mengucapkan “La ilaha” sambil memusingkan mukanya yang diberkati
ke kanan, dan mengucapkan “illa Llah” sambil memusingkan mukanya ke
kiri, ke arah hati sucinya yang diberkati. Jibrail mengulanginya tiga
kali; Nabi s.a.w mengulanginya tiga kali dan mengajarkan yang demikian
kepada Saidina Ali r.a dengan mengulanginya tiga kali juga. Kemudian
baginda s.a.w mengajarkan yang demikian kepada sahabat-sahabat baginda.
Saidina Ali r.a merupakan orang yang pertama bertanya dan menjadi orang
yang pertama diajarkan.
Kemudian satu hari selepas kembali daripada peperangan, Nabi s.a.w berkata kepada pengikut-pengikut baginda, “Kita baharu kembali daripada peperangan yang kecil untuk menghadapi peperangan yang besar”.
Baginda s.a.w merujukkan kepada perjuangan dengan ego diri sendiri,
keinginan yang rendah yang menjadi musuh kepada penyaksian kalimah
tauhid. Baginda s.a.w bersabda, “Musuh kamu yang paling besar ada di bawah rusuk kamu”.
Cinta Ilahi tidak akan hidup sehinggalah musuhnya, hawa nafsu badaniah kamu, mati dan meninggalkan kamu.
Mula-mulanya kamu mesti bebas daripada
ego kamu yang mengheret kamu kepada kejahatan. Kemudian kamu akan mula
memiliki suara hati yang belum penuh, walaupun kamu masih belum bebas
sepenuhnya daripada dosa. Kamu akan memiliki perasaan mengkritik diri
sendiri – tetapi ia belum mencukupi.
Kamu mesti melepasi tahap tersebut
kepada peringkat di mana hakikat yang sebenarnya dibukakan kepada kamu,
kebenaran tentang benar dan salah. Kemudian kamu akan berhenti melakukan
kesalahan dan akan hanya melakukan kebaikan. Dengan demikian diri kamu
akan menjadi bersih. Di dalam menentang hawa nafsu dan tarikan badan
kamu, kamu mestilah melawan nafsu kehaiwanan – kerakusan, terlalu banyak
tidur, pekerjaan yang sia-sia – dan menentang sifat-sifat haiwan liar
di dalam diri kamu – kekejian, marah, kasar dan berkelahi. Kemudian kamu
mesti usahakan membuang perangai-perangai ego yang jahat, takabur,
sombong, dengki, dendam, tamak dan lain-lain penyakit tubuh dan hati
kamu. Cuma orang yang berbuat demikian yang benar-benar bertaubat dan
menjadi bersih, suci murni dan tulen.
“Sesungguhnya Allah kasih kepada orang yang bertaubat dan memelihara kesuciannya”. (Surah Baqarah, ayat 222).
Dalam melakukan taubat seseorang itu
mestilah mengambil perhatian supaya penyesalannya tidak samar-samar dan
tidak juga secara umum agar dia tidak jatuh ke dalam ancaman Allah:
“Tidak kira berapa banyak mereka bertaubat mereka tidak sebenarnya menyesal. Taubat mereka tidak diterima”.
Ini ditujukan kepada mereka yang hanya
mengucapkan kata-kata taubat tetapi tidak tahu sejauh mana dosa mereka,
malah tidak mengambil tindakan pembaikan dan pencegahan. Itulah taubat
yang biasa, taubat zahir yang tidak menusuk kepada punca dosa. Ia adalah
umpama orang yang cuba menghapuskan rumput dengan memotong bahagian di
atas tanah tetapi tidak mencabut akarnya yang di dalam bumi.
