Cari Blog Ini

Jumat, 04 Juli 2014

Haqiki-43. Taubat: Pintu Keselamatan

 
Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu.

Bismillahirrahmanirrahim
Allahummashalli 'alaa Muhammad wa'alaa aalihi wa ashabihi wadlurriyatihi
washallim.

 

“Alhamdulillahi nasta’iinuhu wanastagh firuhu wana’uudzubillaahi min syuruuri anfusinaa waminsayyi ati a’ maalinaa man yahdihillahu falaa mudhilla lahu waman yudhlil falaa haadiya lahu, asyhadu anlaa ilaha illallaahu wah dahulaa syariikalahu wa asyhadu anna muhammadan ‘abduhuu warasuuluhu la nabiya ba’da.”
 


  Haqiki  
21. Taubat: Pintu Keselamatan
 
Sesudah itu Adam terima beberapa kalimat dari Tuhannya lalu Dia ampunkannya kerana Allah itu Maha Pengampun Maha Penyayang. ( Ayat 37 : Surah al-Baqarah ) Dia jualah Penerima taubat hamba-hamba-Nya dan mengampunkan dosa dan Dia Mengetahui apa yang kamu kerjakan. ( Ayat 25 : Surah asy-Syura )
Kecuali orang yang bertaubat dan beriman dan mengerjakan amal salih, maka mereka itu Allah tukarkan kejahatan mereka dengan kebaikan kerana Allah Maha Pengampun Maha Penyayang. ( Ayat 70 : Surah al-Furqaan )

Adam a.s, manusia pertama, telah melakukan kesalahan. Ketika itu beliau a.s mendiami syurga. Manusia secara tabi’inya tidak dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan, sekalipun mereka tinggal di dalam syurga yang serba menyenangkan, apa lagi mereka tinggal di dalam dunia yang serba memayahkan. Adam a.s mengakui kesalahannya dan merujuk kembali kepada Tuhan, memohon agar Tuhan mengajarkannya apa yang perlu dibuatnya bagi menutup kesalahannya dan menggantikannya dengan kebaikan. 

Tuhan Yang Maha Pengampun Maha Penyayang mengajarkan kepada Adam a.s beberapa kalimat, iaitu cara bertaubat. Adam a.s bertaubat dengan penuh keinsafan dan keikhlasan. Tuhan yang mengajarkan Adam a.s bertaubat itu menerima taubatnya dan mengampunkan kesalahannya. Taubat mengembalikan Adam a.s kepada Tuhan as-Salam, Yang Mensejahterakan. Taubat yang dilakukan oleh Adam a.s adalah taubat yang disertai oleh iman dan diikuti oleh amal salih. Taubat yang demikian menghapuskan kejahatan dan menggantikannya dengan kebaikan.

Iblis, jin yang pertama diciptakan Tuhan, telah melakukan kesalahan. Kesalahan Adam a.s adalah lupa kepada pesanan Tuhan. Kesalahan iblis pula adalah engkar kepada perintah Tuhan. Adam a.s mengakui kesalahan dan bertaubat. Iblis tidak mahu mengakui kesalahannya dan enggan bertaubat. Adam a.s yang bertaubat menerima nikmat keampunan dari Tuhan. Iblis yang enggan bertaubat menerima kemurkaan dan laknat dari Tuhan. Adam a.s kembali kepada Tuhan dan keselamatan-Nya. Iblis tercampak jauh dari Tuhan dan hilang peluang untuk kembali. Di akhirat kelak taubat membawa Adam a.s kembali kepada syurga dan iblis pula akan dicampakkan ke dalam neraka jahanam, tempat yang paling buruk dan paling azab.

Taubat adalah jalan kembali kepada Tuhan. Apabila manusia melakukan dosa dia tercampak jauh dari Tuhan. Jika dia tidak bertaubat dia tetap tinggal jauh dari Tuhan. Jika kemudiannya dia berbuat kebaikan maka dia berbuat baik dalam keadaan jauh dari Tuhan. Dia boleh melakukan suruhan syariat tetapi tanpa taubat dia menjadi ahli syariat yang jauh dari Tuhan.
Hamba yang melakukan kesalahan sangat perlu bertaubat. Taubat merupakan cetusan iman. Iman yang menguatkan amal salih. Tanpa iman tidak ada amal salih. Amal tanpa taubat sebenarnya tidak berpangkal kepada iman. Amal yang demikian sangat sedikit nilai salihnya. Salih itulah yang menentukan darjat kemuliaan sesuatu amal itu di sisi Tuhan. Amal yang tidak disertai oleh taubat tidak banyak memberi pahala. Pahala bukan sahaja berguna di akhirat. Keberkatan pada rezeki dan kesejahteraan hidup di dunia merupakan terjemahan kepada pahala yang diperolehi daripada amal yang salih. Di akhirat kelak terjemahan pahala itu akan lebih menyata lagi. Banyak daripada masalah kehidupan harian tidak mampu diselesaikan lantaran tidak bertaubat daripada dosa-dosa yang lalu.

