Cari Blog Ini

Jumat, 04 Juli 2014

Haqiki- 33 Kejadian alam dan manusia

Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu.

Bismillahirrahmanirrahim
Allahummashalli 'alaa Muhammad wa'alaa aalihi wa ashabihi wadlurriyatihi
washallim.

 

“Alhamdulillahi nasta’iinuhu wanastagh firuhu wana’uudzubillaahi min syuruuri anfusinaa waminsayyi ati a’ maalinaa man yahdihillahu falaa mudhilla lahu waman yudhlil falaa haadiya lahu, asyhadu anlaa ilaha illallaahu wah dahulaa syariikalahu wa asyhadu anna muhammadan ‘abduhuu warasuuluhu la nabiya ba’da.”
 


  Haqiki    

Kejadian alam dan manusia (16)

Sufi kumpulan pertamalah yang hampir dengan kenyataan al-Quran dan as-Sunah. Semakin jauh mereka meninggalkan kefanaan dan fenomena bayangan, maka semakin hampirlah mereka dengan kebenaran yang sejati. Apabila mereka kembali kepada kesedaran sepenuhnya, kebenaran dan kesesuaian mereka dengan al-Quran dan as-Sunah adalah jelas. Mereka mencapai kesempurnaan kebatinan kerana mereka mencapai kebenaran al-khafi (kesedaran batin) dan kebenaran al-akhfa (kesedaran batin yang paling dalam) yang bersamaan dengan Kebenaran Hakiki. Mereka mencapai Kebenaran Hakiki melalui pengalaman kerohanian. 

Sufi golongan ini sudah melepasi peringkat kesedaran yang tersembunyi (as-Sir). Sufi yang berfahaman wahdatul wujud pula, apabila mereka mencapai kefanaan pada peringkat Sir, mereka tidak dapat keluar dari peringkat tersebut dan mereka tidak memisahkan as-Sir daripada Yang Haq, tidak menafikannya. Sebaliknya mereka percaya bahawa as-Sir satu dengan Yang Haq, lalu mereka menyamakan diri mereka dengan Tuhan, mempercayai hanya Tuhan yang wujud, selain Tuhan tidak ada.


Alam yang diistilahkan sebagai mumkinul wujud (wujud yang mungkin) merupakan medan yang menyatakan ayat-ayat, dalil-dalil atau kenyataan nama-nama dan sifat-sifat Wajibul Wujud (Wujud yang wajib). Tetapi Zat Tuhan Yang Maha Esa, Maha Tinggi dan Maha Mulia tidak ada ayat, dalil, kenyataan atau pembalikan. Tidak ada satu pun dalam alam ini yang membalikkan atau yang ada penglibatan dengan Zat Tuhan. Tuhan Yang Maha Perkasa melampau apa juga penyifatan dan dalil. Tuhan melampau alam secara Mutlak, tidak terjangkau oleh akal fikiran ahli fikir, ilham ahli falsafah dan kasyaf ahli sufi. Nama-nama dan sifat-sifat yang dinisbahkan kepada Tuhan adalah berbeza. Alam memang ada perkaitan dengan nama-nama dan sifat-sifat tersebut, walaupun sebagai ayat-ayat dan dalil-dalil atau hanya pada nama dan bentuk sahaja. Alam tidak mempunyai zat atau hakikat, tidak berkedudukan sebagai ‘berdiri dengan sendiri’ atau Mutlak. Alam diciptakan tanpa sesuatu kecuali sebagai bentuk atau bekas yang menerima kesan dan pengaruh sifat-sifat dan nama-nama Tuhan. Zat atau hakikat mumkinul wujud (alam atau makhluk) adalah pembalikan atau kenyataan bagi sifat-sifat dan nama-nama Tuhan tetapi tidak sekali-kali serupa atau bersatu dengan Zat Tuhan Yang Mutlak dan Hakiki.

