Cari Blog Ini

Kamis, 03 Juli 2014

Haqiki-19 Pengalaman kerohanian sufi


Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu.

Bismillahirrahmanirrahim
Allahummashalli 'alaa Muhammad wa'alaa aalihi wa ashabihi wadlurriyatihi
washallim.

 

“Alhamdulillahi nasta’iinuhu wanastagh firuhu wana’uudzubillaahi min syuruuri anfusinaa waminsayyi ati a’ maalinaa man yahdihillahu falaa mudhilla lahu waman yudhlil falaa haadiya lahu, asyhadu anlaa ilaha illallaahu wah dahulaa syariikalahu wa asyhadu anna muhammadan ‘abduhuu warasuuluhu la nabiya ba’da.”
 


  Haqiki 
 Pengalaman kerohanian sufi (10)

Roh Insan adalah cahaya dan nafsunya adalah kegelapan yang membungkus cahaya itu. Kaum sufi mengadakan latihan untuk menghalau kegelapan nafsu dan memancarkan cahaya roh. Jika tumpuan kepada Allah s.w.t dilakukan dengan penuh kekhusyukan disertai oleh penyerahan kepada-Nya dan penyerapan dalam-Nya dengan cara yang betul, akan muncullah daya dan upaya yang menghalau kegelapan untuk memberi laluan kepada cahaya yang terang benderang. Bila penyerapan (kefanaan) ini bertambah kuat sehingga sufi sampai kepada peringkat melupakan dirinya dan segala yang maujud, sufi itu akan lenyap di dalam penyaksian cahaya-cahaya, seterusnya dia sampai kepada matlamat dengan membawa hijab bersama-samanya. Pada tahap ini dia sepenuhnya berada dalam kefanaan zahir dan batin. Jika selepas pengalaman fana itu penyaksian berterusan dengannya dia akan maju ke hadapan untuk melepasi peringkat fana dan mencapai baqa. Pada makam ini sufi tersebut boleh dianggap sebagai seorang wali. Sebahagian sufi yang sampai kepada makam ini kekal dalam penyerapan terhadap apa yang disaksikannya, lupa terhadap dirinya dan berterusan dalam suasana demikian sehingga ke akhir hayatnya. Sebahagian sufi yang lain melepasi peringkat tersebut, kembali kepada kesedaran keinsanan dan kehidupan dunia, lalu mengambil tugas dalam bidang dakwah, membimbing orang lain kepada jalan Allah s.w.t. Pada tahap ini batinnya tidak berpisah dengan Tuhan sementara zahirnya sibuk melayani makhluk Tuhan. Dia keluar dari bayangan dan hijab kerana cahaya roh sudah menembusi kegelapan nafsu. Bila cahaya sudah menang kegelapan akan tunduk kepada cahaya untuk berbuat ibadat dan ketaatan kepada Allah s.w.t. Nafsu menjadi suci bersih, tidak lagi mengheret kepada kemaksiatan dan kemunkaran. Orang yang telah mencapai peringkat di mana cahaya rohnya keluar memancar dari kegelapan nafsu dan nafsu tunduk kepada kebenaran itu layak masuk ke dalam golongan ‘tangan kanan’ Tuhan. Golongan yang kembali sedar dan mengambil bahagian dalam kegiatan kehidupan dunia ini akan dikurniakan kejayaan oleh Tuhan dalam tugasnya. Rahmat Tuhan mengalir melalui mereka kepada umat manusia. 

Peringkat perjalanan sufi yang sering menimbulkan kekeliruan adalah peringkat yang ada suluk, jazbah, zauk, fana dan baqa. Di antara semua hal dalam peringkat tersebut, penyaksian kepada rupa, bentuk, warna dan cahaya merupakan perkara yang paling menimbulkan tanda-tanya.
Suluk adalah satu bentuk latihan kerohanian yang bertujuan mengosongkan hati daripada sifat-sifat yang keji dan memasukkan sifat-sifat yang terpuji ke dalamnya. Berbagai-bagai jenis ibadat dilakukan semasa bersuluk. Bentuk latihan dan ibadat yang terperinci bergantung kepada perguruan tarekat masing-masing. Semasa bersuluk itu seseorang mungkin mengalami atau merasai sesuatu yang dinisbahkan kepada ketuhanan, di mana hijab terangkat dan orang yang berkenaan menyaksikan atau merasakan suasana alam ghaib. Suasana yang menguasai hati itu dinamakan jazbah dan hati yang dikuasai oleh jazbah itu dikatakan berada dalam zauk. Perkara atau pengalaman yang dizaukkan itu dinamakan hal. Jazbah itu terjadi ketika seseorang itu hilang kesedaran terhadap dirinya dan alam maujud sekaliannya. Kelenyapan kesedaran itu dinamakan fana. Seseorang itu mengalami kefanaan tatkala terbuka hal-hal ketuhanan kepada hatinya. Selepas melalui kefanaan seseorang memperolehi semula kesedaran dirinya tetapi dalam keadaan merasakan dirinya berada bersama-sama Allah s.w.t. Suasana yang begini dinamakan baqa.

