Cari Blog Ini

Jumat, 04 Juli 2014

Haqiki 48. Tarekat Tasauf

Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu.

Bismillahirrahmanirrahim
Allahummashalli 'alaa Muhammad wa'alaa aalihi wa ashabihi wadlurriyatihi
washallim.

 

“Alhamdulillahi nasta’iinuhu wanastagh firuhu wana’uudzubillaahi min syuruuri anfusinaa waminsayyi ati a’ maalinaa man yahdihillahu falaa mudhilla lahu waman yudhlil falaa haadiya lahu, asyhadu anlaa ilaha illallaahu wah dahulaa syariikalahu wa asyhadu anna muhammadan ‘abduhuu warasuuluhu la nabiya ba’da.”
 
Haqiki
22. Tarekat Tasauf

Orang kerohanian yang telah kembali kepada keaslian rohaninya, kemudian dihantar semula ke tempat dia bermula, iaitu kehidupan dunia, dipelihara oleh Allah s.w.t daripada dirosakkan oleh kehidupan dunia. Dia kembali kepada kesedaran kemanusiaan dan kehidupan dunia sebagai nafsu muthmainnah, nafsu yang paling sempurna dan sesuai untuk kehidupan di bumi. Bumi yang menjadi tempat kembalinya itu adalah seumpama bumi yang diciptakan semula oleh Tuhan setelah berlaku kiamat.

Pada hari yang akan diganti bumi ini dengan bumi lain dan semua langit juga, dan akan tampil mereka ke hadapan Tuhan, Allah, Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. Dan akan engkau lihat orang-orang yang berdosa itu terikat dengan belenggu-belenggu. ( Ayat 48 & 49 : Surah Ibrahim )
Manusia pilihan yang diturunkan kepada penghidupan dunia setelah dinaikkan kepada tempat asalnya, merupakan khalifah Tuhan yang bertugas memakmurkan bumi dan melaksanakan perintah Allah s.w.t. Puak yang tidak mengerti akan mencuba untuk mengganggu pekerjaan mereka tetapi pertolongan dari Tuhan membelenggu musuh mereka hinggakan dunia ini tidak lagi berupaya mencederakan mereka. Setelah tugas mereka di bumi sempurna mereka akan kembali kepada Tuhan dalam keadaan reda meredai.

Para khalifah Tuhan diperkuatkan dengan pertolongan yang langsung daripada-Nya.
Dia campakkan Roh dari urusan-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki dari kalangan hamba-hamba-Nya. ( Ayat 15 : Surah Mu’min )
Dan Kami telah perkuatkan dia (Isa) dengan Roh Kudus. ( Ayat 87 : Surah al-Baqarah )

Khalifah Tuhan berkecimpung dalam kehidupan masyarakat sebagaimana anggota masyarakat yang lain. Kerja utama mereka adalah membimbing manusia ke jalan Allah s.w.t. Di damping itu mereka menjalankan kewajipan terhadap diri dan keluarga.. 
 
Mereka melakukan pekerjaan kerana mentaati Allah s.w.t. Khidmat mereka kepada masyarakat adalah khidmat mereka kepada Tuhan. Kasih mereka kepada Tuhan disebarkan kepada makhluk Tuhan. Ketaatan mereka kepada Tuhan ditunjukkan dengan memberi bantuan kepada makhluk Tuhan. Mereka adalah wakil Tuhan yang bertugas hal ehwal makhluk Tuhan. Itulah pekerjaan Adam a.s dan keturunannya yang dipilih dari masa ke masa untuk meneruskan pekerjaan tersebut.
  Daerah-daerah nafsu merupakan stesen kerohanian di sepanjang perjalanan. Stesen kerohanian tidak seharusnya dipandang sebagai makam ketinggian dan kemuliaan. Tuhan tidak melihat kepada stesen kerohanian tetapi Dia melihat kepada takwa. Takwa yang sebenar hanya boleh disempurnakan dalam kehidupan dunia, di tengah-tengah masyarakat, bukan dalam kerohanian yang memisahkan seseorang dengan orang ramai. Manusia yang paling mulia, iaitu Nabi Muhammad s.a.w sangat aktif dalam kegiatan masyarakat dan kehidupan harian.

