Cari Blog Ini

Jumat, 04 Juli 2014

Haqiki-40 Syariat menyelamatkan manusia

Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu.

Bismillahirrahmanirrahim
Allahummashalli 'alaa Muhammad wa'alaa aalihi wa ashabihi wadlurriyatihi
washallim.

 

“Alhamdulillahi nasta’iinuhu wanastagh firuhu wana’uudzubillaahi min syuruuri anfusinaa waminsayyi ati a’ maalinaa man yahdihillahu falaa mudhilla lahu waman yudhlil falaa haadiya lahu, asyhadu anlaa ilaha illallaahu wah dahulaa syariikalahu wa asyhadu anna muhammadan ‘abduhuu warasuuluhu la nabiya ba’da.”
 


  Haqiki  
 
20. Syariat menyelamatkan manusia


Muslim yang mempunyai kesedaran dan kemampuan haruslah mengkaji dengan mendalam apakah yang terlebih terdesak diperlukan oleh umat Islam masa kini. Setelah mengetahui penyakit semasa yang melanda umat Islam itu puak berilmu dan puak berkuasa sama-sama berkewajipan mencari penawar di antara 6,666 ayat al-Quran. Penawar yang diperlukan dengan segera itulah yang mesti dihulurkan kepada orang ramai terlebih dahulu. Mengubati penyakit secara bersistematik lebih berkesan daripada mengubati semua jenis penyakit sekaligus. Syariat telah menyediakan segala jenis ubat untuk semua jenis penyakit. Ahli ilmu dan pemerintah haruslah faham menyusun jadual pengubatan umat.

Kita perlu menjiwai Islam untuk merasai nikmat Islam yang Tuhan kurniakan. Orang Islam bukan sahaja mendukung Islam untuk dirinya sahaja malah dia juga mendukung Islam untuk ahlinya, saudara-saudara Muslim yang lain dan juga umat manusia seluruhnya. Kewajipan manusia adalah melakukan apa yang Tuhan aturkan dengan penuh ketaatan kepada-Nya, sementara hak mengatur diserahkan kepada Allah s.w.t. Sekiranya Allah s.w.t mengaturkan seseorang itu menjadi alim dan mendapat kuasa ketika masyarakat Islam sedang menghadapi ancaman perang, orang alim dan berkuasa itu berkewajipan membuka syariat bahagian jihad, keperluan memperkuatkan ketenteraan, strategi peperangan dan lain-lain yang bersangkutan dengan perang, terlebih dahulu daripada bahagian syariat yang lain. Mengajar cara pembahagian harta pusaka kepada orang yang sedang bersiap ke medan perang adalah kurang sesuai. Dalam tabligh (menyampaikan), bukan sahaja perlu ada siddik dan amanah, malah perlu juga ada fatanah (kebijaksanaan).

Rasulullah s.a.w bertabligh secara siddik, amanah dan fatanah. Setelah berjaya menawan Makkah baginda s.a.w memaafkan secara beramai-ramai orang Makkah yang pernah berperang menentang baginda s.a.w. Baginda s.a.w tidak ghairah melakukan hukum qisas. Beberapa orang yang baginda s.a.w telah umumkan untuk dibunuh pun kemudiannya baginda s.a.w maafkan. Kemaafan daripada baginda s.a.w telah menarik orang-orang yang bersalah itu kepada Islam. Sekiranya baginda s.a.w telah melakukan hukuman bunuh tentu ramai daripada orang Makkah yang mati sebagai orang kafir musyrik. Kebijaksanaan baginda s.a.w telah menyelamatkan ramai manusia daripada azab neraka.

Allah s.w.t menghargai orang alim yang menggunakan kebijaksanaan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat Islam. Pelaksanaan peraturan Tuhan kepada umat manusia yang tidak mengerti haruslah dengan kasih sayang, belas kasihan dan simpati. Bukankah Rasulullah s.a.w telah mendoakan bagi penduduk Taif yang mengkasari baginda s.a.w dengan doa yang baik: “Wahai Tuhan. Maafkan mereka kerana mereka tidak mengerti”.