Tindakan
yang demikian membantu rumput untuk tumbuh dengan lebih segar. Orang
yang bertaubat dengan mengetahui kesalahannya dan punca kesalahan itu
berazam tidak mengulanginya dan membebaskan dirinya daripada kesalahan
itu, mencabut akar pokok yang merosakkan itu. Cangkul yang digunakan
untuk menggali akarnya, punca kepada dosa-dosa, ialah pengajaran
kerohanian daripada guru yang benar. Tanah mestilah dibersihkan sebelum
ditanam pokok orkid.
“Dan Kami bawakan perumpamaan kepada manusia supaya mereka memikirkannya”. (Surah Hasyr, ayat 21).
“Dia jualah Penerima taubat hamba-hamba-Nya dan mengampunkan dosa, dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (Surah Syura, ayat 25).
“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman dan mengerjakan amal
salih, maka mereka itu Allah tukarkan kejahatan mereka dengan kebaikan
kerana adalah Allah itu Pengampun, Penyayang”. (Surah Furqaan, ayat 70).
Ketahuilah taubat yang diterima tandanya ialah seseorang itu tidak lagi jatuh ke dalam dosa tersebut.
Ada dua jenis taubat, taubat orang dan
taubat mukmin sejati. Orang awam berharap meninggalkan kejahatan dan
masuk kepada kebaikan dengan cara mengingati Allah dan mengambil langkah
usaha bersungguh-sungguh, meninggalkan hawa nafsunya dan kesenangan
badannya dan menekankan egonya. Dia mesti meninggalkan keegoannya yang
ingkar terhadap peraturan Allah dan masuk kepada taat. Itulah taubatnya
yang menyelamatkannya dari neraka dan memasukkannya ke dalam syurga.
Orang mukmin sejati, hamba Allah yang
tulen, berada di dalam suasana yang jauh berbeza. Mereka berada pada
makam makrifat yang jauh lebih tinggi daripada makam orang awam yang
paling baik. Sebenarnya bagi mereka tidak ada lagi anak tangga untuk
dipanjat; mereka telah sampai kepada kehampiran dengan Allah. Mereka
telah meninggalkan kesenangan dan nikmat dunia ini dan menikmati
kelazatan alam kerohanian – rasa kehampiran dengan Allah, nikmat
menyaksikan Zat-Nya dengan mata keyakinan.
Perhatian orang awam tertuju kepada
dunia ini dan kesenangan mereka adalah merasai nikmat kebendaan dan
kewujudan kebendaannya. Malah, jika kewujudan kebendaan manusia dan
dunia merupakan satu kesilapan begitu jugalah nikmat dan kecacatan yang
paling baik daripadanya. Kata-kata yang diucapkan oleh orang arif,
“Kewujduan dirimu merupakan dosa, menyebabkan segala dosa menjadi kecil
jika dibandingkan dengannya”.
Orang arif selalu mengatakan bahawa
kebaikan yang dilakukan oleh orang baik-baik tidak mencapai kehampiran
dengan Allah tidak lebih daripada kesalahan orang yang hampir
dengan-Nya. Jadi, bagi mengajar kita memohon keampunan terhadap
kesalahan yang tersembunyi yang kita sangkakan kebaikan, Nabi s.a.w yang
tidak pernah berdosa memohon keampunan daripada Allah sebanyak seratus
kali sehari. Allah Yang Maha Tinggi mengajarkan kepada rasul-Nya:
“Pintalah perlindungan bagi buah amal kamu dan bagi mukmin dan mukminat”. (Surah Muhamamd, ayat 19).
Dia jadikan rasul-Nya yang suci murni
sebagai teladan tentang cara bertaubat – dengan merayu kepada Allah
supaya menghilangkan ego seseorang, sifat-sifatnya dan dirinya, semuanya
pada diri seseorang, mencabut kewujudan diri seseorang. Inilah taubat
yang sebenarnya.
