Cari Blog Ini

Kamis, 03 Juli 2014

Haqiki-27. Kasyaf dan ilham sufi (13)


Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu.

Bismillahirrahmanirrahim
Allahummashalli 'alaa Muhammad wa'alaa aalihi wa ashabihi wadlurriyatihi
washallim.

 

“Alhamdulillahi nasta’iinuhu wanastagh firuhu wana’uudzubillaahi min syuruuri anfusinaa waminsayyi ati a’ maalinaa man yahdihillahu falaa mudhilla lahu waman yudhlil falaa haadiya lahu, asyhadu anlaa ilaha illallaahu wah dahulaa syariikalahu wa asyhadu anna muhammadan ‘abduhuu warasuuluhu la nabiya ba’da.”
 


  Haqiki  

Kasyaf dan ilham sufi (13)

Ilham dan kasyaf sufi lebih bersifat peribadi, berguna untuk sufi itu sendiri dalam menentukan arah tindakannya. Kesan mabuk yang berlaku pada jalan kewalian sufi sukar terpisah daripada seseorang sufi itu dan kesan tersebut boleh mempengaruhi ilham dan kasyafnya. Apa yang diperolehi oleh sufi yang dipengaruhi oleh mabuk mungkin tidak menepati kebenaran yang asli. Sufi tersebut mungkin mengeluarkan pendapat yang kurang benar dan meninggalkan yang lebih benar. 

Oleh yang demikian kebenaran ilham dan kasyaf sufi itu mesti diuji dengan kebenaran al-Quran dan as-Sunah. Kedudukan seseorang sufi itu diukur dengan melihat sejauh mana ilham dan kasyafnya bersesuaian dengan ajaran al-Quran dan as-Sunah. Sufi yang telah mencapai tahap kewalian peringkat tertinggi, yang telah terlepas daripada kesan mabuk, fana dan bersatu dengan Tuhan, tidak bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunah.

 Al-Quran dan Hadis telah memberi penjelasan yang lengkap mengenai perkara-perkara yang bersangkutan dengan akidah. Perkara yang sudah cukup terang dan jelas ini tidak boleh digugat oleh apa sahaja, termasuklah fahaman, ilham dan kasyaf sufi. Jika terjadi percanggahan di antara ucapan ahli sufi dengan kenyataan al-Quran dan as-Sunah mengenai perkara akidah, ia mestilah ditolak dan perkataan al-Quran dan as-Sunah itu yang wajib diimani

Ucapan sufi yang demikian hendaklah dianggapkan sebagai ucapan yang lahir daripada suasana hati yang dipengaruhi oleh mabuk dan fana dan sufi berkenaan belum lagi menghabiskan perjalanannya. Jika perkataan sufi menyokong kenyataan al-Quran dan as-Sunah, maka perkataan tersebut hendaklah dibenarkan. Dalam memahami maksud al-Quran dan as-Sunah, aliran Ahli Sunah wal Jamaah hendaklah diikuti.
Ada perkara-perkara yang al-Quran dan al-Hadis hanya memberi maklumat secara sepintas lalu atau pun tidak memberi maklumat sedikitpun. 

 Perkara-perkara berkenaan termasuklah soal-soal syurga, neraka, bumi, alam maya, malaikat, jin, makhluk rohani dan lain-lain. Ahli sufi banyak memperkatakan soal-soal yang demikian berdasarkan ilham dan kasyaf mereka, tanpa sokongan nas yang sahih. Dalam soal ini orang ramai tidak dituntut untuk mengimani perkataan sufi. Ilham dan kasyaf sufi boleh jadi benar dan boleh jadi juga tidak benar. Nabi-nabi diperakui oleh Allah s.w.t sebagai maksum, dijamin terpelihara daripada gangguan syaitan dan tidak terjadi kesalahan pada ilham dan kasyaf mereka. Apa juga kekeliruan yang timbul akibat gangguan syaitan diperbetulkan dengan segera dan kebenaran perkataan Nabi-nabi ditetapkan. Jaminan yang demikian tidak diberi kepada golongan yang bukan Nabi. Namun begitu, perkataan sufi mengenai soal-soal yang tidak bersangkutan dengan akidah itu boleh dijadikan iktibar dan mempercayainya tidak menjadi kesalahan. Melalui perkataan mereka orang-orang yang ingin memahami perkara-perkara tersebut mendapat sedikit pemahaman yang boleh dikembangkan melalui kekuatan akal fikiran.

