Cari Blog Ini

Jumat, 04 Juli 2014

Haqiki-46.Tarekat Tasauf

Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu.

Bismillahirrahmanirrahim
Allahummashalli 'alaa Muhammad wa'alaa aalihi wa ashabihi wadlurriyatihi
washallim.

 

“Alhamdulillahi nasta’iinuhu wanastagh firuhu wana’uudzubillaahi min syuruuri anfusinaa waminsayyi ati a’ maalinaa man yahdihillahu falaa mudhilla lahu waman yudhlil falaa haadiya lahu, asyhadu anlaa ilaha illallaahu wah dahulaa syariikalahu wa asyhadu anna muhammadan ‘abduhuu warasuuluhu la nabiya ba’da.”
 
Haqiki
22. Tarekat Tasauf
 
Motif tarekat tasauf adalah: ” Ilahi! Engkau jualah tujuanku. Keredaan Engkau jua yang daku cari “. Tarekat tasauf menjurus sepenuhnya kepada usaha mendekatkan diri kepada Allah s.w.t, mengabdikan diri kepada-Nya sebaik mungkin dan mengenali-Nya sebagaimana layaknya. Pokok dari ajaran tarekat tasauf adalah penyucian hati. Syarat penyucian hati yang pertama adalah taubat secara zahir dan batin. Taubat zahir berkaitan dengan perkataan, perbuatan, perasaan, menghindarkan diri daripada melakukan dosa dan memperbanyakkan kebaikan. Taubat batin berkaitan dengan rohani, mengembalikan rohani kepada tahap kesuciannya yang asli.

Perkaitan rohani dengan jasad dan dunia melahirkan tenaga yang mengheret rohani lari daripada kedudukannya yang asli. Tenaga negatif itu muncul daripada nafsu. Nafsu yang asalnya bersifat baik sudah dikuasai oleh sifat-sifat buruk. Nafsu yang pada asalnya menghadap Tuhan telah berpaling menghadap kepada yang selain Tuhan. Penumpuan taubat batin adalah membawa nafsu kepada haluannya yang asal, yang menghala kepada Tuhan. Rantai yang mengheret nafsu ke arah yang salah mesti diputuskan.

Daerah-daerah nafsu perlu difahami bagi memudahkan tugas membawanya kepada arah dan matlamat yang benar. Sebelum nafsu sampai kepada arah yang benar ada tiga daerah nafsu perlu ditempuhi. Tiga daerah tersebut adalah ammarah, lawwamah dan mulhamah.

Rantai yang mengikat nafsu dalam daerah nafsu ammarah adalah yang paling kasar dan paling kuat. Pengikat nafsu dalam daerah ini adalah sifat-sifat keji seperti sombong, ujub, riak dan sama’ah. Sifat-sifat tersebut membuat manusia merasakan dirinya lebih baik, lebih mulia dan lebih cerdik daripada orang lain. Dia suka menunjuk-nunjuk, suka dipuji dan suka namanya menjadi terkenal. Dalam daerah ini tidak ada nilai-nilai murni kemanusiaan dan tidak ada peraturan. Orang yang berada dalam daerah ini sangat tamakkan harta dan tidak peduli dari sumber mana harta itu diperolehinya. Apabila memperolehi harta dia menjadi bakhil. Nafsu yang berada dalam daerah ammarah ini juga kuat berdengki, berdendam dan sanggup berbuat khianat.

 Selain itu nafsu ammarah bertabiat suka berangan-angan. Dia merasakan apa yang dia angankan akan diperolehinya walaupun dia tidak ada kemampuan untuk berbuat demikian. Orang yang dibungkus oleh nafsu ammarah suka menggunakan dua cara penilaian. Bagi dirinya digunakan cara positif dan untuk orang lain digunakan cara negatif. Dia mengatakan orang lain mengumpat tetapi bagi dirinya, berbuat perkara yang serupa dikatakan mengatakan yang benar. Orang lain dikatakan berdengki tetapi buat dirinya dikatakan mempertahankan yang hak. 