Taubat yang demikian meninggalkan
segala-galanya kecuali Zat Allah, dan berazam untuk kembali kepada-Nya,
kembali kepada kehampiran-Nya untuk melihat Wajah Ilahi. Nabi s.a.w
menjelaskan taubat yang demikian dengan sabda baginda s.a.w, “Ada
sebahagian hamba-hamba Allah yang tulen yang tubuh mereka berada di sini
tetapi hati mereka berada di sana, di bawah arasy”. Hati mereka berada
pada langit kesembilan, di bawah arasy Allah kerana penyaksian suci
terhadap Zat-Nya tidak mungkin berlaku pada alam bawah.
Di sini hanya kenyataan atau penzahiran
sifat-sifat suci-Nya yang dapat disaksikan, memancar ke atas cermin
yang bersih kepunyaan hati yang suci. Saidina Umar r.a berkata, “Hatiku
melihat Tuhanku dengan cahaya Tuhanku”. Hati yang suci adalah cermin di
mana keindahan, kemuliaan dan kesempurnaan Allah memancar. Nama lain
yang diberi kepada suasana ini ialah pembukaan (kasyaf), menyaksikan
sifat-sifat Ilahi yang suci.
Bagi memperolehi suasana tersebut,
untuk membersihkan dan menyinarkan hati, perlulah kepada guru yang
matang, yang di dalam keesaan dengan Allah, yang disanjung dan
dimuliakan oleh semua, dahulu dan sekarang. Guru berkenaan mestilah
telah sampai kepada makam kehampiran dengan Allah dan dihantar balik ke
alam rendah oleh Allah untuk membimbing dan menyempurnakan mereka yang
layak tetapi masih mempunyai kecacatan.
Di dalam penurunan mereka untuk
melakukan tugas tersebut wali-wali Allah mestilah berjalan Sesuai dengan
sunnah Rasulullah s.a.w dengan mengikuti teladan baginda s.a.w, tetapi
tugas mereka berlainan dengan tugas rasul. Rasul diutuskan untuk
menyelamatkan orang ramai dan juga orang-orang yang beriman. Guru-guru
tadi pula tidak dihantar untuk mengajar semua orang tetapi hanyalah
sebilangan yang dipilih sahaja. Rasul-rasul diberi kebebasan dalam
menjalankan tugas mereka, sementara wali-wali yang mengambil tugas
sebagai guru mesti mengikuti jalan rasul-rasul dan nabi-nabi.
Guru kerohanian yang mengaku diri
mereka merdeka, menyamakan dirinya dengan nabi, jatuh kepada kesesatan
dan kekufuran. Bila Nabi s.a.w mengatakan sahabat-sahabat baginda yang
arif adalah umpama nabi-nabi Bani Israil, baginda memaksudkan lain
daripada ini – kerana nabi-nabi yang datang selepas Musa a.s semuanya
mengikuti prinsip agama yang dibawa oleh Musa a.s.
Mereka tidak membawa
peraturan baharu. Mereka mengikuti undang-undang yang sama. Seperti
mereka juga orang-orang arif dari kalangan umat Nabi Muhammad s.a.w yang
bertugas membimbing sebahagian daripada orang-orang suci yang dipilih,
mengikuti kebijaksanaan Nabi s.a.w, tetapi menyampaikan perintah dan
larangan dengan cara baharu yang berbeza, terbuka dan jelas, menunjukkan
kepada murid-murid mereka dengan perbuatan yang mereka kerjakan pada
masa dan keadaan yang berlainan.
Mereka memberi dorongan kepada
murid-murid mereka dengan menunjukkan kelebihan dan keindahan
prinsip-prinsip agama. Tujuan mereka ialah membantu pengikut-pengikut
mereka menyucikan hati yang menjadi tapak untuk membena tugu makrifat.
