Cari Blog Ini

Kamis, 03 Juli 2014

Haqiki-8 Rasulallah Shalallahu 'Alaihi Wasallam

Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu.

Bismillahirrahmanirrahim
Allahummashalli 'alaa Muhammad wa'alaa aalihi wa ashabihi wadlurriyatihi
washallim.

 

“Alhamdulillahi nasta’iinuhu wanastagh firuhu wana’uudzubillaahi min syuruuri anfusinaa waminsayyi ati a’ maalinaa man yahdihillahu falaa mudhilla lahu waman yudhlil falaa haadiya lahu, asyhadu anlaa ilaha illallaahu wah dahulaa syariikalahu wa asyhadu anna muhammadan ‘abduhuu warasuuluhu la nabiya ba’da.”
 Haqiki  Rasulallah Shalallahu 'Alaihi Wasallam
Jalan para sahabat r.a
Setelah wahyu datang tamatlah peringkat khalwat yang dilalui oleh Nabi Muhammad s.a.w. Baginda s.a.w sebagai penterjemah wahyu yang paling arif menyampaikan ajaran wahyu kepada pengikut-pengikut baginda s.a.w tanpa membawa mereka memasuki proses khalwat baik di Gua Hiraa atau di mana-mana gua. Tarekat atau jalan sebelum kedatangan wahyu dengan selepas kedatangan wahyu adalah berbeza. 

Wahyu membawa Nabi Muhammad s.a.w dan pengikut baginda s.a.w memasuki tarekat kehidupan harian di atas muka bumi, di dalam dunia, secara bertauhid dan beramal salih serta bertakwa. Semua itu dilakukan dengan memperakui dan memelihara kewujudan kekeluargaan, kemasyarakatan dan kenegaraan. Golongan hamba yang telah memeluk agama Islam memperakui kedudukan mereka sebagai hamba. Tidak ada hamba yang memeluk Islam lari dari tuan mereka. Mereka tetap menghormati institusi kemasyarakatan sekalipun telah memilih Islam yang mempunyai institusinya sendiri. Golongan pedagang terus juga berdagang. 

Golongan pertukangan dan pertanian terus juga bertukang dan bertani. Tidak ada di antara mereka yang meninggalkan urusan kehidupan harian lantaran mahu berkhalwat secara khusus seperti yang telah dilalui oleh Rasulullah s.a.w. Islam tidak mengubah kehidupan harian. Apa yang Islam buat adalah menyusun semula kehidupan itu agar ia menjadi jalan yang lurus menuju kebaikan di dunia dan di akhirat dan seterusnya menemui Tuhan Rabbul Jalil.

Muslim generasi pertama telah membina asas jalan yang lurus dengan keringat dan darah mereka, dengan harta dan jiwa mereka. Generasi yang datang kemudian dapat berjalan di atas jalan lurus yang sudah siap di bina, tidak perlu lagi membina jalan yang lain. Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w yang berjuang menegakkan jalan yang lurus itu tidak melepaskan sifat-sifat benar, amanah, menyampaikan dan bijaksana dalam segala urusan termasuklah ketika bertawakal, berserah diri dan beriman kepada Qadak dan Qadar. Mereka beriman kepada takdir dan berserah diri secara bijaksana dan benar. 

Mereka melihat tanda mereka berserah diri kepada Tuhan adalah mereka menggunakan segala bakat dan keupayaan yang Tuhan kurniakan kepada mereka untuk bergerak di atas jalan yang lurus, melakukan amal salih dan bertakwa. Mereka melihat bahawa tanda mereka beriman kepada takdir adalah mereka menggunakan segala kekuatan untuk mempertahankan kebenaran dan yang benar kerana yang demikian itulah takdir yang paling benar, sementara yang lain itu hanyalah bayangan takdir yang samar-samar dan tidak layak diimani.

Nabi Muhammad s.a.w telah menunjukkan contoh teladan yang benar mengenai konsep beriman kepada takdir dan bertawakal. Baginda s.a.w cenderung bergerak dan bertindak di dalam sempadan kemanusiaan biasa dengan menggunakan bakat kemanusiaan seperti orang ramai. Pada malam pemuda-pemuda Quraisy mengepung rumah baginda s.a.w untuk membunuh baginda s.a.w, baginda s.a.w telah menyuruh Saidina Ali bin Abu Talib tidur di tempat baginda s.a.w biasa tidur dan Saidina Ali diselimutkan dengan kain selimut baginda s.a.w sendiri. Baginda s.a.w menggunakan strategi, kebijaksanaan dan helah kemanusiaan untuk mengalahkan kumpulan yang mahu membunuh baginda s.a.w itu. 

