Cari Blog Ini

Jumat, 04 Juli 2014

Haqiki-47. Tarekat Tasauf


Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu.

Bismillahirrahmanirrahim
Allahummashalli 'alaa Muhammad wa'alaa aalihi wa ashabihi wadlurriyatihi
washallim.

 

“Alhamdulillahi nasta’iinuhu wanastagh firuhu wana’uudzubillaahi min syuruuri anfusinaa waminsayyi ati a’ maalinaa man yahdihillahu falaa mudhilla lahu waman yudhlil falaa haadiya lahu, asyhadu anlaa ilaha illallaahu wah dahulaa syariikalahu wa asyhadu anna muhammadan ‘abduhuu warasuuluhu la nabiya ba’da.”
 
Haqiki
22. Tarekat Tasauf
 
Apabila seseorang itu keluar sepenuhnya daripada daerah nafsu yang mendatang dan masuk sepenuhnya ke dalam daerah nafsu yang asli dan haluan nafsunya sudah berada pada arah yang benar, dia masuk ke dalam daerah nafsu muthmainnah. Dia telah kembali kepada tahap yang diredai Allah s.w.t.

Wahai nafsu muthmainnah. Kembalilah kepada Tuhan engkau dalam keadaan reda meredai oleh-Nya dan masuklah engkau ke dalam golongan hamba-hamba-Ku dan masuklah engkau ke dalam syurgaKu. ( Ayat 27 – 30 : Surah al-Fajr )
Jiwa muthmainnah hanya tenang dan tenteram di dalam melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t. Perbuatan zahirnya dan kelakuan hatinya semata-mata dalam melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t. Dia menyayangi makhluk Tuhan, suka bersedekah, tidak menyimpan harta, reda dengan ketentuan Allah s.w.t dan bertawakal kepada-Nya dalam segala perkara. Dia hidup di atas landasan takwa, kuat beribadat dan mensyukuri segala pemberian Tuhan. Dia sudah melepasi makam sabar dan masuk kepada makam reda, maka tidak ada apa lagi yang menekan jiwanya. 

Cahaya ketenangan muncul pada wajahnya. Dia sudah dapat mengalami Hadrat nama-nama Tuhan. Kesedaran dan ingatan terhadap nama-nama Tuhan mendatangkan kenikmatan dan kelazatan pada hatinya. Kehampirannya dengan Tuhan membuatnya merasakan dirinya sentiasa bersama-sama-Nya, maka tidak ada apa lagi yang menakutkan dan mendukacitakannya. Daerah muthmainnah ini dinamakan daerah kewalian peringkat permulaan atau wali kecil.

Manusia rohani memiliki sifat-sifat yang asli. Manusia zahir memperolehi sifat melalui percantuman dengan manusia rohani. Sifat yang muncul pada manusia zahir dinamakan sifat kemanusiaan. Apabila seseorang meninggalkan daerah-daerah ammarah, lawwamah dan mulhamah masuk ke dalam daerah muthmainnah, bermakna dia meninggalkan daerah sifat kemanusiaan dan masuk kepada sifat rohani. Kelenyapan sifat kemanusiaan dinamakan kefanaan. Bertambah kuat sifat rohani menguasainya bertambah kuat kefanaan yang dialaminya. 

Tertanggalnya sifat kemanusiaan dan pada masa yang sama mengalami suasana Hadrat Ilahi menyebabkan orang yang berkenaan menafikan perbuatan manusia dan menyandarkannya kepada perbuatan Tuhan. Orang yang dalam keadaan demikian menyaksikan Hadrat Tuhan menerajui sekalian alam maya ini. Oleh sebab itu dia menyerah bulat-bulat kepada pentadbiran Tuhan. Dalam daerah muthmainnah Hadrat Tuhan yang dialami oleh hati menyata sebagai Nama-nama-Nya yang banyak. Setelah dia masuk kepada daerah yang lebih mendalam hatinya mengalami keadaan di mana Hadrat nama-nama yang kelihatan banyak itu sebenarnya adalah Hadrat yang satu, yang berkuasa menentukan segala perkara, tidak ada yang lain memiliki kuasa. 

