Cari Blog Ini

Jumat, 04 Juli 2014

Haqiki-32.Kejadian alam dan manusia


Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu.

Bismillahirrahmanirrahim
Allahummashalli 'alaa Muhammad wa'alaa aalihi wa ashabihi wadlurriyatihi
washallim.

 

“Alhamdulillahi nasta’iinuhu wanastagh firuhu wana’uudzubillaahi min syuruuri anfusinaa waminsayyi ati a’ maalinaa man yahdihillahu falaa mudhilla lahu waman yudhlil falaa haadiya lahu, asyhadu anlaa ilaha illallaahu wah dahulaa syariikalahu wa asyhadu anna muhammadan ‘abduhuu warasuuluhu la nabiya ba’da.”
 


  Haqiki   Kejadian alam dan manusia (16)

Apabila menyedari bahawa wujud alam dengan Wujud Tuhan tidak sedikit pun bersamaan, tidaklah mengelirukan jika dikatakan yang wujud alam adalah benar, nyata, stabil, ada kesinambungan kewujudannya dan dapat bertahan hingga ke akhirat. Wujud alam atau makhluk yang Tuhan ciptakan ini menjadi asas kepada kehidupan dunia yang sementara dan kehidupan akhirat yang abadi. 

Makhluk yang menerima nikmat wujud dan nikmat kesinambungan wujud dibekalkan dengan juga keupayaan untuk menerima bentuk zahir dan menjadi nyata serta memiliki bakat-bakat yang boleh memberi kesan. Jika ada orang mengatakan wujud makhluk hanyalah khayalan lantaran ia tidak berhakikat, maka perkataannya itu juga benar. 

Wujud makhluk menjadi khayalan jika dibandingkan dengan Wujud Tuhan, tetapi tidak wajar membandingkan wujud makhluk dengan Wujud Tuhan kerana Tuhan tidak boleh dibandingkan dengan sesuatu. Tuhan melampaui tahap wujud. Istilah Wujud digunakan untuk menceritakan tentang Tuhan kerana tidak ada istilah lain yang lebih sesuai. Kebenaran pada tahap penciptaan tidak sama dengan kebenaran pada tahap Pencipta. 

Bila dikatakan alam merupakan kewujudan yang benar ia tidak bermakna menyamakan darjah kebenaran wujud alam dengan darjah kebenaran Wujud Tuhan. Alam sangat berbeza dengan Tuhan. Walaupun alam lain daripada Tuhan namun kewujudan alam tidak membatasi Tuhan. Tidak mungkin terjadi pergeseran di antara Wujud Tuhan dengan wujud makhluk. Kewujudan makhluk tidak mungkin mengubah kedudukan Tuhan Yang Maha Esa.

Jika mahu dibuat sedikit gambaran sekadar menggerakkan kefahaman (keadaan yang sebenar tidak serupa dengan gambaran ini), bolehlah diibaratkan perbandingan Wujud Tuhan dengan wujud makhluk seumpama wujud manusia dengan kewujudan ilmu manusia itu. Walaupun manusia mencipta berjuta-juta benda di dalam ilmunya namun, kewujudan jutaan benda di dalam ilmu itu tidak mengubah dan mengganggu kedudukan manusia itu sendiri. Tidak mungkin benda di dalam ilmu berlaga dengan manusia yang mempunyai ilmu itu. Kewujudan manusia dengan kewujudan di dalam ilmu merupakan kewujudan yang berbeza yang tidak mungkin bergandingan, bersaing atau bersekutu.


Sekiranya manusia mengeluarkan kewujudan di dalam ilmunya kepada kenyataan di luar maka benda-benda yang diciptakan oleh manusia akan berada di dalam ruang yang sama dengan manusia. Tuhan menciptakan makhluk tidak dalam keadaan yang demikian. Apa juga yang Tuhan berkehendak menciptakan sudah ada dalam Ilmu-Nya. Penciptaan makhluk dipagari oleh Ilmu Tuhan. Setelah Tuhan menciptakan makhluk menurut suasana Ilmu-Nya, makhluk akan mengambil ruang yang tidak bergandingan, bersaing atau bersekutu dengan Tuhan, tidak seperti keadaan manusia mencipta benda-benda. 