Bani Adam memiliki tabii keadaman. Mereka tidak sunyi daripada melakukan kesalahan. Tidak wajar jika ada orang yang mengatakan dia tidak pernah berbuat kesalahan dan tidak perlu bertaubat. Nabi Muhammad s.a.w yang suci bersih pun sering bertaubat. Paling tidak memohon keampunan di atas kelemahan sebagai manusia yang tidak berupaya melakukan perintah Tuhan dengan sempurna.

Ramai manusia terhalang daripada memperolehi apa yang layak diperolehinya sebelum mereka memasuki pintu taubat. Adam a.s yang diciptakan khusus untuk menjadi khalifah di bumi hanya memperolehi mahkota khalifah itu setelah beliau a.s melalui pintu taubat dan menerima keampunan dari Tuhan. Roh syariat, roh agama, nur iman, nur Ilahi dan yang seumpamanya hanya masuk ke dalam hati yang telah dibasuh dengan air taubat. Orang yang bertaubat dan Tuhan mengampunkan dosanya, kesuciannya kembali kepada kesucian roh yang latif, yang suci dan hampir dengan Tuhan. Manusia yang rohnya kembali kepada taraf amr Tuhan akan memperolehi keselamatan di dunia dan di akhirat. Manusia yang memiliki roh yang demikian mampu mengkamilkan batin syariat dengan zahir syariat atau antara iman dengan amal. Bani Adam sewajarnya mengikuti langkah bapa mereka dengan bertaubat agar mereka juga boleh kembali kepada Tuhan dan layak dipakaikan mahkota khalifah di bumi.

Taubat yang hanya merupakan kata-kata, tanpa mengetahui sejauh mana dosa yang dilakukan, tidak berikrar untuk tidak mengulangi dosa tersebut, tidak mengambil langkah mencegah daripada berulangnya perbuatan dosa dan tidak melakukan kebaikan yang boleh menghapuskan dosa, adalah taubat pada luaran sahaja, tidak terhunjam ke dalam lubuk hati yang dalam. Taubat yang demikian adalah umpama memotong rumput bahagian di atas tanah sahaja sedangkan akar yang di dalam tanah dibiarkan. Rumput akan kembali tumbuh selagi akarnya tidak dicabut. Orang yang benar-benar bertaubat mengetahui kesalahannya dan punca kesalahan tersebut, bertekad tidak akan mengulanginya dan membebaskan dirinya daripada punca kesalahan. 

Taubat yang begini umpama mencabut rumput beserta akarnya yang di dalam tanah dan membuangnya jauh-jauh.
Taubat luaran adalah penyesalan secara umum dan samar-samar. Tauabat dalaman adalah penyesalan yang jelas tentang apa yang dikesalkan dan menjauhkan diri daripadanya. Orang yang bertaubat daripada zina tidak lagi menghampiri zina, bukan sekadar tidak melakukan zina. Jika masih lagi menghampiri zina, sekalipun tidak melakukannya, itu bukanlah taubat yang sebenarnya. Adam a.s yang telah melakukan kesalahan dengan memakan buah larangan di dalam syurga, setelah bertaubat beliau a.s tinggal di bumi yang sangat jauh daripada pokok larangan yang menjadi isu kesalahannya. Tanda taubat diterima adalah orang yang berdosa tidak jatuh lagi ke dalam jurang dosa tersebut.

 Berasambung...........
Wallahu'alam  
Barakallahu Fikum 
Wasalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatu 
 

 Bismillahirrahmanirrahim...
Allahumma shallii alaa Muhammad Nabiyyil ummi wa barik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Wa umma wabarik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man shalla' alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man lam an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama tuhibbu an yushalli 'alaihi wassallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama amarta an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama yasbaqhis shalawatu 'alaihi wasallim.
 

Allahumma shalli 'alaa Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamasollaita'ala Ibrahim.
Wabarik'ala Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamabarakta'ala Ibrahima fil'alamin.
innaka hamidunmajid
amiin Ya Karim
amiin Ya Wahhab..amiin Ya "Alimun

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly   1 Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu. Bismillahirrahmanirrahim Allahummashalli 'al...