Cari Blog Ini

Jumat, 04 Juli 2014

Haqiki-35. Hadrat Ilahi

Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu.

Bismillahirrahmanirrahim
Allahummashalli 'alaa Muhammad wa'alaa aalihi wa ashabihi wadlurriyatihi
washallim.

 

“Alhamdulillahi nasta’iinuhu wanastagh firuhu wana’uudzubillaahi min syuruuri anfusinaa waminsayyi ati a’ maalinaa man yahdihillahu falaa mudhilla lahu waman yudhlil falaa haadiya lahu, asyhadu anlaa ilaha illallaahu wah dahulaa syariikalahu wa asyhadu anna muhammadan ‘abduhuu warasuuluhu la nabiya ba’da.”
 


  Haqiki  
17. Hadrat Ilahi
 
Tuhan melampaui segala sesuatu. Tidak ada satu pun perbuatan manusia yang memberi kesan kepada Tuhan. Tidak ada kebaktian manusia yang sampai kepada Tuhan. Tidak ada doa dan rayuan manusia yang boleh masuk ke dalam majlis keesaan Tuhan. Jadi, dalam menyembah Allah s.w.t adakah manusia hanyalah sebuah robot yang berdiri, rukuk dan sujud? Adakah dalam melakukan kebaktian kepada Allah s.w.t manusia hanyalah sebuah jentera yang bergerak? Apakah kerana Allah s.w.t melampaui segala sesuatu maka tidak ada sebarang cara perhubungan hamba dengan-Nya? Seorang lelaki bekerja mencari batu-batu permata di dalam gua. Satu hari, ketika dia sedang asyik mengumpulkan batu-batu permata, tiba-tiba muncul seekor ular besar di hadapannya. Dia ketakutan dan lari sekuat-kuat tenaganya. Sejak kejadian itu setiap kali dia melihat kepada gua dia akan ‘ternampak’ ular besar. Kehadiran ular besar menguasai hatinya.
Dua orang lelaki bersahabat baik dan saling berkasih sayang. Suatu hari, salah seorang daripada mereka meninggal dunia. Sahabat yang masih hidup itu sering mengunjungi anak sahabatnya yang telah meninggal itu. Lelaki itu ‘melihat’ kehadiran sahabatnya pada si anak itu.
Dalam sebuah negeri ada seorang perempuan pelacur yang sangat cantik, menawan, memberahikan dan mempesonakan sebarang lelaki yang memandang kepadanya. Tidak ada lelaki yang dapat menahan keinginannya apabila melihat perempuan tersebut. Setiap hari perempuan itu akan menunggu pelanggannya dengan mempamerkan wajahnya di jendela rumahnya. Lelaki yang melintasi rumahnya pasti akan berhenti apabila melihat kepadanya. Perempuan itu tidak pernah kecewa menarik lelaki kepadanya. Pada suatu hari lalu seorang lelaki salih dihadapan rumahnya. Lelaki salih itu adalah seorang ahli ibadat yang tidak pernah berbuat maksiat. Secara tidak sengaja lelaki salih itu terpandang kepada perempuan tadi. Seperti besi di tarik oleh besi berani kaki lelaki salih itu berjalan ke arah rumah perempuan tersebut dan masuk ke dalamnya. Perempuan itu bersedia melayaninya. Lelaki salih itu pun sudah ada keinginan terhadap perempuan cantik itu. Tetapi sebaik sahaja lelaki salih itu menyentuh perempuan itu, tangan lelaki salih itu tiba-tiba menggeletar. Tubuhnya menggigil dan mukanya pucat. Perempuan itu berasa hairan lalu menanyakan keadaan tersebut. Salih itu memberitahu perempuan itu bahawa Tuhan Melihat perbuatannya dan Mendengar perkataannya. Dia sangat takutkan Tuhan. Penyaksiannya terhadap Tuhan itulah yang menjadikan sekalian tubuhnya menggigil dan mukanya pucat. Kehadiran Tuhan menguasai hatinya.
Al-Quran menceritakan tentang peristiwa yang di alami oleh Nabi Yusuf a.s.
Dan sebenarnya perempuan itu telah berleinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu; kalaulah tidak ia menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang ikhlas (dibersihkan dari segala dosa). ( Ayat 24 : Surah Yusuf )
Pada saat yang genting itu Nabi Yusuf a.s menyaksikan kehadiran Tuhannya. Kehadiran Tuhan yang dialami oleh hati itu diistilahkan sebagai Hadrat Ilahi. Hamba-hamba yang ikhlas dengan Allah s.w.t, yang telah dipersucikan, dikurniakan makam ihsan, iaitu menyaksikan Hadrat Tuhan atau merasai kehadiran-Nya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sembahlah Tuhanmu seolah-olah kamu melihat-Nya. Sekalipun kamu tidak melihat-Nya, ketahuilah Dia melihat kamu”. Hamba-hamba yang ikhlas dan dipersucikan menyembah Allah s.w.t dalam keadaan hati mereka merasai kehadiran Allah s.w.t. Suasana hati yang demikian dikatakan hati menyaksikan Hadrat Ilahi. Itulah ihsan.
Banyak ayat-ayat al-Quran yang menceritakan tentang Hadrat Tuhan. Tuhan berfirman:
Allah jualah nur bagi semua langit dan bumi ( Ayat 35 : Surah an-Nur )
Ke mana sahaja kamu menghadap muka kamu di sana ada Wajah Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Luas, Maha Mengetahui. ( Ayat 115 : Surah al-Baqarah ) Kemudian Dia bersemayam di atas Arasy. ( Ayat 4 : Surah al-Hadiid )
Dan Dia beserta kamu walau di mana kamu berada. Dan Allah melihat apa yang kamu kerjakan. ( Ayat 4 : Surah al-Hadiid )
Bukan kamu yang membunuh mereka tetapi Allah yang membunuh mereka. Dan bukan kamu yang melempar tatkala kamu melempar, tetapi Allah yang melempar. (Ayat 17 : Surah al-Anfaal)