Rasulullah s.a.w mengerti setakat mana pengikut baginda s.a.w mampu memikul beban. Baginda s.a.w tidak meletakkan beban melebihi keupayaan mereka. Sebab itulah dakwah baginda s.a.w berjaya. Baginda s.a.w telah memberi contoh, ketika berdakwah di Makkah, bilangan kaum Muslimin masih sangat sedikit. Baginda s.a.w tidak menggerakkan kaum Muslimin supaya berperang dengan kaum musyrikin. Jika baginda s.a.w berbuat demikian tentu sahaja kaum Muslimin akan terhapus sebelum agama Islam sempat berkembang di atas muka bumi. Umat Islam dituntut melaksanakan syariat Tuhan secara bijaksana. Serahkan urusan mentadbir kepada Tuhan. Kaum Muslimin perlu bertindak sesuai dengan pentadbiran Tuhan. Umat Islam yang tinggal di negeri yang sering dilanda banjir dituntut menyediakan kelengkapan banjir, tidak dituntut menyediakan kelengkapan gempa bumi. Dalam menguruskan hal-ehwal kaum Muslimin secara bijaksana, Muslim yang ditakdirkan berkuasa dengan Muslim yang ditakdirkan berilmu wajib bekerjasama demi mencari keredaan Allah s.w.t.

Syariat mengajarkan prinsip satu untuk ramai kerana Allah s.w.t. Lelaki bertanggungjawab menyelamatkan dirinya dan ahlinya daripada api neraka. Orang yang berharta berkewajipan mengeluarkan zakat bagi membantu orang miskin. Orang yang memiliki makanan yang cukup perlu mempastikan jirannya tidak tidur dalam kelaparan. Orang yang berilmu berkewajipan mengajar orang yang jahil. Orang yang berkuasa berkewajipan melindungi orang yang lemah. Setiap anggota masyarakat perlu menyumbangkan sesuatu untuk kesejahteraan masyarakatnya.
Syariat Islam mengajarkan supaya menyebarkan yang makruf dan mencegah yang munkar. Muslim diajar supaya mengasihani orang yang dizalimi dan juga orang yang berbuat kezaliman. Mengasihani orang yang dizalimi adalah dengan cara menyelamatkannya daripada kezaliman dan mengasihani orang yang berbuat zalim adalah dengan cara menyekatnya daripada berbuat kezaliman atau setidak-tidaknya menasihatinya. Dalam menyebarkan yang makruf dan mencegah yang munkar tidak ada istilah ‘menjaga tepi kain orang lain’.

Satu perkara yang sangat diberati oleh syariat adalah perbuatan menzalimi diri sendiri. Tuhan memberi ancaman yang keras terhadap mereka yang melakukan kezaliman terhadap diri mereka. Syariat Islam melarang kaum Muslimin sengaja mencampakkan diri mereka kepada kebinasaan walaupun atas alasan berserah kepada takdir. Rasulullah s.a.w menyuruh kaum Muslimin mengikat unta mereka terlebih dahulu baharulah bertawakal. Umar al-Khattab melarang orang ramai memasuki kampung yang sedang dilanda wabak taun dan pergi ke kampung yang tidak ada taun. Lari daripada takdir yang memudaratkan dan pergi kepada takdir yang mensejahterakan masih lagi dalam medan takdir.

Maksud menzalimi diri sendiri sangat luas. Zalim adalah lawan kepada adil. Maksud adil adalah meletakkan sesuatu pada kedudukan yang benar dan layak baginya. Jika meletakkan sesuatu pada kedudukan yang tidak benar dan tidak layak, ia dinamakan zalim. Menggunakan pancaindera yang dikurniakan Tuhan untuk melakukan perbuatan yang dilarang oleh Tuhan adalah melakukan kezaliman kepada pancaindera atau diri sendiri.

Kezaliman yang paling besar dilakukan oleh hamba Tuhan adalah meletakkan Tuhan pada taraf yang tidak benar dan tidak layak bagi-Nya. Ketuhanan Allah s.w.t meliputi bidang penyembahan, pematuhan, pemujaan, penyayangan dan kebaktian. Ada batas yang mesti dipelihara agar tidak terjadi perbuatan yang menurunkan taraf ketuhanan Allah s.w.t daripada yang sepatutnya. Batas tersebut juga dipelihara agar apa sahaja yang selain Tuhan tidak sampai kepada taraf tersebut. Jangan sekali-kali terjadi penyembahan, perhambaan, ketaatan, pemujian dan penyayangan hak ketuhanan Allah s.w.t turun daripada taraf ketuhanan-Nya dan jangan pula yang selain Tuhan naik kepada taraf ketuhanan. Jika percerobohan dilakukan maka perbuatan yang demikian dikatakan menzalimi hak ketuhanan Allah s.w.t dan ia diistilahkan sebagai syirik.