Dalam semua itu mereka mengikut teladan
daripada pengikut-pengikut Rasulullah s.a.w yang terkenal sebagai
‘golongan yang memakai baju bulu’ yang telah meninggalkan semua
aktiviti keduniaan untuk berdiri di pintu Rasulullah s.a.w dan berada
hampir dengan baginda. Mereka menyampaikan khabar sebagaimana mereka
menerimanya secara langsung daripada mulut Rasulullah s.a.w. Dalam
kehampiran mereka dengan Rasulullah s.a.w mereka telah sampai kepada
peringkat di mana mereka boleh bercakap tentang rahsia israk dan mikraj
Rasulullah s.a.w sebelum baginda membuka rahsia tersebut kepada
sahabat-sahabat baginda.
Wali-wali yang menjadi guru memiliki
kehampiran yang serupa dengan Nabi s.a.w dengan Tuhannya. Amanah dan
penjagaan terhadap ilmu ketuhanan yang serupa dianugerahkan kepada
mereka. Mereka merupakan Pemegang sebahagian daripada kenabian, dan
diri batin mereka selamat di bawah penjagaan Rasulullah s.a.w.
Tidak semua orang yang memiliki ilmu
berada di dalam keadaan tersebut. Mereka yang sampai ke situ adalah yang
lebih hampir kepada Rasulullah s.a.w daripada anak-anak dan keluarga
mereka sendiri dan mereka adalah umpama anak-anak kerohanian Rasulullah
s.a.w yang hubungannya lebih erat daripada hubungan darah. Mereka adalah
pewaris sebenar kepada Nabi s.a.w. Anak yang sejati memiliki zat dan
rahsia bapanya pada rupa zahirnya dan juga pada batinnya. Nabi s.a.w
menjelaskan rahsia ini, “Ilmu khusus adalah umpama khazanah rahsia yang
hanya mereka yang mengenali Zat Allah boleh mendapatkannya. Namun bila
rahsia itu dibukakan orang yang mempunyai kesedaran dan ikhlas tidak
menafikannya”.
Ilmu tersebut dimasukkan kepada Nabi
s.a.w pada malam baginda s.a.w mikraj kepada Tuhannya. Rahsia itu
tersembunyi di dalam diri baginda di sebalik tiga ribu tabir hijab.
Baginda s.a.w tidak membuka rahsianya melainkan kepada sebahagian
pengikut baginda yang sangat hampir dengan baginda. Melalui penyebaran
dan keberkatan rahsia inilah Islam akan terus memerintah sehingga ke
hari kiamat.
Pengetahuan batin tentang yang
tersembunyi membawa seseorang kepada rahsia tersebut. Sains, kesenian
dan kemahiran keduniaan adalah umpama kerangka kepada pengetahuan batin.
Mereka yang memiliki pengetahuan kerangka itu bolehlah mengharapkan
satu hari nanti mereka diberi kesempatan untuk memiliki apa yang di
dalam kerangka. Sebahagian daripada mereka yang berilmu memiliki apa
yang patut dimiliki oleh seorang manusia secara umumnya sementara
sebahagian yang lain menjadi ahli dan memelihara ilmu tersebut daripada
hilang. Ada golongan yang menyeru kepada Allah dengan nasihat yang baik.
Sebahagian daripada mereka mengikuti sunnah Nabi s.a.w dan dipimpin
oleh Saidina Ali r.a. yang menjadi pintu kepada gedung ilmu yang
melaluinya masuklah mereka yang menerima undangan dari Allah.
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan bijaksana dan nasihat dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik”. (Surah Nahl, ayat 125).
Berasambung...........
Wallahu'alam
Barakallahu Fikum
Wasalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatu
Bismillahirrahmanirrahim...
Allahumma shallii alaa Muhammad Nabiyyil ummi wa barik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Wa umma wabarik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man shalla' alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man lam an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama tuhibbu an yushalli 'alaihi wassallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama amarta an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama yasbaqhis shalawatu 'alaihi wasallim.
Allahumma shalli 'alaa Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamasollaita'ala Ibrahim.
Wabarik'ala Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamabarakta'ala Ibrahima fil'alamin.
innaka hamidunmajid
amiin Ya Karim
amiin Ya Wahhab..amiin Ya "Alimun