Cari Blog Ini

Jumat, 04 Juli 2014

Haqiki-34 Kejadian alam dan manusia


Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu.

Bismillahirrahmanirrahim
Allahummashalli 'alaa Muhammad wa'alaa aalihi wa ashabihi wadlurriyatihi
washallim.

 

“Alhamdulillahi nasta’iinuhu wanastagh firuhu wana’uudzubillaahi min syuruuri anfusinaa waminsayyi ati a’ maalinaa man yahdihillahu falaa mudhilla lahu waman yudhlil falaa haadiya lahu, asyhadu anlaa ilaha illallaahu wah dahulaa syariikalahu wa asyhadu anna muhammadan ‘abduhuu warasuuluhu la nabiya ba’da.”
 


  Haqiki  

  Kejadian alam dan manusia (16)

Satu peringkat alam menjadi ayat, dalil, pembalikan atau kenyataan bagi satu aspek nama dan sifat Tuhan. Satu-satu benda atau satu-satu perkara pada anasir alam mencerminkan sesuatu tentang nama dan sifat Tuhan. Alam secara keseluruhannya mencerminkan dengan lengkap tentang nama dan sifat Tuhan. 

Walaupun alam menjadi ayat atau dalil bagi nama dan sifat Tuhan namun itu bukan bermakna nama dan sifat Tuhan ada sempadan sebagaimana alam ada sempadan. Aspek Tuhan yang mengarah kepada alam iaitu nama dan sifat Wajibul Wujud menyata dengan lengkap pada kewujudan alam tetapi aspek Tuhan yang tidak ada hubungan dengan alam tidak ada kenyataan-Nya pada alam. Sebab itulah apabila sufi mencapai zauk Tuhan Yang Maha Tinggi, Maha Esa, sufi mengalami suasana alam tidak wujud, nama tidak wujud dan sifat juga tidak wujud. 

Dia memasuki suasana yang tidak ada atas atau bawah, tiada hadapan atau belakang, tiada kanan atau kiri, tiada ruang atau zaman, tidak ada nisbah kepada wujud atau tidak wujud. Pengalaman yang demikian membuat sufi memperolehi makrifat tentang Tuhan yang melampaui segala penyifatan, tiada sesuatu yang serupa dengan-Nya dan tiada sesuatu yang menyertai-Nya. 

Dia Maha Tinggi lagi Maha Suci daripada apa yang disifatkan dan dinisbahkan kepada-Nya. Dalam keadaan demikian jika keluar ucapan dari mulut sufi berkenaan akan muncullah ungkapan: “Sesungguhnya Aku adalah Allah! Tiada sesiapa yang menyertai Aku. Tidak ada yang ada melainkan Aku!”

Manusia adalah ciptaan Tuhan yang paling sempurna kerana pada kejadian manusia terkumpul secara lengkap segala ayat-ayat, dalil-dalil, pembalikan dan kenyataan nama dan sifat Tuhan. Makhluk lain hanya menjadi ayat kepada satu nama atau sifat Tuhan sahaja. Malaikat Izrail membawa kenyataan yang sempurna tentang nama al-Mumit dan sifat Tuhan Yang Berkuasa Mematikan. Izrail tidak membawa kenyataan tentang nama dan sifat Tuhan yang lain. Begitu juga dengan malaikat dan makhluk yang lain.

 Manusia pula boleh mempamerkan bakat-bakat atau kenyataan kepada nama dan sifat Tuhan Yang Menghidupkan, Mematikan, Memberi, Menolak, Mencipta, Membimbing, Menyesatkan dan sebagainya.

Pada diri manusia ada nilai-nilai kebaikan dan kejahatan dan ada pula keupayaan berkehendak dan membuat pilihan. Sifat berkehendak dan berkuasa membuat pilihan yang ada pada manusia menceritakan bahawa Wajibul Wujud memiliki Sifat-sifat Iradat dan Kudrat. Sifat-sifat mendengar, melihat, berkata-kata dan mengetahui menceritakan bahawa Wajibul Wujud mempunyai sifat-sifat Mendengar, Melihat, Berkata-kata dan Mengetahui. Pada diri manusia sudah ada nilai-nilai yang berguna buat mereka mengenali sifat-sifat Wajibul Wujud secara misal atau penyifatan. Pengenalan manusia tentang Wajibul Wujud lebih sempurna daripada makhluk yang lain. Al-Quran mengajarkan kepada manusia mengenai sifat-sifat Tuhan melalui nilai-nilai yang ada dengan manusia sendiri, cuma manusia diperingatkan bahawa Tuhan melampaui segala bentuk penyifatan. 

