Cari Blog Ini

Jumat, 04 Juli 2014

Haqiki-39. Syariat menyelamatkan manusia

Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu.

Bismillahirrahmanirrahim
Allahummashalli 'alaa Muhammad wa'alaa aalihi wa ashabihi wadlurriyatihi
washallim.

 

“Alhamdulillahi nasta’iinuhu wanastagh firuhu wana’uudzubillaahi min syuruuri anfusinaa waminsayyi ati a’ maalinaa man yahdihillahu falaa mudhilla lahu waman yudhlil falaa haadiya lahu, asyhadu anlaa ilaha illallaahu wah dahulaa syariikalahu wa asyhadu anna muhammadan ‘abduhuu warasuuluhu la nabiya ba’da.”
 


  Haqiki  
 
20. Syariat menyelamatkan manusia
 
Sesudah itu Adam terima beberapa kalimat dari Tuhannya, lalu Dia ampunkannya kerana sesungguhnya Allah itu Pengampun dan Penyayang. Kami berkata: “Pergilah kamu sekalian dari (syurga) itu, kemudian jika datang petunjuk (agama) daripada-Ku dan sesiapa yang ikut petunjuk itu tidaklah ada ketakutan atas mereka dan tidaklah mereka berdukacita”. ( Ayat 37 & 38 : Surah al-Baqarah ) Hai Bani Adam! Sesungguhnya Kami telah turunkan atas kamu pakaian untuk menutup kemaluan kamu dan pakaian perhiasan dan juga pakaian takwa, ini lebih baik. Yang demikian itu adalah tanda-tanda (kurnia) Allah supaya kamu ingat. ( Ayat 26 : Surah al-A’raaf )
Nabi Adam a.s hanya dipakaikan dengan syariat apabila beliau a.s masuk ke dalam dunia. Beliau a.s tidak dibebankan dengan syariat sewaktu beliau a.s berada di dalam syurga. Syariat menjadi pakaian kebal yang dengannya keturunan Adam a.s boleh selamat daripada fitnah dan tipu daya dunia. Dunia adalah umpama racun dan syariat adalah penawarnya. Sesiapa yang masuk ke dalam dunia tanpa memakai syariat akan ditelan oleh dunia dan diheret kepada alam syaitan.
Syariat adalah peraturan atau sistem yang digubal oleh Allah s.w.t untuk dipatuhi oleh manusia dalam mengadakan perhubungan dengan Tuhan, dengan sesama manusia dan dengan makhluk lain dalam alam maya ini. Syariat sampai kepada umat manusia melalui manusia pilihan Tuhan yang berkedudukan sebagai nabi-nabi. Nabi-nabi bertanggungjawab menerima, memahami, mengamalkan dan menyebarkan syariat yang diturunkan oleh Allah s.w.t. Dasar syariat adalah taat kepada Allah s.w.t dengan mematuhi perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Peraturan yang terdapat dalam syariat yang dibawa oleh seorang Nabi harus ada perbezaan dengan peraturan yang terdapat dalam syariat yang dibawa oleh Nabi yang lain. Walaupun ada perubahan pada peraturan syariat tetapi tuntutan mentaati syariat tidak berubah.

Syariat Nabi Daud a.s mengizinkan lelaki berkahwin seberapa ramai yang mereka mampu tetapi syariat Nabi Muhammad s.a.w menghadkan setakat 4 orang isteri sahaja dalam satu masa. Haram bagi umat Nabi Muhammad s.a.w berkahwin lebih daripada empat orang dalam satu masa, walaupun umat Nabi Daud a.s boleh berbuat demikian. Umat Nabi Muhammad s.a.w tidak boleh bersandar kepada syariat Nabi Daud a.s bagi berkahwin lebih daripada empat orang.
Jika diperhatikan kepada tuntutan mentaati syariat yang dibawa oleh Nabi bagi satu-satu umat, dapatlah difahamkan bahawa dosa dan pahala yang dikatakan oleh syariat bukanlah kerana tidak melakukan atau melakukan peraturan semata-mata. Hukum dosa dan pahala bergantung kepada tidak mentaati atau mentaati Allah s.w.t berhubung dengan peraturan yang Dia tetapkan. Orang munafik boleh melakukan perbuatan sembahyang dengan sempurna, tetapi ia tidak disertakan dengan ketaatan kepada Allah s.w.t, maka perbuatannya itu tidak mendatangkan pahala. Darjah pahala bergantung kepada kekuatan taat dan dalam melakukan peraturan syariat itu dituntut supaya melakukannya dengan cara yang betul, tidak boleh membuat cara sendiri yang menyalahi peraturan syariat.

Bagi setiap umat telah Kami tetapkan upacara ibadat (syariat) yang mereka akan lalui. Maka janganlah sekali-kali mereka membantah engkau dalam perkara ini; dan serulah kepada Tuhan engkau. Sesungguhnya engkau adalah di atas petunjuk yang lurus. ( Ayat 67 : Surah al-Hajj )
Umat satu nabi wajib berpegang kepada syariat yang dibawa oleh nabi tersebut, tidak boleh lari kepada syariat nabi yang lain, melainkan telah datang nabi lain yang membawa syariat yang lebih lengkap dan sempurna. Apabila datang Nabi Muhammad s.a.w sekalian umat manusia wajib berpegang kepada syariat yang dibawa oleh baginda s.a.w. Umat Nabi Muhammad tidak boleh meninggalkan syariat baginda s.a.w kerana mahu mengikuti Nabi-nabi yang terdahulu. Umat Nabi Muhammad s.a.w wajib berpegang kepada firman Allah s.w.t:
Hari ini Aku sempurnakan agama kamu bagi kamu dan Aku cukupkan atas kamu nikmat-Ku. Dan Aku reda Islam menjadi agama (syariat) kamu. ( Ayat 3 : Surah al-Maa’idah )