Syirik adalah menyengutukan hak ketuhanan Allah s.w.t dengan sesuatu yang lain. Meletakkan taraf Isa al-Masih sebagai anak Tuhan adalah syirik. Menganggap Uzair sebagai anak Tuhan adalah syirik. Mengiktikadkan Nur Muhammad sebagai penjelmaan Tuhan atau Tuhan sendiri adalah syirik. Nur Muhammad bukanlah Allah s.w.t sebagaimana Isa al-Masih (zahirnya atau rohaninya iaitu nurnya) bukan anak Allah s.w.t. Mematuhi guru dengan sepenuh jiwa raga sehingga perkara haram dihalalkan dan perkara halal diharamkan masih juga dipatuhi, pun termasuk di dalam perbuatan syirik. Mencari rezeki yang baik tetapi dengan meninggalkan hak ketuhanan Allah s.w.t yang wajib dilaksanakan juga berunsur syirik. Kasih sayang sesama makhluk yang menyebabkan tenggelam hukum dan peraturan Tuhan juga berunsur syirik. Besar atau kecilnya syirik itu bergantung kepada sejauh mana hak ketuhanan Allah s.w.t dicerobohi. Al-Quran menceritakan beberapa keadaan syirik.


Dan berkata orang-orang Yahudi: “Uzair anak Allah”. Dan berkata orang-orang Nasrani: “Al-Masih anak Allah”. Demikian itulah kata-kata mereka dengan mulut mereka; menyerupai perkataan orang-orang kafir yang dahulu. Diperangi Allah akan mereka. Bagaimana mereka dapat dipalingkan? Telah mereka ambil guru-guru mereka dan pendeta-pendeta mereka menjadi Tuhan selain Allah dan (juga) al-Masih anak Maryam; padahal tidaklah mereka diperintahkan melainkan supaya menyembah kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa, tidak ada Tuhan melainkan Dia. Maha Suci Dia dari apa yang mereka sekutukan. ( Ayat 30 & 31 : Surah at-Taubah )
Bahkan mereka mempertuhankan jin. ( Ayat 41 : Surah Saba’ )
Tidakkah engkau perhatikan mereka yang mempertuhankan nafsu mereka? Maka apakah engkau boleh jadi pemelihara atas mereka? ( Ayat 43 : Surah al-Furqaan )
Selain yang dinyatakan di atas al-Quran juga menceritakan beberapa perkara yang boleh menggelincirkan manusia kepada syirik.

Katakanlah: “Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluarga kamu, harta yang kamu dapati, perniagaan yang kamu takut akan mundur dan tempat kediaman yang kamu sukai, lebih tercinta kepada kamu daripada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad pada jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan ketentuan-Nya. Dan Allah itu tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang fasik”. ( Ayat 24 : Surah at-Taubah )


Syirik adalah kezaliman yang paling besar boleh dilakukan oleh seseorang kepada dirinya sendiri, bukan kepada Tuhan. Tuhan tidak cedera lantaran manusia berbuat syirik dan tidak beruntung Tuhan jika manusia berbakti kepada-Nya. Apa yang manusia lakukan memberi keuntungan atau kerugian kepada dirinya sendiri, bukan kepada Tuhan. 

Syirik adalah kerugian manusia yang paling besar kerana Allah s.w.t sangat tegas menghadapi orang yang berbuat syirik. Oleh itu tugas seseorang Muslim adalah menghapuskan syirik pada dirinya dan juga pada saudara-saudara Muslimnya yang lain. Tugas utama penguasa Muslim dan ulama Muslim juga demikian. Syirik adalah musuh utama umat manusia. Di dalam berjihad menentang kemusyrikan kaum Muslimin mestilah bersatu sekalipun mereka tidak boleh bersatu dalam bidang yang lain.

 Berasambung...........
Wallahu'alam  
Barakallahu Fikum 
Wasalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatu 
 

 Bismillahirrahmanirrahim...
Allahumma shallii alaa Muhammad Nabiyyil ummi wa barik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Wa umma wabarik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man shalla' alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man lam an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama tuhibbu an yushalli 'alaihi wassallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama amarta an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama yasbaqhis shalawatu 'alaihi wasallim.
 

Allahumma shalli 'alaa Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamasollaita'ala Ibrahim.
Wabarik'ala Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamabarakta'ala Ibrahima fil'alamin.
innaka hamidunmajid
amiin Ya Karim
amiin Ya Wahhab..amiin Ya "Alimun


Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly   1 Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu. Bismillahirrahmanirrahim Allahummashalli 'al...