Pengajaran cara demikian membuat manusia mengetahui Tuhan tanpa sesuatu pengetahuan yang konkrit dan mengenali Tuhan tanpa sesuatu pengenalan yang jelas. Fahaman, pengetahuan dan pengetahuan tentang Tuhan tertanam dalam hati yang paling dalam. Pada kesedaran tahap yang paling dalam itulah manusia memperolehi kefahaman yang hakiki, pengetahuan yang hakiki dan pengenalan yang hakiki. Dalam kefahaman yang hakiki fahaman bersatu dengan tidak faham. Dalam pengetahuan yang hakiki tahu bersatu dengan tidak tahu. Dalam pengenalan yang hakiki kenal bersatu dengan tidak kenal. Apabila dua perkara yang bertentangan telah bersatu akan lahirlah kesejahteraan (keislaman). Pada tahap itu orang arif hanya ada satu pilihan sahaja iaitu tunduk menyerah kepada Tuhan, tanpa takwil, tanpa hujah dan tanpa terka.

Nabi Muhammad s.a.w mampu menyampaikan pengajaran kepada para sahabat baginda s.a.w hingga kepada tahap kesedaran yang paling dalam. Sebab itulah pengajaran baginda s.a.w diterima dengan kemas, bulat, jelas dan sempurna. Para sahabat tidak memerlukan cara tambahan seperti bersuluk atau berkhalwat. Bagi umat yang datang kemudian pula, secara umumnya, guru mempunyai kekurangan dan kelemahan dalam menyampaikan dan murid pula lebih lagi lemah dan kurang dalam menerima pengajaran. Hijab yang menutupi kesedaran yang paling dalam itu sangat tebal. Guru tidak berupaya memecahkannya. Oleh yang demikian murid perlu menjalani latihan bagi memudahkan tugas guru menembusi hijab tersebut. Guru berkewajipan membimbing muridnya bagi membuka tutupan ke atas kesedaran dalamnya. Kemudian baharulah pengetahuan tentang kebenaran sejati boleh disampaikan kepada murid tersebut. Tanpa kesedaran dalaman murid akan membentuk khayalan dan sangkaan mengenai apa yang diajarkan oleh guru.

Banyak perguruan tarekat telah dibuka bagi membimbing orang-orang yang berminat dalam bidang kerohanian melatihkan diri, membuka hijab kesedaran dalaman dan seterusnya sampai kepada matlamat dengan selamat. Guru tarekat yang benar tidak memisahkan muridnya dengan syariat dan tidak mengadakan bidaah. Guru yang arif tidak mengajarkan kepada muridnya apa yang tidak layak diterima oleh murid itu. Guru yang demikian tidak menjadikan aliran tarekat sebagai jalan untuk meyakini doktrin wahdatul wujud dan juga bukan ditujukan untuk mendapat fana dan baqa. Jika murid ditarik kepada zauk, jazbah dan fana, guru berkewajipan memandu muridnya agar dapat melepasi peringkat tersebut dan sentiasa mengawasi muridnya agar tidak membuang syariat. 

Seseorang tidak perlu meyakini fahaman wahdatul wujud untuk mencapai tahap kesedaran dalaman. Kesedaran dalaman boleh muncul pada orang yang menetap pada jalan kehambaan, yang tidak ada fana dan bersatu dengan Tuhan. Kehambaan yang tidak terlepas daripada kesedaran seseorang membawanya kepada kebenaran yang lebih tinggi daripada yang diperolehi oleh orang yang terbalik pandangan. Tarekat juga tidak boleh dijadikan alat untuk mencari kekeramatan dan kelebihan keduniaan. Latihan kerohanian hendaklah dijuruskan kepada melahirkan ikhlas kerana ikhlas adalah pintu keluar bagi kesedaran dalaman.