Jazbah, fana dan baqa merupakan pengalaman hati, berlaku dalam alam kebatinan orang yang sedang bersuluk. Dalam keadaan demikian hati menyaksikan atau mengalami perkara ghaib. Yang disaksikan itu boleh jadi rupa, bentuk, warna atau cahaya. Walaupun yang disaksikan itu bersifat ghaib, tidak boleh dipandang dengan mata zahir, tetapi ia bukanlah Tuhan. Penyaksian tersebut tertuju kepada bentuk misal yang digubah oleh Tuhan. Bentuk misal bukanlah Yang Hakiki. Yang Hakiki tidak dapat dimisal atau digambarkan. Bentuk misal yang muncul itu bergantung kepada diri orang yang berkenaan dan apa yang dia asyikkan. Orang Hindu yang asyikkan lembu akan menemui bentuk misal lembu dalam alam kebatinannya. Orang Keristian yang asyikkan Isa al-Masih akan temui bentuk misal Isa al-Masih. Orang Yahudi yang asyikkan Uzair akan temui bentuk misal Uzair. Orang yang asyikkan dirinya akan temui bentuk misal dirinya. Bentuk misal menjadi tumpuan orang yang sedang keasyikan dan kerinduan. Seorang kekasih yang sedang keasyikan dan sangat merindui kekasihnya merasakan gambar kekasihnya yang hanya sekeping kertas sebagai kekasihnya sendiri, hidup-hidup. Gambar itu dipeluk dan diciumnya, malah dia berkata-kata dengan kertas ditangannya itu. Bentuk misal pada alam ghaib berbeza daripada gambar pada kertas yang kaku. Misal alam ghaib boleh disaksikan oleh hati. Oleh yang demikian misal alam ghaib meninggalkan kesan yang lebih kuat dan lebih mendalam kepada hati yang menyaksikannya. Orang yang sedang asyikkan Allah s.w.t, tidak ada sesuatu dalam ingatannya selain Allah s.w.t, segala keasyikan dan kerinduannya akan menjurus kepada cahaya atau misal yang disaksikannya dalam alam ghaib. Pada perasaannya apa yang disaksikannya adalah Allah s.w.t, semata-mata Allah s.w.t, tidak yang lain. Orang yang dalam keadaan demikian bukan sahaja dikuasai oleh penyaksian terhadap Allah s.w.t pada alam ghaib, bahkan pada alam nyata juga. Apa yang menyata pada pandangan zahirnya dan pandangan hatinya, baginya adalah Allah s.w.t, tiada yang lain. Bentuk ghaib dan bentuk nyata semuanya menjadi misal untuknya melihat Allah s.w.t. Pengalaman yang demikian terjadi akibat mabuk. Mabuk ketuhanan dialami oleh hati. Ia terjadi kerana insan sebagai bekas yang baharu dan lemah digunakan untuk ‘memasukkan’ Allah s.w.t ke dalamnya. Tidak ada satu pun makhluk yang mampu menanggung Tuhan. Bukit Thursina yang dihadapkan dengan tajalli Allah s.w.t telah hancur berkecai. Bukit dan tubuh manusia sama-sama disusun daripada anasir tanah, air, api dan angin. Jika bukit hancur berhadapan dengan tajalli Allah s.w.t, tubuh manusia juga akan hancur dalam keadaan demikian. Oleh kerana yang berlaku pada hati bukanlah tajalli Allah s.w.t tetapi hanyalah misalan yang lahir dari keasyikan dan kerinduan kepada Allah s.w.t, maka tubuh mampu bertahan dan tidak menjadi hancur. Walaupun begitu Cinta Allah s.w.t tetap memberi kesan kepada hati dan tubuh badan. Kesan kepada hati dinamakan mabuk ketuhanan. Tubuh yang menjadi bekas kepada hati yang menerima mabuk ketuhanan itu akan mempamerkan kesan tersebut seperti menggeletar, berubah warna menjadi pucat, menari, menyanyi dan lain-lain mengikut hal mabuk orang berkenaan. Cinta Allah s.w.t dan mabuk ketuhanan itu juga yang melahirkan rasa bersatu dengan Allah s.w.t. Mabuk ketuhanan dan rasa bersatu dengan Allah s.w.t terjadi ketika seseorang itu melupakan dirinya. Apabila kesedaran terhadap kewujudan diri kembali sedikit demi sedikit, rasa bersatu berubah menjadi rasa kekal bersama-sama Allah s.w.t atau baqa.
 Berasambung...........
Wallahu'alam  
Barakallahu Fikum 
Wasalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatu 
 
 Bismillahirrahmanirrahim...
Allahumma shallii alaa Muhammad Nabiyyil ummi wa barik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Wa umma wabarik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man shalla' alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man lam an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama tuhibbu an yushalli 'alaihi wassallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama amarta an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama yasbaqhis shalawatu 'alaihi wasallim.
 

Allahumma shalli 'alaa Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamasollaita'ala Ibrahim.
Wabarik'ala Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamabarakta'ala Ibrahima fil'alamin.
innaka hamidunmajid
amiin Ya Karim
amiin Ya Wahhab..amiin Ya "Alimun


Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly   1 Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu. Bismillahirrahmanirrahim Allahummashalli 'al...