Selain daripada mengajarkan perjalanan kerohanian melalui daerah-daerah nafsu, tarekat tasauf juga mengajarkan perkembangan kesedaran kerohanian melalui berbagai-bagai peringkat kebatinan. Suasana kebatinan itu dinamakan Latifah Rabbaniah, iaitu unsur seni yang ghaib yang termasuk dalam urusan Tuhan yang tidak mampu difikirkan. Latifah Rabbaniah yang tergolong sebagai Diri Batin adalah Latifah -latifah Kalbu, Roh, Sir, Khafi, Akhfa, Nafsu Natiqah dan Kullu Jasad.

Latifah Kalbu adalah hati nurani. Ia menjadi raja yang memerintah sekalian anggota dan tubuh manusia. Ia menjadi induk bagi semua latifah yang lain. Kalbu atau hati itulah yang menjadi tilikan Allah s.w.t. Jika baik hati akan baiklah sekalian anggota. Hati yang seni dan ghaib dikaitkan dengan hati sanubari, iaitu jantung yang terletak dalam dada sebelah kiri, kira-kira dua jari di bawah tetek. Jika diletakkan jari pada tempat tersebut boleh dirasakan denyutannya.

 Denyutan jantung memberi peringatan kepada manusia bahawa dia masih hidup kerana sokongan daripada Latifah Kalbu yang menjadi bekas menerima kurniaan Allah s.w.t. Kalbu atau hati seni dibungkus oleh alam perasaan yang berbolak-balik, tidak menetap. Kesungguhan beribadat dan berzikir membebaskan Latifah Kalbu daripada hijab alam perasaan yang menutupinya. Bila Latifah Kalbu telah bebas daripada tutupan alam perasaan ia akan menghadap kepada alam ghaib dan menerima ilham yang bebas daripada bisikan syaitan. 

Kesedaran kebatinan pada tahap Latifah Kalbu membuat hati merasakan jalinan yang erat dan unik dengan Kenabian Adam a.s atau dikatakan hati mengalami suasana Hakikat Adamiyah. Perjalanan Adam a.s menjadi iktibar untuk hati bertaubat dan membersihkannya daripada segala kekotoran. Kesedaran kerohanian yang berhubung erat dengan kenabian Adam a.s itu juga membuka kefahaman tentang perjalanan hukum sebab dan akibat. Kefahaman mengenainya membuat seseorang mengkagumi perjalanan kehidupan yang sangat rapi telah diaturkan untuknya oleh Tuhan Yang Maha Mentadbir.

 Kesedaran tersebut menambahkan keyakinannya kepada bimbingan yang datang dari Tuhan. Hatinya menjadi bertambah kuat untuk kembali kepada Tuhan dan dia bermujahadah untuk mendapatkan keredaan-Nya. Keasyikan dalam suasana latifah sering membuat mata hati menyaksikan cahaya dan warna dalam alam ghaib. Keasyikan dalam Latifah Kalbu membawa seseorang menyaksikan cahaya berwarna kuning yang bergemerlapan. Cahaya latifah yang disaksikan bukanlah cahaya Tuhan dan sekali-kali bukanlah Tuhan. Ia mesti dinafikan dengan membanyakkan ucapan: “La ilaha illa Llah “.

Latifah Kalbu adalah umpama ruang yang besar, terdapat dalamnya berbagai-bagai latifah lagi. Tahap kesedaran latifah yang lebih mendalam dinamakan Latifah Roh, dikenali sebagai Roh Haiwani. Latifah Roh atau Roh Haiwani itu dihijabkan oleh sifat-sifat keji yang dipanggil sifat binatang jinak. Sifat ini mengheret manusia kepada jalan memuaskan nafsu syahwat seperti haiwan, tanpa menghiraukan akibat dan dosa. Sifat binatang jinak inilah yang membuat manusia berani melakukan kesalahan walaupun orang lain yang telah membuat kesalahan yang sama telah pun menerima padahnya. Orang lain yang telah mati kerana penyakit aids tidak menakutkan binatang jinak untuk terus berbuat maksiat. Orang lain yang sudah kena gantung kerana menjual dadah tidak menakutkan binatang jinak untuk terus menjual dadah. Memang sifat binatang tidak mengenal dosa dan tidak takut kepada penyakit.