Setelah keluar dari rumah, baginda s.a.w bersama-sama sahabat paling akrab, Saidina Abu Bakar, bersembunyi di dalam Gua Saur. Rancangan persembunyian di sana telah di atur dengan sangat rapi sehingga rahsia tersebut tidak bocor. Semasa di dalam persembunyian itu maklumat sentiasa di hantar kepada baginda s.a.w oleh anak lelaki Saidina Abu Bakar. Makanan disediakan oleh bekas hamba Saidina Abu Bakar yang mengembalakan kambing Saidina Abu Bakar di kaki Bukit Saur. Semua jejak yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w dan Saidina Abu Bakar dihapuskan sehingga tidak ada tanda-tanda yang mereka bersembunyi di Gua Saur. Sekali lagi kaum musyrikin ditewaskan oleh kebijaksanaan Rasulullah s.a.w.

Sebaik sahaja keadaan di dalam negeri Makkah reda dan tenang sedikit dan telah ada ruang untuk Rasulullah s.a.w bergerak, maklumat tersebut dengan pantas dihantarkan oleh anak Saidina Abu Bakar dan dengan segera pula Rasulullah s.a.w bertindak di atas kesempatan yang terbuka itu. 

Unta-unta Saidina Abu Bakar yang kuat, yang dijaga khusus untuk tujuan hijrah itu, dan bekalan makanan dengan segera dihantarkan ke Gua Saur. Rasulullah s.a.w bersama-sama Saidina Abu Bakar, dengan dipandu oleh jurupandu yang mahir, bersegera meninggalkan Gua Saur. Pergerakan yang begitu pantas hanya boleh terjadi dengan perancangan yang rapi dan bijaksana. Setelah meninggalkan Gua Saur baginda s.a.w mengambil jalan yang bertentangan dengan arah Yasrib. Jalan yang paling sukar dan paling tidak di sangka telah dipilih oleh Rasulullah s.a.w. Selepas melepasi kawasan bahaya baharulah Rasulullah s.a.w membelok ke arah Yasrib.

Tidak ada pengkaji sejarah yang tidak berasa kagum dengan kebijaksanaan Rasulullah s.a.w. Kebijaksanaan baginda s.a.w sudah menyerlah ketika baginda s.a.w masih muda belia lagi. Kekuatan akal baginda s.a.w dapat mengalahkan kekuatan akal semua manusia. Semua akal tunduk kepada akal yang mendapat pembukaan daripada Allah s.w.t. Kebijaksanaan merupakan mukjizat Rasulullah s.a.w yang sangat ketara. Ketika suku-suku Quraisy sudah sampai kepada peringkat mahu berperang sesama sendiri akibat kebuntuan akal mereka menentukan siapakah yang layak meletakkan semula Hajaral Aswad ke tempat asalnya setelah Kaabah dibina semula, Nabi Muhammad s.a.w yang pada masa itu masih seorang pemuda, dengan mudah sahaja menyelesaikan pertikaian tersebut, tanpa memerlukan masa untuk berfikir, tanpa meminta pendapat sesiapa dan tanpa ragu-ragu baginda s.a.w mengeluarkan formula yang diterima oleh semua orang. Kebijaksanaan baginda s.a.w menjadi lebih sempurna lagi setelah mendapat penerangan daripada wahyu. Tidak ada sepatah pun perkataan baginda s.a.w yang sia-sia. Tidak ada satu pun perbuatan baginda s.a.w yang tidak bermanfaat. Hanya Nabi Muhammad s.a.w seorang sahaja di dunia ini yang setiap patah perkataan dan setiap perbuatannya direkodkan. Hingga kini belum ditemui sebarang kesilapan pada perbuatan dan perkataan baginda s.a.w.

Rasulullah s.a.w melaksanakan segala tugas dengan cemerlang, dengan menggunakan bakat dan keupayaan kemanusiaan. Memang benar baginda s.a.w dikurniakan mukjizat tetapi mukjizat hanya datang setelah baginda s.a.w menggunakan bakat kemanusiaan dalam melaksanakan tugas. Baginda s.a.w tidak melemparkan sifat-sifat kemanusiaan lantaran kunci mukjizat berada dalam tangan. Bahkan keupayaan baginda s.a.w menyelesaikan masalah kemanusiaan dengan menggunakan bakat kemanusiaan merupakan mukjizat yang sangat luar biasa.

 Baginda s.a.w telah membuktikan bahawa seseorang insan yang dapat mempertahankan sifat-sifat kemanusiaan dan kehambaan dalam segala keadaan dan makam itulah perkara yang sangat luar biasa. Di bumi, Nabi Muhammad s.a.w bergerak sebagai hamba Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Di langit, Nabi Muhammad s.a.w bergerak sebagai hamba Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Bahkan di hadapan Allah s.w.t, Nabi Muhammad s.a.w sujud sebagai hamba-Nya dan Rasul-Nya. Tidak terbalik pandangan baginda s.a.w lantaran berlaku perubahan stesen dan makam.