Sufi memperolehi maklumat melalui kasyaf. Kadang-kadang kasyaf berlaku kepada sufi dalam bentuk ibarat atau pembukaan secara umum tanpa perincian. Kasyaf yang demikian perlu ditafsirkan. Biasa terjadi tafsiran yang dibuat oleh sufi itu tidak menepati gambaran atau ibarat yang dibukakan kepadanya Bila sufi menerima berita secara umum maka tafsiran secara umum juga yang diberikannya. Maklumat yang diperolehi secara umum, tanpa perincian, tidak dapat menceritakan sesuatu perkara dengan tepat. Sufi juga mungkin mendapat maklumat mengenai sesuatu kejadian dan maklumat tersebut datangnya daripada sumber takdir yang akan berubah, sedangkan perubahan yang akan berlaku tidak dibukakan kepadanya. Allah s.w.t berfirman:
Apa sahajat ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan) atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu? ( Ayat 106 : Surah al-Baqarah )

Ayat di atas memberitahukan tentang takdir yang di dalam perbatasan yang boleh berubah dengan kehendak dan perintah Allah s.w.t.
Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang) perubahan pada kalimat (janji-janji) Allah; yang demikian itulah kejayaan yang besar. ( Ayat 64 : Surah Yunus )
Ayat di atas ini pula memberitahukan tentang daerah takdir yang tidak akan berubah kerana Allah s.w.t telah menetapkannya. Kasyaf seorang sufi mungkin hanya sampai kepada daerah takdir yang mungkin berubah, tidak sampai kepada daerah takdir yang tetap. Oleh yang demikian apa yang disaksikannya mungkin berlaku dan mungkin juga tidak berlaku.

Perlu juga diketahui bahawa seseorang sufi melalui peningkatan kerohanian secara sedikit demi sedikit, bukan sekaligus. Suasana kerohanian atau makam mempengaruhi fahaman dan pegangan sufi. Seorang sufi boleh mengeluarkan beberapa pendapat yang berbeza mengenai perkara yang sama. Pendapatnya di awal perjalanan, pertengahan dan di akhir perjalanan mungkin bertentangan di antara satu sama lain. Pendapatnya yang paling benar adalah pendapat yang diberikannya setelah dia kembali kepada kesedaran sepenuhnya dan berkamil dengan syariat sepenuhnya.

Sufi yang masih di dalam perjalanan menemui beberapa fahaman yang bercanggah dengan prinsip syariat. Di antara yang demikian adalah konsep tauhid af’al, tauhid sifat dan tauhid wujud. Konsep tauhid yang demikian membawa Tuhan ke dalam perbatasan alam dan mengadakan persamaan di antara Tuhan dengan makhluk. Sufi yang sedang dikuasai oleh suasana kerohanian yang demikian menafikan perbuatan dirinya, sifatnya dan wujudnya. Semuanya diisbatkan kepada Allah s.w.t. Muncullah ungkapan seperti: “Tiada yang berbuat melainkan Allah. Tiada yang hidup melainkan Allah. Tiada yang maujud melainkan Allah” dan lain-lain ungkapan yang seumpamanya. 

Ungkapan yang paling popular dikaitkan dengan kesufian adalah: “Ana al-Haq!” Ada golongan yang beranggapan kononnya sufi yang belum mengucapkan “Ana al-Haq” belum lagi mencapai makam yang paling tinggi. Golongan sufi ikutan menggunakan ungkapan yang demikian bagi memukau kesedaran diri sendiri dengan cara mengulangi ucapannya sebanyak mungkin dan menghayati maknanya sehingga terpahat kepercayaan yang demikian dalam jiwa mereka. Golongan yang mengikut secara membuta tuli inilah yang menyebarkan kesesatan, berselindung di sebalik perkataan sufi yang sedang mabuk.