Daerah ini dinamakan nafsu radhiah. Suasana hati ahli nafsu radhiah adalah sangat teguh meredai apa sahaja takdir Tuhan. Baginya bala dan nikmat adalah sama sahaja, sama-sama takdir Tuhan. Orang radhiah sangat kuat merasai kehadiran kuasa ghaib mengawal segala kelakuan dan tindak-tanduknya. Perbuatan yang keluar dari dirinya berlaku secara spontan tanpa dia campurtangan sedikit pun. Keadaannya samalah seperti keadaan orang yang melihat dirinya di dalam mimpi. Dia tidak ikut campurtangan dalam kelakuan dirinya yang di dalam mimpi itu. 

Dirinya yang di dalam mimpi melakukan sesuatu tanpa berfikir dan merancang, tidak terikat dengan dirinya yang diluar mimpi. Apabila diri yang di dalam mimpi itu menjadi sangat kuat diri yang di luar merasakan dialah yang khayalan dan diri yang di dalam mimpi itulah diri yang sebenar. Pengalaman seperti inilah menyebabkan orang radhiah menafikan kewujudan dirinya dan diisbatkan kepada kewujudan Allah s.w.t. Kelakuan orang radhiah tidak lagi terpengaruh kepada fikiran, perasaan dan hukum logik. Tuturkatanya berbunga-bunga, sukar dimengerti oleh orang lain. 

Dia kadang-kadang mengeluarkan perkataan yang menyinggung perasaan orang lain. Biasa juga terjadi dia mengeluarkan ucapan yang pada zahirnya menyalahi syariat. Dia tidak lagi mengendahkan peraturan masyarakat. Tingkah lakunya boleh menyebabkan orang ramai menyangkakannya sudah gila. Apa yang nyata pada hatinya adalah segala perkara datangnya dari Tuhan. Dia mengembalikan segala perkara kepada Tuhan. Apa juga kebolehan dan kekeramatan yang diperolehinya disandarkan kepada Tuhan. Orang radhiah mengalami rasa ‘kegilaan kepada Allah’ pada tahap paling tinggi. Suasana hatinya diistilahkan sebagai ‘dalam Allah.’ Dia fana dalam lautan takdir.

Setelah sampai pada kemuncak, darjah kefanaan mula menurun. Peringkat kefanaan menurun ini dinamakan nafsu mardhiah. Dalam proses menaik sehingga ke radhiah seseorang itu terpisah daripada sifat kemanusiaan dan kewujudan alam maya. Apabila sampai kepada daerah mardhiah dia kembali melihat kepada apa yang terpisah daripadanya sewaktu menaik dahulu. Dia sudah boleh melihat sifat kemanusiaan yang menumpang wujud rohani dan sudah merasakan memiliki keupayaan untuk menggunakan sifat dan bakat tersebut. 

Bila sifat kemanusiaan sudah kembali dia kembali menyaksikan kewujudan alam maya dan makhluk di sekelilingnya. Ketika masih hampir dengan daerah radhiah, walaupun dia sudah berada dalam daerah mardhiah, kesan kefanaan belum terhapus sepenuhnya dari hatinya. Penyaksiannya terhadap makhluk tidak menetap. Kadang-kadang penyaksiannya melampaui makhluk. Kemudian makhluk datang kembali kepada pandangannya. 

Begitulah keadaannya sehingga dia sampai kepada penetapan nafsu mardhiah, di mana pandangannya tidak terbalik lagi. Dirinya, sifat dan bakatnya dan makhluk sekaliannya menjadi tetap dalam kesedarannya. Dia masuk ke dalam suasana yang diistilahkan sebagai baqa atau kekal dengan Allah s.w.t. Dalam suasana tersebut hatinya kekal dengan Allah s.w.t walaupun zahirnya bercampur dengan orang ramai. Walaupun dia sudah boleh bergaul dengan orang ramai tetapi dia lebih suka bersendirian dan tidak mahu bercakap atau melakukan sesuatu yang sia-sia. Dia sudah boleh mengatur kehidupan hariannya. Ucapan yang menyalahi syariat tidak keluar lagi dari mulutnya.