 Tenaga ibadat dan zikir yang masuk ke dalam daerah Latifah Roh akan menghancurkan sifat binatang jinak itu. Bila sifat tersebut telah hancur akan muncullah sifat Latifah Roh yang asli, iaitu gemar beribadat, kuat bertawakal dan reda dengan takdir Tuhan. Kesedaran pada tahap Latifah Roh ini membuatkan seseorang melakukan ibadat dan berzikir dengan banyaknya tanpa berasa penat dan jemu. Dalam daerah ini juga muncul hubungan kerohanian dengan Kenabian Ibrahim a.s dan Nuh a.s. ‘Pertemuan’ dengan Hakikat Ibrahimiyah dan Nuhiyah menguatkan kesanggupan seseorang untuk berjuang dan berkorban demi mendapatkan keredaan Allah s.w.t. Keasyikan dalam daerah Latifah Roh ini membawa mata hati menyaksikan cahaya yang berwarna merah yang gilang gemilang. Cahaya latifah ini juga bukanlah cahaya Tuhan dan sekali-kali bukan Tuhan, perlu dinafikan dengan memperbanyakkan ucapan : “La ilaha illa Llah “.

Setelah melepasi daerah Latifah Roh seseorang mengalami pula suasana kerohanian dalam daerah Latifah Sir atau dinamakan Roh Insani. Latifah Sir atau Roh Insani ini dihijab oleh sifat buruk yang dinamakan sifat binatang buas. Sifat tersebut mendorong manusia bermusuhan sesama sendiri, melakukan kezaliman, berdendam dan saling membenci.

 Apabila sifat binatang buas ini berkuasa akan berlakukah penganiayaan, penindasan dan kezaliman yang tidak berperi kemanusiaan terhadap sesama manusia. Sifat binatang buas ini mesti dihancurkan dengan tenaga ibadat dan zikir. Bila sifat binatang buas telah hancur akan muncullah sifat Latifah Sir yang asli iaitu mencintai Allah s.w.t dengan teramat sangat. Kesedaran kebatinan pada tahap Latifah Sir inilah yang sering membuat hati gilakan Allah s.w.t hingga ke tahap tidak rasional. Dalam daerah ini juga terjalin hubungan kerohanian dengan Kenabian Musa a.s. Hakikat Musawiyah membawanya merasai kehampiran dengan Allah s.w.t dan merasai nikmat Cinta Ilahi. Keasyikan dalam daerah ini membawa mata hati menyaksikan cahaya berwarna putih yang bergemerlapan. Cahaya latifah ini juga bukan cahaya Tuhan dan sekali-kali bukan Tuhan, mesti dinafikan dengan ucapan: “La ilaha illa Llah ” sebanyak mungkin.

Seterusnya hati mengalami suasana Latifah Khafi. Latifah ini dihijabkan oleh sifat syaitaniah yang menerbitkan perasaan dengki, khianat dan busuk hati. Apabila tenaga ibadat dan zikir yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh berjaya menghancurkan sifat syaitaniah, akan muncullah sifat latifah yang asli iaitu sabar, syukur, reda dan tawakal yang sebenarnya. 

Kesedaran pada tahap Latifah Khafi membuat seseorang mengalami hubungan kerohanian dengan Kenabian Isa a s atau Hakikat Isaiyah. Kesedaran dalam daerah ini menambahkan kekuatan rohani untuk menghampiri Allah s.w.t dan pada tahap latifah ini juga selalu muncul perkara yang luar biasa seperti kebolehan mengubati penyakit dan mempunyai firasat yang tajam, walaupun bidang tersebut tidak pernah dipelajarinya. Keasyikan dalam Latifah Khafi membawa seseorang menyaksikan cahaya hitam yang tidak terhingga. Cahaya ini juga bukan cahaya Tuhan dan sekali-kali bukan Tuhan. Ia mesti dinafikan dengan memperbanyakkan ucapan: “La ilaha illa Llah “.