 Walaupun alam membalikkan Sifat dan Nama Wajibul Wujud namun alam itu bukanlah Wajibul Wujud dan bukan pula nama atau sifat Wajibul Wujud dalam ertikata yang sebenar. Pembalikan dan yang menyatakan tidak sama dengan yang sebenarnya. Perkaitan Wajibul Wujud dengan alam secara yang demikian dan kemutlakan Zat Wajibul Wujud menyebabkan timbul fenomena bayangan dalam pengalaman sufi dan bayangan tersebut berkekuatan memberi kesan kepada alam perasaan sufi menyebabkan timbul berbagai-bagai fahaman.

Peringkat pengalaman kerohanian, sebelum sampai kepada peringkat ‘bukan Tuhan’, hilang daripada pandangan, sufi akan mengalami hal yang memperlihatkan kepadanya alam tidak wujud. Pada masa yang lain pula dia melihat alam wujud. Pada masa yang lain lagi dia melihat alam tidak wujud pula. Ada pula masa lain yang dia mengalami suasana alam wujud. Keadaan yang bergilir-gilir ini berterusan sehingga sufi itu memperolehi fana sepenuhnya. Pada tahap ini sufi akan mengalami sepenuhnya suasana yang selain Tuhan tidak wujud. Pada pandangan sufi alam adalah seumpama satu ruang yang tiada kesudahan atau kekosongan yang berterusan.

Setelah melepasi peringkat fana dan memasuki peringkat baqa (kekal bersama Tuhan) dan kembali kepada dunia, kadang-kadang alam kelihatan dalam pandangannya dan kadang-kadang hilang. Pengalaman yang demikian membuatnya menyangka alam mengalami pembaharuan bentuk secara berterusan. Apabila dia mencapai kesempurnaan baqa dan kembali kepada dunia sepenuhnya, kewujudan alam menetap dalam pandangan dan kesedarannya. Dia dapat menyaksikan bahawa alam adalah wujud yang nyata dan stabil. Sufi yang sampai kepada tahap ini sudah layak membimbing orang lain. Mereka berkedudukan sebagai khalifah kerohanian yang berperanan membantu sufi lain yang masih di dalam perjalanan dan memberi petunjuk kepada orang ramai serta mengarahkan mereka kepada jalan Tuhan yang benar lagi lurus.

Khalifah kerohanian berbeza daripada pemerintah orang ramai. Adalah silap jika seorang yang menganggapnya dirinya sebagai khalifah kerohanian mencuba untuk merampas kuasa daripada pemerintah yang ada. khalifah kerohanian, walaupun arif dalam ilmu ketuhanan, itu tidak bermakna dia juga pakar dalam urusan pentadbiran negara, bidang politik, ekonomi dan lain-lain. Memang ada orang yang berkedudukan sebagai khalifah kerohanian dimasukkan oleh Tuhan kepada bidang pengkhususan yang melibatkan urusan orang ramai. Khalifah kerohanian yang berkenaan akan bergerak dalam bidang pengkhususan masing-masing sebagai wakil Tuhan menguruskan bidang tersebut. Ada yang mengambil bahagian sebagai khalifah dakwah, khalifah politik, khalifah ekonomi, khalifah pendidikan, khalifah sains dan teknologi, khalifah perang dan lain-lain. Khalifah-khalifah tersebut akan membawa kemenangan dan kegemilangan kepada umat Islam dalam bidang yang mereka uruskan. Khalifah perang akan membawa kemenangan kepada umat Islam dalam menentang musuh-musuh Islam. Sebelum tentera Muslim dipimpin oleh khalifah perang yang dilantik sebagai wakil Tuhan, kemenangan lebih berpihak kepada musuh. Sebelum ekonomi umat Islam dipimpin oleh khalifah ekonomi yang dilantik oleh Tuhan, sistem perekonomian akan tetap berkisar di sekitar sistem perekonomian tajaan Yahudi dan lain-lain dan umat Islam tidak mampu mengatasi kaum lain dalam bidang ekonomi. Begitu juga dengan bidang- bidang yang lain. Biasanya, khalifah Muslim yang khusus dalam sesuatu bidang itu dihantar oleh Tuhan tatkala umat Islam hampir-hampir mengalami kehancuran dalam bidang berkenaan. 