Dalam daerah mardhiah seseorang itu mendapat kesedaran sepenuhnya tentang keaslian rohaninya. Perjalanan kerohanian bukanlah perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain. Ia merupakan perubahan kesedaran mengenai hakikat dirinya sehinggalah dia memperolehi kesedaran sepenuhnya tentang keaslian dirinya. Dalam melalui proses perubahan kesedaran itu dia mendapat pengetahuan tentang Tuhan. Dia juga memperolehi kesedaran mengenai roh yang paling latif yang dipakaikan dengan tubuh badan yang nyata. 

Orang mardhiah yakin bahawa dia diciptakan untuk sesuatu tujuan yang khusus tetapi dia belum menerima amanah untuk memikul tugas berkenaan. Oleh itu keadaannya adalah umpama orang yang sedang menunggu kenderaan di stesen. Sementara kenderaan yang akan membawanya pergi ke tempat yang khusus sampai dia melakukan sesuatu pekerjaan secara ala kadar sahaja. 

Dia melakukan sesuatu dengan persediaan untuk meninggalkannya apabila datang ‘perintah’ untuk pergi ke satu tempat yang muktamad kelak. Suasana hati yang beginilah membuatkan orang mardhiah kembali kepada kehidupan dunianya tanpa sesuatu matlamat yang jelas. Sebenarnya kesan kefanaan yang sangat kuat pada peringkat radhiah masih menguasai hatinya. Kesan tersebut membuatnya masih ‘menanti-nantikan’ sesuatu yang dia sendiri tidak pasti. 

Masih ada tarik menarik di dalam hatinya di antara kesedaran kerohanian yang diperolehinya dengan kesedaran kemanusiaan yang dikembalikan kepadanya. Dia adalah umpama seorang yang keberatan untuk memasuki rumahnya yang telah lama ditinggalkannya dan rumah itu gelap gelita. Dia akan terus berkeadaan demikian sehinggalah dia menyedari bahawa dirinya sudah ada cahaya yang mampu menerangi rumah gelap tersebut. Apabila dia telah menerima rumahnya dengan sepenuh jiwa raga dan dia memasuki rumah itu, akan memancarlah di dalamnya cahaya yang terang benderang. Dia mula bekerja di dalam rumah tersebut. Keadaannya seumpama Adam a.s yang reda dengan bumi ini menjadi tempat kediamannya, tempat kematiannya dan tempat dibangkitkan.

Rohani yang terang benderang telah menerima jasad yang gelap gelita, maka sempurnalah kejadian insan. Adam a.s telah menerima bumi sebagai tempat kediamannya, maka sempurnalah tujuan penciptaan Adam a.s. Orang kerohanian melalui berbagai-bagai peringkat kerohanian. Apabila rohaninya menerima jasadnya sempurnalah kejadiannya. Apabila dirinya iaitu rohani yang berkamil dengan jasad, menerima penghidupan di dalam dunia sempurnalah perjalanannya. Tidak ada lagi yang dinanti-nantikannya dan tidak ada perintah lagi yang ditunggunya. Dunia inilah daerah kekhalifahannya dan al-Quran itulah perintah yang sudah siap termetri. 

 Orang kerohanian masuk ke dalam daerah nafsu kamaliah atau kesempurnaan nafsu dengan doa:
Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku! Masukkan daku dengan kemasukan yang baik dan keluarkan daku dengan keluaran yang baik dan jadikanlah untukku langsung dari Engkau satu kekuasaan yang menolong”. Dan katakanlah: “Telah datang kebenaran dan telah lenyap kebatalan; sesungguhnya yang batal itu pastilah dilenyapkan”. ( Ayat 80 & 81 : Surah al-Israa’ @ Bani Israil )

 Berasambung...........
Wallahu'alam  
Barakallahu Fikum 
Wasalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatu 
 

 Bismillahirrahmanirrahim...
Allahumma shallii alaa Muhammad Nabiyyil ummi wa barik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Wa umma wabarik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man shalla' alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man lam an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama tuhibbu an yushalli 'alaihi wassallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama amarta an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama yasbaqhis shalawatu 'alaihi wasallim.
 

Allahumma shalli 'alaa Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamasollaita'ala Ibrahim.
Wabarik'ala Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamabarakta'ala Ibrahima fil'alamin.
innaka hamidunmajid
amiin Ya Karim
amiin Ya Wahhab..amiin Ya "Alimun

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly   1 Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu. Bismillahirrahmanirrahim Allahummashalli 'al...