Kalimah yang sering diucapkan: “Laahau laa walaakuuwataillah billah”- tiada daya dan upaya melainkan beserta Allah” adalah peringatan kepada Hadrat Ilahi: Hadrat-Nya Mendengar; Hadrat-Nya Melihat; Hadrat-Nya beserta makhluk-Nya; Hadrat-Nya menerangi langit dan bumi; Hadrat-Nya menghadap kepada hamba yang menyembah-Nya; Hadrat-Nya bersemayam di atas Arasy dan lain-lain. Tidak ada satu keadaan, ruang atau zaman yang makhluk boleh terlepas daripada Hadrat-Nya yang menguasai sekalian makhluk: “Laahau laa walaakuuwataillah billah” walau siapa sekalipun makhluk itu. Carilah satu tempat yang paling tersembunyi yang tidak dapat dilihat oleh-Nya, jika kamu boleh melepasi Hadrat-Nya. Lakukan satu perbuatan yang tidak memerlukan daya dan upaya yang dari-Nya, jika kamu boleh bebas daripada Hadrat-Nya. Tidak mungkin, sekali-kali tidak mungkin, kerana Hadrat Allah s.w.t meliputi sekalian alam, meliputi segala sesuatu, membatasi segala kejadian. Dia yang telah menciptakan semua langit dan bumi dalam enam masa; kemudian itu Dia bersemayam di Arasy. Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya; dan apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya. Dan Dia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha Melihat apa sahaja yang kamu kerjakan. Kepunyaan-Nya segala kekuasaan di semua langit dan bumi; dan kepada Allah akan kembali segala urusan. ( Ayat 4 & 5 : Surah al-Hadiid )
Tidak ada satu suasana pun yang terlepas daripada kehadiran atau Hadrat Tuhan, tetapi jarang sekali penghayatan terhadap yang demikian menguasai hati nurani manusia, walaupun mereka mempunyai pengetahuan mengenainya. Manusia mengetahui bahawa Tuhan Melihat dan Mendengar tetapi mereka tidak malu melakukan maksiat di hadapan Hadrat Tuhan Yang Melihat dan Mendengar. Manusia tahu Hadrat Tuhan sentiasa bersama-nya, tetapi masih lagi takut apabila mereka berada di tempat sunyi sendirian. Akal fikiran yang melahirkan pengetahuan tidak mampu berhubung dengan suasana Hadrat Ilahi. Hatilah yang berhubung dengan Hadrat Allah s.w.t kerana hati yang boleh diisi dengan iman. Semakin kuat iman semakin kuat suasana Hadrat Ilahi menguasai hati. Apabila sampai kepada satu peringkat, hati menjadi sebati dengan suasana Hadrat Ilahi. Lahirlah rasa malu dan gerun kepada Tuhan kerana dia merasai kehadiran Tuhan Melihat perbuatannya dan Mendengar perkataannya dan bisikan hatinya.
Suasana Hadrat Ilahi yang dirasakan atau dialami berbeza dari seorang manusia dengan manusia yang lain dan juga pada satu tempat dengan tempat yang lain. Tuhan sendiri menentukan tempat-tempat yang kehadiran-Nya boleh dirasakan lebih kuat daripada tempat-tempat yang lain. Di atas muka bumi ini tempat yang ditentukan oleh Tuhan sebagai tempat yang paling kuat menerima Hadrat-Nya adalah di Baitullah, Tanah Haram Makkah. Orang yang sudah menziarahi semua tempat di atas muka bumi akan mendapati tidak ada tempat untuk merasai kehadiran Allah s.w.t melebihi apa yang dirasakan pada sisi Kaabatullah. Selain Makkah tempat-tempat yang boleh dirasakan kehadiran Tuhan yang kuat adalah Madinah, Baitul Maqdis, Madyan, Bukit Thursina dan Baitulehem. Rasa kehadiran Tuhan pada tempat-tempat yang lain berlebih kurang menurut kadar yang ditentukan oleh Allah s.w.t dan bergantung kepada hati seseorang insan.
Oleh kerana pada sisi Kaabah insan dapat merasakan kehadiran Tuhan secara maksima, maka Kaabah menjadi Kiblat manusia menyembah Allah s.w.t. Walaupun kehadiran Tuhan di sana begitu kuat namun Tuhan bukan berada dalam Kaabah dan bukanlah Kaabah itu Tuhan. Apabila berdiri pada sembahyang menghadap kepada Kaabah bukan bermakna Kaabah yang disembah atau Kaabah dijadikan misal Tuhan. Dada menghadap Kaabah tetapi hati menghadap Allah s.w.t, Tuhan kepada manusia, hati manusia dan Kaabah. Walau di mana pun berdiri menghadap Kaabah hati menghayati suasana Hadrat Ilahi yang sekuat di Kaabah.
Mengapa Tuhan memilih Kaabah untuk menyatakan Hadrat-Nya yang paling kuat di atas muka bumi? Tuhan berbuat menurut kehendak-Nya, tidak tertakluk kepada hujah manusia. Muslim tunduk menyerah kepada kehendak Tuhan. Tuhan memerintahkan supaya menjadikan Kaabah sebagai Kiblat. Muslim menerima perintah Tuhan itu dengan patuh dan ikhlas melaksanakannya. Menolak sembahyang atau menolak Kaabah sebagai Kiblat membuatkan seseorang itu menjadi kufur.
Pada Alam Langit-langit pula tempat yang paling kuat menerima Hadrat Tuhan adalah Baitul Makmur. Kedudukan Baitullah kepada manusia sama dengan kedudukan Baitul Makmur kepada malaikat. Seramai tujuh puluh ribu malaikat memasuki Baitul Makmur setiap hari. Sekali memasuki mereka tidak keluar lagi sampai ke hari kiamat.
Pada sekalian alam atau semua kejadian Tuhan, tempat yang paling kuat menerima Hadrat Tuhan berada di Arasy, iaitu tempat Nabi Muhammad s.a.w menerima perintah sembahyang lima waktu sehari semalam. Hanya Nabi Muhammad s.a.w seorang sahaja yang pernah sampai di sana. Jibrail a.s tidak sampai ke tempat tersebut.