Orang lain dikatakan bakhil tetapi buat dirinya dikatakan berjimat cermat. Sikap yang demikianlah membuatkan tertutup pandangannya daripada melihat kepada keburukan, kejahatan dan kecacatan yang ada dengan dirinya. Dia dikuasai oleh perasaan bahawa dialah manusia yang paling tahu dan paling sempurna. Dia merasakan syurga adalah haknya sekali pun dia tidak melakukan kebaikan. Perasaan yang demikian muncul kerana sifat ammarah tidak menghalang seseorang menggunakan ilmu yang bersangkutan dengan kehidupan dunia. Ia hanya menutup ilmu tentang Tuhan dan akhirat. Kemampuan menggunakan ilmu dunia membuatkan ahli nafsu ammarah boleh berjaya dalam kehidupan, boleh menjadi cendikiawan dan pemimpin masyarakat. Dia juga boleh mempelajari ilmu agama dan menjadi alim dalam bidang tersebut. 

Tetapi ilmu tidak berdaya menyelamatkannya kerana dia taksub dengan ilmunya. Dia menjadi marah jika mengetahui orang ramai berguru dengan orang alim yang lain. Dia suka mengeluarkan kenyataan yang merendah-rendahkan ilmu orang lain. Dia merasakan dirinya adalah ahli agama yang sempurna, ahli syurga yang tidak akan dihisab, sudah mencapai makam makrifat sementara orang lain tidak sempurna, ahli neraka dan tidak bermakrifat.

Tarekat tasauf mengajarkan manusia supaya membina kekuatan dalam berjihad menentang sifat nafsu ammarah dan membebaskan diri daripada ikatan rantainya. Kekuatan dalaman diperolehi dengan cara mengingati Allah s.w.t sebanyak mungkin. Pada peringkat permulaan ingatan kepada Allah s.w.t dilakukan dengan paksaan dan hanya berlaku secara luar sahaja tetapi dengan mengulangi nama-nama Tuhan, menyebutkannya kuat-kuat akan menambahkan kesedaran terhadap-Nya. Ingatan kepada Tuhan yang dilakukan secara berterusan akhirnya akan masuk ke dalam hati. Ketika itu ingatan kepada Tuhan dilakukan dalam hati, tidak perlu lagi menyebutnya kuat-kuat.
Ucapan dan ingatan kepada nama-nama Tuhan membuat hati menjadi jaga dari tidur dan sedar dari kelalaian. Hati mendapat kekuatan untuk berperang dengan tentera ammarah. Berlakulah peperangan di antara yang baik dengan yang jahat. Perjuangan ini berlaku di dalam daerah nafsu lawwamah. Senjata tentera lawwamah adalah taat kepada peraturan syariat, rajin beribadat dan menyibukkan lidah dan hati berzikir kepada Allah s.w.t. Hati yang sudah jaga daripada tidur mampu berfungsi sebagai juru nasihat kepada diri sendiri.

 Bila terjadi kesalahan dosa akan berdetiklah peringatan di dalam hati dan orang yang berkenaan menjadi menyesal dan bertaubat. Bila hati bertambah kuat juru nasihat dalam diri juga menjadi kuat. Ia akan menarik dirinya lari daripada dosa sebelum dosa dilakukan. Walaupun begitu, ketika berada dalam daerah lawwamah, seseorang itu masih lagi terlanjur melakukan dosa sekalipun dia berusaha mencegahnya. Ini kerana sebahagian daripada rantai-rantai ammarah belum lagi putus daripada daerah lawwamah. Rantai tersebut adalah ujub, riak dan samaah. Sifat kebaikan yang muncul dalam daerah lawwamah adalah mengakui kesalahan diri sendiri, menyesal dan bertaubat. Orang yang berada dalam daerah lawwamah gemar bertafakur, merenung sesuatu dan mengaitkannya dengan Kudrat dan Iradat Tuhan. Ingatannya kepada Allah s.w.t sekali sekala masuk ke dalam hati dan menerbitkan rasa kemanisan berzikir. 

Zikir yang telah masuk ke dalam hati menguatkan dan melembutkan hati itu. Kuat dalam melawan yang salah dan lembut dalam penyesalan terhadap kesalahan diri. Ahli nafsu lawwamah banyak menangis apabila teringatkan dosa-dosanya yang lalu. Dia juga mudah menangis ketika beribadat. Suasana hati yang menguasai ahli lawwamah ini adalah ‘takutkan Allah.’ Perhatiannya lebih tertuju kepada akhirat dan syurga daripada nikmat keduniaan. Satu sikap yang agak ketara muncul pada ahli lawwamah adalah dia bukan sahaja mengkeritik kesalahan dirinya malah dia juga mengkeritik kesalahan orang lain. Ini berlaku kerana dia selalu memerhatikan kesalahan dirinya dan kesalahan orang lain.

