Cari Blog Ini

Kamis, 03 Juli 2014

Haqiki-31. Konsep ketuhanan(15)

Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu.

Bismillahirrahmanirrahim
Allahummashalli 'alaa Muhammad wa'alaa aalihi wa ashabihi wadlurriyatihi
washallim.

 

“Alhamdulillahi nasta’iinuhu wanastagh firuhu wana’uudzubillaahi min syuruuri anfusinaa waminsayyi ati a’ maalinaa man yahdihillahu falaa mudhilla lahu waman yudhlil falaa haadiya lahu, asyhadu anlaa ilaha illallaahu wah dahulaa syariikalahu wa asyhadu anna muhammadan ‘abduhuu warasuuluhu la nabiya ba’da.”
 


  Haqiki    

Konsep ketuhanan(15)
 

Sifat Tuhan seperti juga Zat-Nya, adalah unik, tidak boleh dihurai atau dipecahkan. Sifat Tuhan adalah sifat keesaan di mana kesemua sifat-Nya berkamil dalam keesaan, tidak berpisah dan tidak berbeza di antara satu dengan yang lain. Perbezaan pada sifat dibuat secara ilmiah bukan keadaan yang sebenar. Secara ilmiah disebutkan sifat Wujud, Hidup, Melihat dan sebagainya. Walaupun dipandang satu-satu namun keunikan sifat tersebut tetap ada. Keunikan tersebut dipanggil juga kemutlakan. Ilmu Tuhan dikatakan Ilmu yang Mutlak. Ilmu Mutlak tidak mampu dihuraikan. Dalamnya berkumpul pengetahuan dari awal hingga ke akhirnya. Ini bermakna Tuhan mengetahui tentang alam ini daripada sebelum adanya hinggalah kepada tanpa kesudahan. Tuhan mengetahui daripada azali hinggalah kepada abadi dan pengetahuan tersebut adalah pengetahuan secara keesaan, iaitu tatkala mengetahui yang azali itu jugalah Dia mengetahui yang abadi. Tidak ada ruang atau jarak masa pada pengetahuan-Nya sekalipun pengetahuan itu mengenai perkara yang melalui ruang, masa dan zaman. Pada sisi Tuhan, kelmarin, hari ini dan esok adalah yang sama. Tidak ada masa, ruang dan jarak pada sisi-Nya.
Sifat Tuhan Berkata-kata juga Mutlak. Tuhan berkata-kata sejak keazalian sampai kepada keabadian tanpa satu patah perkataan dan tanpa suara. Manusia bercakap dalam satu tempuh menggunakan berpatah-patah perkataan dan ada mengeluarkan suara. Tetapi Tuhan Berkata-kata dalam keadaan Kalam-Nya yang pertama dengan Kalam-Nya yang terakhir adalah Kalam yang sama, tidak berpisah, tidak berbeza dan tidak bersuara. Begitu juga dengan sifat Tuhan yang lain. Sifat kemutlakan menyebabkan Tuhan berkuasa berhubung dengan makhluk-Nya tanpa berlaku pertembungan Wujud Tuhan dan sifat Tuhan dengan wujud makhluk dan sifat makhluk. Kemutlakan sifat Tuhan menyebabkan tidak mungkin makhluk termasuklah manusia bersekutu dengan perbuatan atau sifat Tuhan, apalagi Zat Tuhan. Manusia yang membalingkan tombaknya perlu mengadakan beberapa pergerakan, tetapi perbuatan Tuhan tidak memerlukan pergerakan. Tidak mungkin manusia menggunakan perbuatan Tuhan dalam melakukan perbuatannya. Kebenaran ini tidak terjangkau oleh logik. Hukum logik mengatakan tidak mungkin Tuhan Mengetahui benda-benda alam jika Ilmu-Nya tidak ada hubungan dengan benda-benda tersebut. Hukum logik juga mengatakan tidak mungkin Tuhan menciptakan alam jika Kuasa-Nya tidak ada hubungan dengan alam. Hukum logik tidak mengerti bahawa pada tahap “Tuhan melampaui segala sesuatu” keabadian yang lalu (azali) dan keabadian yang akan datang (abadi) adalah satu masa yang sama, malah masa tidak wujud pada tahap ini. Itulah kemutlakan. Pada tahap kemutlakan jika sifat Wujud dipakaikan kepada Tuhan maka ia adalah Wujud Mutlak yang tidak ada permulaan, tiada kesudahan, tidak menempati ruang dan tidak ada persaingan daripada yang tidak Mutlak.