Kesedaran kebatinan seterusnya dinamakan Latifah Akhfa yang dihijab oleh sifat Rabbaniah (ketuhanan) yang tidak layak dipakai oleh makhluk. Sifat tersebut melahirkan rasa sombong, ujub dan riak. Apabila tenaga ibadat dan zikir berjaya membebaskan Latifah Akhfa daripada sifat Rabbaniah akan muncullah sifat kebaikan seperti ikhlas dan tawaduk yang sebenarnya. Kesedaran dalam daerah ini membuat seseorang gemar bertafakur. Dalam kesedaran latifah ini juga lahir hubungan kerohanian yang erat dengan Kenabian Muhammad s.a.w atau Hakikat Muhammadiah. Orang berkenaan akan mengalami rasa kasih, keasyikan dan kerinduan yang bersangatan terhadap Rasulullah s.a.w. Ucapan selawat merupakan ucapan yang sangat merdu dan mengasyikkan. 

Keasyikan terhadap Rasulullah s.a.w dalam daerah Latifah Akhfa ini juga membuat seseorang mengalami suasana ‘pertemuan’ dengan rohani Rasulullah s.a.w sama ada dalam mimpi atau pun dalam jaga. Hakikat Muhammadiah membawa seseorang memasuki suasana Cinta Allah s.w.t yang lebih halus dan lebih seni serta memperolehi muraqabah atau berhadap kepada Allah s.w.t semata-mata, tidak kepada selain-Nya. Keasyikan pada latifah ini juga membawa seseorang menyaksikan cahaya berwarna hijau yang gilang gemilang. Cahaya ini juga bukan cahaya Tuhan dan sekali-kali bukan Tuhan, perlu dinafikan dengan ucapan : “La ilaha illa Llah “.

Latifah seterusnya dinamakan Latifah Nafsu Natiqah. Latifah ini juga dikenali sebagai diri yang boleh berfikir. Nafsu Natiqah dihijab oleh sifat ammarah yang banyak membentuk khayalan dan melahirkan penyakit panjang angan-angan. Dalam daerah inilah gambar-gambar yang disukai oleh nafsu syahwat ditayangkan. Keinginan kepada kesenangan dan keseronokan dunia berpunca daripada daerah ini. 

Apabila tenaga ibadat dan zikir berjaya menghapuskan sifat ammarah, akan muncullah suasana hati yang tenteram dan fikiran yang tenang. Gambaran, khayalan dan fikiran jahat yang selalu mengganggu orang yang sedang bersembahyang tidak ada lagi apabila sifat ammarah pada Nafsu Natiqah sudah terhapus. Keasyikan dalam kesedaran Nafsu Natiqah membawa seseorang menyaksikan cahaya yang berwarna ungu yang gilang gemilang. Cahaya ini juga bukan cahaya Tuhan dan sekali-kali bukan Tuhan, perlu dinafikan sebanyak mungkin dengan ucapan: “La ilaha illa Llah “.

Latifah yang terakhir dikenali sebagai Latifah Kullu Jasad yang meliputi seluruh tubuh. Latifah ini dihijab oleh sifat jahil dan lalai. Apabila hijab tersebut berjaya dihapuskan oleh tenaga ibadat dan zikir akan muncullah sifat berilmu dan beramal. Tenaga zikir yang berjalan lancar dalam daerah ini dapat dirasakan mengalir ke seluruh tubuh, dari hujung rambut sampai ke hujung kaki, menyerap ke segenap rongga dalam tubuh badan, bercampur dengan darah, daging, tulang, sumsum dan seluruh maujud. Suasana yang demikianlah dikatakan seluruh tubuh berzikir. Keasyikan dalam latifah ini membawa seseorang menyaksikan cahaya yang gilang gemilang tidak dapat dihinggakan dan ditentukan warnanya. Cahaya ini, seperti juga cahaya-cahaya yang lain, bukanlah cahaya Tuhan dan sekali-kali bukan Tuhan dan perlu dinafikan dengan ucapan: “La ilaha illa Llah “.