 Dalam memerhatikan kesalahan diri dia melihat kesungguhannya bekerja menghapuskan kesalahan. Dia melihat dirinya yang bertaubat dan memohon keampunan dari Allah s.w.t. Dalam memerhatikan kesalahan orang lain dia tidak melihat mereka berbuat demikian. Perhatian yang demikian membuatnya merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain.
Semakin jauh seseorang itu memasuki daerah lawwamah semakin kurang pengaruh ammarah pada dirinya. Apabila sampai kepada satu peringkat rantai ammarah putus daripadanya dan dia masuk ke dalam daerah nafsu mulhamah. Nafsu mulhamah adalah nafsu yang sudah bersih daripada kekotoran. Bila kekotoran tidak ada pada hati, fikiran kotor tidak datang lagi dan mengambil alih tempatnya adalah ilham bersih yang datang dari alam tinggi. 

Cermin hatinya yang kerap menghadap kepada alam tinggi membuatnya sering lupa kepada alam rendah. Dia menjadi tidak berminat dengan harta, berasa cukup dengan apa yang ada dan tidak berasa sayang untuk menolong orang lain dengan harta yang ada padanya. 

Dia juga melakukan taubat yang sungguh-sungguh dan tidak kembali lagi kepada kejahatan yang pernah dilakukannya. Dia memiliki kesabaran yang kuat dalam menghadapi bala bencana. Dia kuat berserah diri kepada Tuhan. Dia menghadap kepada Tuhan dengan rasa merendah diri dan berhajat kepada-Nya. Sifat merendah diri yang sudah lahir dalam hatinya membuatnya tidak lagi mengkeritik orang ramai sembarangan, seperti yang dilakukannya ketika dalam daerah lawwamah dahulu.

 Dia lebih memandang orang ramai dengan pandangan simpati, bukan mengutuk. Zikirnya sudah boleh masuk ke dalam hati yang lebih dalam dan lebih seni, menguatkan rasa pergantungan kepada Allah s.w.t. Keikhlasan ahli mulhamah ini sudah bertambah kuat. Dia melakukan kebaikan bukan lagi kerana ‘takutkan Allah’ tetapi semata-mata ‘kerana Allah’ atau kerana mahu mendapatkan keredaan-Nya. Orang yang sudah berada pada tahap ini akan terus mentaati Allah s.w.t sekali pun Tuhan tidak menjadikan syurga dan neraka. Matlamatnya adalah Allah s.w.t semata-mata. 

Keyakinannya kepada Allah s.w.t sangat mendalam, sebab itu dia kuat melakukan tajrid, iaitu menyerahkan urusannya kepada Allah s.w.t sahaja, tidak kepada makhluk. Daerah mulhamah merupakan peringkat terakhir pekerjaan membawa haluan nafsu ke arah yang betul. Ia adalah sempadan terakhir bagi nafsu yang mendatang, yang menumpang nafsu asli yang suci. Oleh kerana dia masih berada dalam daerah nafsu yang mendatang dia masih berkemungkinan diheret semula kepada daerah nafsu yang lebih rendah. Oleh itu kesungguhan beribadat dan kekuatan iman diperlukan agar rantai dari daerah nafsu yang lebih rendah tidak kembali menyambar dan mengikatnya.
 Berasambung...........
Wallahu'alam  
Barakallahu Fikum 
Wasalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatu 
 

 Bismillahirrahmanirrahim...
Allahumma shallii alaa Muhammad Nabiyyil ummi wa barik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Wa umma wabarik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man shalla' alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man lam an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama tuhibbu an yushalli 'alaihi wassallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama amarta an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama yasbaqhis shalawatu 'alaihi wasallim.
 

Allahumma shalli 'alaa Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamasollaita'ala Ibrahim.
Wabarik'ala Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamabarakta'ala Ibrahima fil'alamin.
innaka hamidunmajid
amiin Ya Karim
amiin Ya Wahhab..amiin Ya "Alimun

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly   1 Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu. Bismillahirrahmanirrahim Allahummashalli 'al...