Manusia haruslah sedar tentang bakat-bakat dan nilai-nilai yang Tuhan ciptakan sebagai sebahagian daripada kejadian manusia itu sendiri. Pada kejadian manusia sudah ada bakat berkehendak dan membuat pilihan. Usaha dan ikhtiar tidak menyalahi takdir kerana Tuhan telah menentukan sejak azali bahawa manusia memiliki bakat untuk berusaha, berikhtiar dan berkehendak. Tuhan juga mentakdirkan tindakan manusia mempunyai kesan. Pada kejadian manusia itu sudah ada bakat untuk melahirkan perbuatan. Perbuatan manusia termasuk di dalam ciptaan Tuhan tetapi bukanlah Tuhan yang menjadi Pelaku pada perbuatan manusia.

Manusia, kehendaknya dan kuasanya melahirkan perbuatan adalah satu pakej yang diciptakan Tuhan yang dinamakan manusia. Fahaman yang mengatakan Tuhan sendiri yang menjadi Pelaku pada segala perbuatan manusia, dikenali sebagai tauhid af’al, hanyalah kenyataan bayangan yang muncul dalam pengalaman kerohanian sufi. Kebenaran bukanlah yang demikian. Ini tidak juga bermakna manusia berkuasa penuh terhadap takdirnya. Keadaan manusia adalah tidak diberi kuasa bulat-bulat dan tidak juga dipaksa sepenuhnya. 

Manusia bukan diikat dan bukan diberi kebebasan penuh. Kehendak dan kuasa manusia tidak bersifat Mutlak. Oleh itu terdapat halangan dan kekurangan pada kesan yang dihasilkan oleh kehendak dan kuasa manusia. Manusia hidup di dalam medan yang dipenuhi oleh kehendak dan kuasa yang muncul daripada berbagai-bagai makhluk dan kumpulan manusia sendiri. Berlaku pertembungan kesan kehendak dan kuasa seseorang manusia dengan yang muncul daripada manusia dan makhluk lain. Pertembungan tersebut menyebabkan berlaku perlawanan dan yang lebih kuat kesannya akan menang. Jadi, usaha manusia tidak boleh dilihat dalam sekop dirinya sahaja. Usahanya memberi kesan kepada usaha orang lain dan begitu juga sebaliknya. Begitulah yang muncul daripada makhluk yang bersifat tidak Mutlak. Agar tidak berlaku kacau-bilau kepada perjalanan alam akibat perlumbaan kehendak dan kuasa makhluk, pengurusan daripada Kuasa Mutlak adalah sesuatu yang wajib. Tuhan yang memiliki Kuasa Mutlak mentadbir perjalanan alam ini.

Dalam kehidupan manusia juga ada dasar pentadbiran. Manusia umum mengadakan usaha dan manusia tertentu membuat pentadbiran. Akibatnya ada usaha yang berhasil dan ada juga yang gagal. Walaupun konsep pentadbiran wujud dalam kehidupan manusia namun manusia tidak boleh menolak tindakan untuk berusaha. Begitu juga dengan konsep pentadbiran Tuhan. Walaupun Tuhan memiliki Kuasa Mutlak namun dasar usaha makhluk tidak boleh dinafikan. 

Tuhan mengajarkan manusia supaya beramal, berbuat yang baik, menjauhi yang jahat, tidak sengaja menjatuhkan diri ke dalam kebinasaan dan lain-lain yang menunjukkan kepada perakuan dasar berusaha dan bertindak. Walaupun begitu manusia diperingatkan bahawa kemutlakan hanyalah hak Tuhan. Oleh yang demikian usaha tidak boleh dipisahkan daripada iman iaitu sabar, syukur, tawakal dan reda.
 Berasambung...........
Wallahu'alam  
Barakallahu Fikum 
Wasalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatu 
 

 Bismillahirrahmanirrahim...
Allahumma shallii alaa Muhammad Nabiyyil ummi wa barik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Wa umma wabarik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man shalla' alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man lam an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama tuhibbu an yushalli 'alaihi wassallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama amarta an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama yasbaqhis shalawatu 'alaihi wasallim.
 

Allahumma shalli 'alaa Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamasollaita'ala Ibrahim.
Wabarik'ala Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamabarakta'ala Ibrahima fil'alamin.
innaka hamidunmajid
amiin Ya Karim
amiin Ya Wahhab..amiin Ya "Alimun

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly   1 Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu. Bismillahirrahmanirrahim Allahummashalli 'al...