Kewujudan dan kehadiran makhluk tidak mengganggu keesaan Tuhan. Hanya Tuhan yang berkuasa berbuat yang demikian. Itulah keunikan dan kemutlakan Kuasa Tuhan. Bila diceritakan tentang hubungan Tuhan dengan alam yang boleh dikatakan adalah Tuhan tidak ada di dalam alam, tidak ada diluar alam, tidak bersatu dengan alam dan tidak berpisah dengan alam. Begitulah konsep ketuhanan yang menggabungkan penafian dan pengisbatan.
Pandangan kaum sufi tentang alam berbeza-beza. Ada tiga pendapat yang popular mengenainya. Kumpulan pertama percaya bahawa alam ini wujud dan alam diciptakan oleh Tuhan. Apa juga keupayaan dan bakat yang ada pada alam dan sekalian makhluk adalah juga diciptakan oleh Tuhan. Mereka menganggap diri mereka seumpama kerangka kosong yang tidak memiliki apa-apa, tiada daya dan upaya, semuanya adalah milik Tuhan semata-mata. Kumpulan ini sangat dikuasai oleh suasana ‘ketiadaan’ sehingga mereka lupa kepada diri mereka dan alam sekaliannya. Keadaan mereka adalah seumpama orang halimunan yang menanggalkan pakaiannya lalu tidak ada apa-apa lagi yang kelihatan (pada alam perasaan mereka). 

Mereka serahkan semua pakaian kepada Pemilik pakaian dan tinggallah mereka dalam suasana ‘ketiadaan’ atau kefanaan. Kefanaan yang menguasai mereka menyebabkan hubungan mereka dengan ‘pakaian’ tidak ada lagi. Sekiranya mereka keluar daripada kefanaan, masuk kepada suasana kesedaran dan baqa dalam Tuhan, mereka akan menyedari bahawa pakaian ada dengan mereka. Mereka akan dapat menerima kehadiran pakaian beserta pengakuan bahawa Tuhan yang memiliki pakaian tersebut. Sufi kumpulan ini yang telah melepasi peringkat fana dan kembali kepada kesedaran semula, akan memiliki pengetahuan yang sebenar. 

Pada peringkat ini mereka akan bersetuju dengan pendapat Ahli Sunah wal Jamaah tentang alam. Ahli Sunah wal Jamaah memperolehi petunjuk dari al-Quran, as-Sunah dan ijmak ulama. Ahli sufi yang sampai kepada peringkat ini bersamaan dengan fahaman dan pegangan ulama. Jika ulama mencapai kefahaman dan pegangan melalui akal, sufi pula memperolehinya melalui kasyaf dan zauk yang benar. Mereka mengakui bahawa Tuhan tidak menyamai sesuatu. Oleh yang demikian mereka tidak mengadakan perbandingan atau penyatuan dengan Tuhan.

Sufi kumpulan ke dua berpendapat alam adalah bayangan Tuhan, semata-mata bayangan bukan yang sebenar. Alam bergantung wujud kepada Tuhan sebagaimana bayang bergantung kepada diri yang empunya bayang. Sufi kumpulan ke tiga berpegang kepada fahaman yang terkenal sebagai wahdatul wujud. Kumpulan ini percaya yang ada hanya satu wujud. Alam ini dikatakan hanyalah wujud yang tergambar dalam fikiran dan tanggapan, sedangkan sebenarnya alam tidak ada. Hakikat-hakikat tidak pernah menyata kepada kenyataan wujud. 

Hakikat adalah wujud yang satu pada martabat-martabat penurunan. Tuhan yang memiliki sifat-sifat yang wajib dan harus, serta ada pula peringkat-peringkat penurunan, maka walaupun dipandang sebagai banyak namun, sebenarnya hanyalah satu wujud sahaja. Wujud yang satu itulah yang merasai senang, susah, sakit dan sebagainya. Kewujudan yang lain dan nilai-nilai yang ada pada yang lain hanyalah wujud dan nilai khayali yang dibentuk oleh khayalan dan tanggapan semata-mata. Alam, syurga dan neraka hanyalah muncul dalam sangkaan. Fahaman kumpulan inilah yang paling digemari oleh orang yang menjadi sufi tiruan. Ketika sufi yang sebenar dikuasai oleh jazbah, zauk dan pengalaman kerohanian, hingga mereka tidak dapat membezakan yang benar dengan yang salah, sufi tiruan pula terjerumus ke dalam kekufuran dan kesesatan.
 Berasambung...........

Wallahu'alam  
Barakallahu Fikum 
Wasalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatu 
 

 Bismillahirrahmanirrahim...
Allahumma shallii alaa Muhammad Nabiyyil ummi wa barik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Wa umma wabarik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man shalla' alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man lam an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama tuhibbu an yushalli 'alaihi wassallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama amarta an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama yasbaqhis shalawatu 'alaihi wasallim.
 

Allahumma shalli 'alaa Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamasollaita'ala Ibrahim.
Wabarik'ala Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamabarakta'ala Ibrahima fil'alamin.
innaka hamidunmajid
amiin Ya Karim
amiin Ya Wahhab..amiin Ya "Alimun

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly   1 Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu. Bismillahirrahmanirrahim Allahummashalli 'al...