Terdapat perbezaan kekuatan suasana Hadrat pada tempat-tempat yang diberkati Allah s.w.t. Kaabah diistilahkan sebagai Rumah Allah, Baitul Makmur pula Rumah Yang Aman Sentosa dan Arasy adalah Takhta Kerajaan. Bolehlah diibaratkan Kaabatullah sebagai Negeri Hadrat, Baitul Makmur sebagai Istana Hadrat dan Arasy sebagai Takhta Hadrat (ibarat ini hanyalah perbandingan sekadar untuk kefahaman). Nabi Muhammad s.a.w memulakan perjalanan baginda s.a.w daripada Baitullah. Baginda s.a.w Mikraj ke Baitul Makmur dan kemudian diangkat ke Arasy, tempat perjalanan yang paling tinggi. Pada Baitullah Rasulullah s.a.w menerima kedatangan Jibrail a.s. Dalam suasana Baitullah manusia menerima suasana Hadrat dalam keadaan manusia dihijab oleh cahaya malaikat. Keadaan ini perlu kerana manusia umum tidak dapat bertahan menerima suasana Hadrat tanpa hijab malaikat. Pada Baitul Makmur pula makhluk dihijab dari suasana Hadrat oleh cahaya Arasy. Pada Arasy pula Hadrat tidak terhijab, sebaliknya Hadrat itu sendiri yang menjadi hijab, melindungi makhluk daripada kehebatan Keagungan Allah s.w.t. Di Arasy, dalam suasana tidak terhijab daripada Hadrat Tuhan, Nabi Muhammad s.a.w menerima firman Tuhan tanpa perantaraan. Walaupun tanpa perantaraan Nabi Muhammad s.a.w mendengar Kalam Tuhan di sebalik hijab, iaitu Hijab Hadrat atau hijab ketuhanan, bukan hijab cahaya malaikat atau yang lain.
Dan tidaklah terdapat seorang manusia pun yang Allah berkata-kata dengannya, kecuali dengan wahyu atau dari belakang hijab atau dikirim-Nya utusan, lalu dia mewahyukan dengan izin-Nya apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia adalah Maha Tinggi, Maha Bijaksana. (Ayat 51 : Surah asy- Syura )
 Berasambung...........
Wallahu'alam  
Barakallahu Fikum 
Wasalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatu 
 

 Bismillahirrahmanirrahim...
Allahumma shallii alaa Muhammad Nabiyyil ummi wa barik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Wa umma wabarik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man shalla' alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man lam an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama tuhibbu an yushalli 'alaihi wassallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama amarta an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama yasbaqhis shalawatu 'alaihi wasallim.
 

Allahumma shalli 'alaa Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamasollaita'ala Ibrahim.
Wabarik'ala Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamabarakta'ala Ibrahima fil'alamin.
innaka hamidunmajid
amiin Ya Karim
amiin Ya Wahhab..amiin Ya "Alimun

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly   1 Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu. Bismillahirrahmanirrahim Allahummashalli 'al...