Manusia yang masih ada keupayaan untuk membuat pilihan, berfikir dan merasa, mestilah faham keadaan sufi yang fitrah mereka menerima kejutan alam ghaib sehingga keupayaannya untuk membuat pilihan, berfikir dan merasa hilang. Sufi yang demikian dikatakan berada di dalam jazbah. Orang yang berada dalam jazbah adalah umpama orang yang keluar ke laut menaiki perahu kecil. Bila dipukul gelombang dia menjadi mabuk dan meracau. Setelah dia sampai ke tengah laut, ombak sudah tenang, mabuknya berkurangan dan akhirnya dia kembali normal. 

Bila dia sudah sedar dia tidak meracau lagi. Pengalaman jazbah berguna kepada sufi berkenaan kerana pengalaman yang demikian menanggalkan sifat-sifat yang keji dari hatinya dan sifat ikhlas menjadi sebati dengannya. Pengalaman jazbah itu juga berguna kepada guru yang menjadi pembimbing kerana dengannya guru dapat mengetahui suasana dan stesen kerohanian muridnya. Ia juga menjadi tanda bahawa murid berkenaan mempunyai harapan untuk menjadi cemerlang kesudahannya. Guru yang arif akan membimbing muridnya supaya melepasi peringkat-peringkat zauk sehingga sampai kepada penghujung jalan yang tenang dan damai. Murid yang sudah melepasi peringkat jazbah dan kembali kepada kesedaran kemanusiaan biasa akan menyedari akan kekeliruan yang muncul dalam fahamannya sepanjang perjalanannya. Dia bertaubat daripada pegangan yang lalu. Kini dia menyaksikan satu kebenaran sahaja iaitu kebenaran kehambaan kepada Allah s.w.t. Manusia dan jin diciptakan untuk mengabdikan diri kepada-Nya, bukan untuk bersatu dengan perbuatan, sifat atau wujud-Nya.

Fahaman yang keluar dari ilham dan kasyaf sufi sekiranya menyalahi syariat wajiblah ditolak. Jika orang yang mengetahui tentangnya ada kebolehan, ucapan latah sufi haruslah diterjemahkan menurut stesen kerohanian sufi berkenaan dan penjelasan harus diberi kepada orang ramai agar latah sufi tidak disalahertikan. Sufi yang mengeluarkan ucapan latah ketika dalam jazbah haruslah dimaafkan, walaupun ucapannya menyalahi syariat. Harus diingat bahawa sufi tidak terlepas sepenuhnya daripada suasana mabuk sebelum dia sampai kepada makam siddiqiyat. Semua makam di bawah daripada makam siddiqiyat tidak terlepas daripada pengaruh mabuk sedikit atau banyak. Kesimpulannya pendapat sufi yang bertentangan dengan syariat wajib ditolak tetapi peribadi sufi itu sendiri tidak boleh dikutuk kerana dia dikuasai oleh mabuk.

 Berasambung...........
Wallahu'alam  
Barakallahu Fikum 
Wasalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatu 
 

 Bismillahirrahmanirrahim...
Allahumma shallii alaa Muhammad Nabiyyil ummi wa barik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Wa umma wabarik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man shalla' alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man lam an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama tuhibbu an yushalli 'alaihi wassallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama amarta an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama yasbaqhis shalawatu 'alaihi wasallim.
 

Allahumma shalli 'alaa Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamasollaita'ala Ibrahim.
Wabarik'ala Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamabarakta'ala Ibrahima fil'alamin.
innaka hamidunmajid
amiin Ya Karim
amiin Ya Wahhab..amiin Ya "Alimun

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly   1 Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu. Bismillahirrahmanirrahim Allahummashalli 'al...