Tujuan tarekat tasauf adalah membawa hati keluar daripada hijab kegelapan dan masuk ke dalam cahaya yang terang benderang. Dalam dunia ini benda-benda nyata boleh disaksikan kerana ada cahaya nyata seperti matahari, bulan dan lampu. Perkara dunia yang abstrak dapat disaksikan melalui cahaya akal. Alam ghaib pula disaksikan melalui cahaya latifah. 

Walaupun cahaya latifah muncul sebentar sahaja dalam pandangan mata hati namun ia memadai untuk menerangi perjalanan menuju stesen kerohanian yang berikutnya. Apabila seseorang mencapai baqa semua cahaya tidak mempunyai warna, maka tidak ada penyaksian terhadap cahaya, tetapi hati masih dapat merasakan suasana yang terang benderang menerangi perjalanannya sehingga dia tidak berasa keliru atau ragu-ragu. Cahaya-cahaya alam kerohanian memandu seseorang untuk sampai ke Hadrat Ilahi. Suasana Hadrat Ilahi adalah makam ihsan, iaitu merasai kehadiran Tuhan dalam segala keadaan dan pada setiap ketika. Orang yang sampai kepada pengalaman yang demikian mengerti maksud firman Allah s.w.t:
Allah jualah Cahaya bagi langit dan bumi. ( Ayat 35 : Surah an-Nur ) Nur Allah s.w.t adalah Hadrat-Nya atau kehadiran-Nya yang dapat dirasakan oleh hati yang berkait rapat dengan rohnya yang asli. Nur Allah s.w.t bukanlah cahaya yang boleh difikirkan, digambarkan atau dikhayalkan. Maksud melihat Nur Allah s.w.t adalah merasakan kehadiran-Nya. Apa juga cahaya yang disaksikan dalam alam ghaib adalah cahaya yang Dia gubah sebagai menarik hamba-hamba-Nya agar terus berjalan sehingga sampai kepada matlamat yang dituju. Matlamat yang terakhir hanya boleh ditemui dan dicapai melalui suluhan cahaya kebenaran yang sejati.

Dan demikianlah Kami wahyukan kepada engkau satu Roh dari urusan Kami. Padahal tidaklah engkau tahu apa itu Kitab dan apa itu iman. Tetapi Kami jadikan ia nur yang Kami beri petunjuk dengan ia barangsiapa yang kami kehendaki daripada hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau akan memimpin kepada jalan yang lurus. (Iaitu) jalan Allah, yang kepunyaan-Nya apa yang ada di semua langit dan apa yang ada di bumi. Ketahuilah! Kepada Allah akan sampai segala urusan. ( Ayat 52 & 53 : Surah asy-Syura )

Wahyu adalah cahaya kebenaran yang sejati, dijadikan nur yang memberi petunjuk yang dengannya segala urusan sampai kepada Allah s.w.t.
 Berasambung...........
Wallahu'alam  
Barakallahu Fikum 
Wasalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatu 
 

 Bismillahirrahmanirrahim...
Allahumma shallii alaa Muhammad Nabiyyil ummi wa barik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Wa umma wabarik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man shalla' alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man lam an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama tuhibbu an yushalli 'alaihi wassallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama amarta an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama yasbaqhis shalawatu 'alaihi wasallim.
 

Allahumma shalli 'alaa Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamasollaita'ala Ibrahim.
Wabarik'ala Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamabarakta'ala Ibrahima fil'alamin.
innaka hamidunmajid
amiin Ya Karim
amiin Ya Wahhab..amiin Ya "Alimun

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly   1 Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu. Bismillahirrahmanirrahim Allahummashalli 'al...