Kebenaran Hakiki menyatakan bahawa Allah s.w.t Yang Maha Suci, Maha Tinggi, Maha Besar, melampaui apa juga sifat yang disifatkan bagi-Nya. Dia melampaui tahap Wujud. Wujud merupakan kenyataan pertama tentang Zat Allah s.w.t Yang Maha Tinggi. Kebanyakan sufi menyamakan Wujud dengan Zat Yang Maha Suci. Perbezaan tahap Wujud dengan Zat Allah s.w.t Yang Melampaui Segala Sesuatu sangat halus hinggakan kebanyakan manusia gagal menyedarinya atau enggan menerima perbezaan tersebut. Ramai manusia menyembah Wujud sebagai Tuhan dan gagal melampauinya untuk mencapai matlamat sebenar penyembahan, ketaatan dan penyayangan yang melepasi tahap tersebut. Mereka menganggap Wujud sebagai sumber kepada segala yang maujud dan penyebab kepada segala kejadian. Mereka juga lupa bahawa Wujud bergantung dan berhajat kepada Zat-Nya yang melampaui Wujud atau yang tidak wujud. Sebab itulah kefanaan yang menyeluruh atau ketidakwujudan yang sejati tidak menemukan seseorang dengan Kebenaran Hakiki. Kesatuan Wujud (wahdatul wujud) juga gagal menemui Kebenaran Hakiki. Kebaqaan (kekekalan bersama Tuhan) juga gagal berbuat demikian. Kebenaran Hakiki hanya ditemui dalam kesedaran yang sepenuhnya, menyedari bahawa: “Katakanlah: ‘Tuhan kami adalah Allah!’ Kemudian teguhkan pendirian”. Kebenaran Hakiki ditemui melalui iman yang teguh.
Fikiran, ilham dan kasyaf manusia bertingkat-tingkat. Oleh itu fahaman, kepercayaan dan pegangan mereka juga berbeza-beza mengenai keunikan dan kemutlakan Tuhan dan sifat Tuhan yang tidak mampu dihurai oleh akal fikiran. Orang yang mencari Tuhan dengan menggunakan akal fikiran akan jatuh ke dalam salah satu golongan. Golongan pertama menjadi gila. Golongan ke dua menjadi ateis (tidak percaya kepada kewujudan Tuhan). Golongan ke tiga mengaku kalah dan menyerah. Orang yang mencari Tuhan melalui ilham adalah golongan ahli falsafah dan sebahagian daripada golongan sufi. Ahli falsafah tertarik dengan sifat kesempurnaan Tuhan dan ahli sufi asyik dengan sifat keelokan Tuhan. Sufi yang lebih maju mencari Tuhan dengan kasyaf mereka dan mereka temui bayangan Tuhan. Sufi yang menyaksikan bayangan Tuhan banyak mengeluarkan pendapat yang ganjil-ganjil tentang Tuhan. Sufi yang dapat melepasi peringkat bayangan akan menjadi seperti ahli fikir golongan ke tiga yang tunduk, menyerah dan beriman. Pengakuan terhadap kedaifan dan kejahilan diri merupakan pintu kepada penyerahan (keislaman) yang sejati yang membawa kepada mengenal Yang Hakiki sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Oleh sebab itulah sufi yang arif bersepakat dengan orang alim yang benar. Titik pertemuan mereka adalah syariat yang menggabungkan yang zahir dengan yang batin.
 Berasambung...........
Wallahu'alam  
Barakallahu Fikum 
Wasalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatu 
 

 Bismillahirrahmanirrahim...
Allahumma shallii alaa Muhammad Nabiyyil ummi wa barik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Wa umma wabarik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man shalla' alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man lam an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama tuhibbu an yushalli 'alaihi wassallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama amarta an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama yasbaqhis shalawatu 'alaihi wasallim.
 

Allahumma shalli 'alaa Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamasollaita'ala Ibrahim.
Wabarik'ala Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamabarakta'ala Ibrahima fil'alamin.
innaka hamidunmajid
amiin Ya Karim
amiin Ya Wahhab..amiin Ya "Alimun

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly   1 Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu. Bismillahirrahmanirrahim Allahummashalli 'al...