Khalifah yang paling sempurna muncul pada akhir zaman tatkala umat Islam mengalami kehancuran dalam semua bidang. Khalifah yang paling sempurna itu bergelar Imam Mahadi (Ketua Agung kepada khalifah-khalifah Muslim yang bertugas menyelamatkan umat manusia). Beliau akan muncul ketika hari kiamat benar-benar sudah hampir tiba. Oleh kerana khalifah-khalifah tersebut dilantik oleh Tuhan maka tidak ada kuasa makhluk yang mampu menjatuhkan atau mengalahkan mereka. Mereka akan memimpin umat Islam mencapai kemenangan, kejayaan dan kecemerlangan dalam bidang-bidang yang mereka pimpin.
Sifat-sifat yang dinisbahkan kepada Tuhan, iaitu sifat-sifat Wajibul Wujud atau dipanggil juga sifat-sifat ketuhanan memegang kewujudan alam. Wujud alam pula menjadi bekas bagi menanggung kewujudan manusia. Manusia ada di dalam alam dan menjadi sebahagian daripada alam. Alam menjadi dalil, ayat, pembalikan dan kenyataan bagi nama-nama dan sifat-sifat Tuhan yang memegang kewujudan alam itu.

Bangunan alam maya berlapis-lapis, bertingkat-tingkat dan berperingkat-peringkat. Setiap tahap alam itu dikenali dengan istilah yang berbeza-beza menurut kefahaman yang muncul melalui fikiran, ilham dan kasyaf. Ada yang membahagikan alam kepada Alam Kabir dan Alam Saghir. Alam Kabir adalah alam maya keseluruhannya dan Alam Saghir dimaksudkan kepada kewujudan manusia. Ada pula yang membahagikan alam kepada Alam Malakut Atas, Alam Malakut Bawah, Alam Syahadah dan Alam Insan. Alam Malakut Atas adalah Alam Arwah (roh-roh) dan alam para malaikat. Alam Malakut Bawah adalah Alam Barzakh yang menjadi tempat persinggahan roh-roh yang telah berpisah daripada jasad. Alam Syahadah adalah alam bagi benda-benda, iaitu makhluk yang mempunyai badan, termasuklah makhluk ghaib berbangsa jin. Alam Insan pula adalah manusia. Ada juga orang yang menggunakan istilah Alam Arwah, Alam Misal, Alam Ajsam dan Alam Insan bagi menceritakan bangunan alam maya. Alam Arwah adalah perbendaharaan yang menyimpan segala bakat-bakat yang diperlukan bagi semua penciptaan makhluk dan kesinambungan kewujudan makhluk. Alam Misal adalah suasana kewujudan dalam bentuk rohani, tanpa tubuh atau benda. Alam Ajsam pula adalah suasana kewujudan rohani yang sudah memperolehi badan kebendaan atau tubuh. Alam Insan adalah manusia yang bergabung roh dengan jasad.
 Berasambung...........
Wallahu'alam  
Barakallahu Fikum 
Wasalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatu 
 

 Bismillahirrahmanirrahim...
Allahumma shallii alaa Muhammad Nabiyyil ummi wa barik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Wa umma wabarik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man shalla' alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man lam an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama tuhibbu an yushalli 'alaihi wassallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama amarta an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama yasbaqhis shalawatu 'alaihi wasallim.
 

Allahumma shalli 'alaa Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamasollaita'ala Ibrahim.
Wabarik'ala Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamabarakta'ala Ibrahima fil'alamin.
innaka hamidunmajid
amiin Ya Karim
amiin Ya Wahhab..amiin Ya "Alimun

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly   1 Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu. Bismillahirrahmanirrahim Allahummashalli 'al...