Peristiwa hijrah memberi pengajaran yang sangat berguna kepada umat manusia agar mereka menghargai bakat dan keupayaan kemanusiaan yang Allah s.w.t kurniakan kepada mereka. Nabi Muhammad s.a.w telah mengajarkan bahawa menggunakan akal fikiran, mengadakan strategi dan perancangan serta melakukan ikhtiar dan usaha adalah sebahagian daripada pakej beriman kepada takdir, bertawakal dan berserah diri. Jika ada orang yang mentafsirkannya secara lain tentu sekali tafsirannya berbeza dengan tafsiran yang dikeluarkan secara nyata melalui perbuatan oleh Rasulullah s.a.w
.
Sebelum kedatangan wahyu Nabi Muhammad s.a.w memasuki amalan berkhalwat. Setelah wahyu datang baginda s.a.w dibimbing oleh wahyu untuk membimbing umat manusia. Baginda s.a.w membawa pengikut-pengikut baginda s.a.w meredah lautan bala bencana, menanggung penyiksaan dan menghadapi penentangan kerana semua itu adalah batu ujian yang menggilap iman. Tarekat khalwat sudah berubah menjadi tarekat kehidupan harian yang penuh dengan ujian bala bencana.

Rasulullah s.a.w dan Muslim generasi pertama berjalan di atas ranjau kehidupan, menghadapi kezaliman dan menanggung penderitaan. Keluarga Yasir yang menjadi hamba kepada suku Banu Makhzum telah diseksa dengan sangat teruk sekali. Mereka dijemur di lembah Makkah diwaktu panas terik dengan diletakkan batu di atas dada mereka. Rasulullah s.a.w menziarahi keluarga Yasir dan memberikan kekuatan rohani kepada mereka. Baginda s.a.w bersabda yang maksudnya: “Bergembiralah wahai keluarga Yasir. Kamu akan mendapat tempat di dalam syurga”. Ucapan Rasulullah s.a.w itu menjadi penawar yang sangat mujarab, memberi kekuatan kepada keluarga Yasir untuk menanggung penderitaan yang sedang menimpa mereka. Mereka mampu mempertahankan iman mereka dengan penuh kesabaran. 

Mereka telah terhibur dengan janji yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. Mereka sedikit pun tidak berasa ragu dengan jaminan Rasulullah s.a.w itu. Mereka telah mencium bau syurga dan ia menjadikan mereka tenang, reda dengan takdir Tuhan. Kebahagiaan syurga yang menunggu di hadapan menyapu segala kesakitan yang sedang dialami.

Walaupun diseksa dengan hebatnya oleh Banu Makhzum namun keluarga Yasir tidak berganjak daripada kepercayaan mereka. Usaha untuk membawa mereka kepada kekufuran hanya sia-sia. Orang Banu Makhzum yang gagal mengubah akidah keluarga Yasir, menjadi kerasukan syaitan. Apabila syaitan sudah menguasai mereka sepenuhnya hilanglah keperimanusiaan mereka. 

Dada Yasir direjam dengan tombak. Samyah, isteri Yasir, menjadi lebih bersemangat dan berani menentang tuannya. Banu Makhzum tidak tahu hendak buat apa lagi dengannya. Samyah diserahkan kepada Abu Jahal yang ikut serta menyeksa keluarga Yasir itu. Abu Jahal yang bersekutu dengan iblis, mengambil sebilah tombak dan dengan sekuat-kuat tenaganya merejamkan tombak itu ke bahagian kemaluan Samyah hingga tembus ke belakang. Keluarlah dua roh suci, naik kepada Tuhan mereka, membawa kemenangan di dalam mempertahankan tauhid. Yasir dan isterinya Samyah menjadi syuhada yang pertama dalam Islam. Nama mereka yang diukir dengan tinta emas tidak mungkin padam dari lembaran sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w. Yasir dan Samyah mendahului para syuhada yang lain, menunggu mereka di pintu syurga.
 Berasambung...........
Wallahu'alam  
Barakallahu Fikum 
Wasalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatu 
 
 Bismillahirrahmanirrahim...
Allahumma shallii alaa Muhammad Nabiyyil ummi wa barik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Wa umma wabarik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man shalla' alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man lam an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama tuhibbu an yushalli 'alaihi wassallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama amarta an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama yasbaqhis shalawatu 'alaihi wasallim.
 

Allahumma shalli 'alaa Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamasollaita'ala Ibrahim.
Wabarik'ala Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamabarakta'ala Ibrahima fil'alamin.
innaka hamidunmajid
amiin Ya Karim
amiin Ya Wahhab..amiin Ya "Alimun

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly   1 Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu. Bismillahirrahmanirrahim Allahummashalli 'al...