Umat Nabi Muhammad s.a.w sangat bertuah kerana Allah s.w.t telah kurniakan kepada mereka nikmat yang lengkap iaitu agama Islam, sehingga mereka tidak perlu lagi merujuk kepada apa yang telah diturunkan terdahulu. Allah s.w.t menjamin bahawa Dia reda menerima Islam sebagai agama bagi umat Nabi Muhammad s.a.w. Jaminan Allah s.w.t itu sudah cukup bagi orang yang benar-benar mencari keredaan Allah s.w.t untuk tetap berjalan di atas landasan yang telah dibina oleh Islam. Islam adalah perlembagaan yang cukup lengkap, mencakupi perkara zahir dan juga perkara batin. Islam telah menjelaskan apa yang mesti dibuat dan apa yang mesti tidak dibuat dan bagaimana mahu bertindak menghadapi sesuatu perkara. Umat Islam tidak perlu bertengkar tentang penyelesaian sesuatu masalah. Segala penyelesaian sudah dibentangkan, hanya tegakkan iman dan rujukkan kepada Islam itu sendiri, nescaya segala kemusykilan akan terjawab.

Setiap umat Islam dituntut supaya beriman kepada peraturan yang Tuhan telah tetapkan, mempelajarinya, mengamalkannya dan menyebarkannya sekadar kemampuan masing-masing. Hubungan kaum Muslimin dengan syariat Islam adalah percaya, mempelajari dan melaksanakan. Oleh kerana darjat zahir dan rohani manusia tidak serupa maka terdapatlah perbezaan tahap kepercayaan, pengetahuan dan kekuatan melaksanakannya. Perbezaan tersebut menyebabkan umat Islam mudah bersepakat dalam perkara pokok, bertolak ansur pada perkara cabang dan tidak bersefahaman pada perkara ranting. Kegoncangan pada ranting tidak seharusnya menggoncangkan pokok perpaduan umat Islam. Perbezaan pada tumpuan pelaksanaan tidak seharusnya menyekat kerjasama sesama Muslim. Masalah khilafiah tidak seharusnya menjarakkan kumpulan yang berlainan mazhab.

Al-Quran yang sampai kepada kita sekarang ini mengandungi 6,666 ayat. Tidak mungkin ada orang Islam masa ini yang mampu menyesuaikan dirinya dengan 6,666 ayat tersebut sekaligus, dengan serta merta atau dalam jangka masa yang singkat. Rasulullah s.a.w membawa pengikut-pengikut baginda s.a.w ‘ke dalam’ al-Quran secara berperingkat-peringkat dan baginda s.a.w mengambil masa lebih daripada dua puluh tahun untuk membawa mereka ‘berjalan di dalam’ 6,666 ayat tersebut. Allah s.w.t dan Rasul-Nya sangat berhikmah di dalam mendidik umat manusia. Pada masa berlaku peperangan Badar arak masih belum diharamkan. Sebahagian daripada syuhada Badar terdiri daripada mereka yang kuat meminum arak tetapi Allah s.w.t, dengan kasihan belas dan rahmat-Nya, menerima sekalian ahli Badar sebagai ahli syurga.

Rasulullah s.a.w memberi tumpuan kepada akidah, diikuti oleh akhlak. Al-Quran mengajarkan beriman, kemudian beramal salih. Allah s.w.t memperingatkan bahawa Dia mengampunkan segala dosa, termasuk dosa zina, meminum arak dan sebagainya tetapi Dia tidak mengampunkan dosa syirik. Umat manusia harus diselamatkan daripada dosa yang tidak diampunkan Tuhan terlebih dahulu sebelum dosa yang Tuhan ampunkan. Golongan Muslim yang berilmu berkewajipan menyelamatkan golongan Muslim yang jahil daripada lembah syirik. Dalam berbuat demikian perbezaan fahaman tidak boleh dijadikan penghalang. Puak yang berkuasa dan puak yang berilmu sama-sama akan disoal oleh Tuhan nanti apakah yang mereka buat bagi membersihkan akidah umat manusia. Puak berilmu tidak boleh memberi alasan yang puak berkuasa tidak menerima nasihat. Tanggungjawab ahli ilmu tidak terlepas dengan alasan yang demikian. Dengan sedikit ‘suntikan’ daripada puak yang berilmu akan menjadikan puak yang berkuasa boleh melakukan berbagai-bagai perkara demi kebaikan syariat Tuhan. Dengan sedikit tolak-ansur daripada puak yang berkuasa akan membolehkan puak yang berilmu menyampaikan banyak perkara demi syariat Tuhan.
 Berasambung...........
Wallahu'alam  
Barakallahu Fikum 
Wasalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatu 
 

 Bismillahirrahmanirrahim...
Allahumma shallii alaa Muhammad Nabiyyil ummi wa barik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Wa umma wabarik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man shalla' alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man lam an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama tuhibbu an yushalli 'alaihi wassallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama amarta an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama yasbaqhis shalawatu 'alaihi wasallim.
 

Allahumma shalli 'alaa Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamasollaita'ala Ibrahim.
Wabarik'ala Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamabarakta'ala Ibrahima fil'alamin.
innaka hamidunmajid
amiin Ya Karim
amiin Ya Wahhab..amiin Ya "Alimun

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly   1 Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu. Bismillahirrahmanirrahim Allahummashalli 'al...