Cari Blog Ini

Kamis, 03 Juli 2014

Haqiki-28.Fahaman dan pegangan yang benar (14)


Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu.

Bismillahirrahmanirrahim
Allahummashalli 'alaa Muhammad wa'alaa aalihi wa ashabihi wadlurriyatihi
washallim.

 

“Alhamdulillahi nasta’iinuhu wanastagh firuhu wana’uudzubillaahi min syuruuri anfusinaa waminsayyi ati a’ maalinaa man yahdihillahu falaa mudhilla lahu waman yudhlil falaa haadiya lahu, asyhadu anlaa ilaha illallaahu wah dahulaa syariikalahu wa asyhadu anna muhammadan ‘abduhuu warasuuluhu la nabiya ba’da.”
 


  Haqiki  
Fahaman dan pegangan yang benar (14)

Manusia yang berada di atas jalan yang benar ada dua golongan. Golongan pertama adalah ahli fikah yang berjiwa tasauf dan keduanya adalah ahli tasauf yang berjalan di atas landasan fikah. Berpegang kepada salah satu di antara fikah dan tasauf bermakna berpegang kepada separuh daripada kebenaran. 

Berpegang kepada fikah semata-mata dengan menolak tasauf bermakna mengambil bahagia zahir syariat sahaja. Berpegang kepada tasauf dengan membuang fikah bermakna mengambil batin syariat sahaja. Berpegang kepada zahir syariat tanpa batinnya dibolehkan dan sudah memadai untuk diiktiraf sebagai orang Islam tetapi pegangan yang demikian tidak sempurna. Berpegang kepada batin syariat sahaja tanpa zahirnya adalah tidak mungkin, kecuali mereka yang sedang dikuasai oleh jazbah. Mereka yang demikian dimaafkan. Kesempurnaan syariat adalah gabungan zahir dan batinnya.

Istilah syariat hendaklah diberi definasi yang lengkap dan benar. Syariat mengandungi tarekat, hakikat dan makrifat. tarekat, hakikat dan makrifat bukanlah sesuatu yang di luar syariat atau lain daripada syariat. Tindakan mengasingkan syariat, tarekat, hakikat dan makrifat menjadi jalan menjalarnya kekeliruan dalam masyarakat. Kaum Muslimin haruslah sedar bahawa tarekat adalah satu bahagian daripada syariat. Demikian juga hakikat dan makrifat. Syariat adalah umpama air yang mengalir dan menghidupkan tarekat, hakikat dan makrifat. Tarekat, hakikat dan makrifat yang tidak dibasahi oleh air syariat adalah umpama pokok yang ditanam di atas batu, tidak ada air menghidupkannya. Syariat adalah umpama nyawa yang memberi kehidupan kepada tarekat, hakikat dan makrifat.

Syariat mengajarkan Akidah dan peraturan yang benar. Rasulullah s.a.w menolak ketuhanan Isa al-Masih, Uzair dan patung-patung kerana ia bertentangan dengan akidah yang diajarkan oleh syariat. Rasulullah s.a.w menolak keislaman puak Taqif yang meminta dikecualikan daripada mengerjakan sembahyang kerana ia menyalahi peraturan syariat. 

Khalifah Abu Bakar as-Shiddiq ra memerangi Musailamah bin Hatib yang mendakwa menjadi nabi kerana dakwaan demikian menyalahi akidah yang diajarkan oleh syariat. Abu Bakar as-Siddik juga memerangi kaum Muslimin yang enggan mengeluarkan zakat selepas Rasulullah s.a.w wafat, kerana perbuatan demikian menyalahi peraturan syariat. Tentera Islam berperang, membunuh dan dibunuh kerana menyebarkan syariat. Sekali lagi diperingatkan maksud syariat adalah syariat zahir dan syariat batin, meliputi perkara-perkara seperti Islam, iman, perbuatan tubuh badan dan amalan hati. Al-Quran mengajarkan supaya beriman dan beramal salih, jangan dipisahkan keduanya. Tidak ada amal salih tanpa iman. Tidak berdiri iman tanpa amal salih.

Rasulullah s.a.w memiliki dua jenis ilmu. Pertama adalah ilmu yang mengenai hukum hakam dan peraturan, dinamakan ilmu ahkam. Kedua adalah ilmu mengenai perkara ghaib, rahsia dan misteri, dinamakan ilmu asrar. Ilmu ahkam biasanya dipanggil ilmu fikah dan ilmu asrar dipanggil ilmu tasauf. Istilah ilmu fikah dan ilmu tasauf digunakan selepas zaman Rasulullah s.a.w.

 Pada zaman baginda s.a.w yang dikenali hanya satu ilmu sahaja iaitu ilmu al-Quran. Dalam ilmu al-Quran ada bahagian fikah iaitu peraturan dan hukum dan ada bahagian tasauf iaitu perkara ghaib dan kerohanian. Rasulullah s.a.w menyampaikan kedua-dua jenis ilmu tersebut kepada sahabat baginda s.a.w secara bersama, bukan terpisah. Para sahabat pula memperturunkannya kepada generasi yang datang kemudian. Ulama yang menerima kedua-dua jenis ilmu tersebut dinamakan pewaris nabi. Memiliki satu aspek sahaja tidak dinamakan pewaris. 

Ulama yang mengambil bahagian hukum dan peraturan sahaja dinamakan ulama zahir, masih jauh lagi untuk bergelar ulama syariat. Ulama yang mengambil bahagian zahir dan batin itulah yang benar-benar menjadi ulama syariat, pewaris nabi.
Sebahagian orang menyangka ilmu tentang Kebenaran Hakiki iaitu ilmu asrar bermaksud ilmu mengenai wahdatul wujud, kesempurnaan Yang Satu dalam yang banyak dan yang banyak dalam Yang Satu, fana, bersatu dengan Tuhan dan baqa bersama Tuhan. 

Fahaman yang demikian adalah tidak benar. Doktrin wahdatul wujud dan yang seumpama dengannya masih terlalu rendah jika dibandingkan dengan kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. wahdatul wujud adalah hasil daripada kefanaan dan mabuk. Rasulullah s.a.w tidak memasuki suasana fana dan mabuk. Ilmu yang baginda s.a.w bawa adalah ilmu yang muncul dalam kesedaran bukan kelupaan. Ilmu kenabian adalah umpama lautan yang luas. Ilmu kewalian sufi yang kefanaan adalah umpama satu titik air, tetapi bagi orang yang tercampak di padang pasir satu titik air sangat memberi erti kepadanya.
Ada orang menyangka kefanaan lebih tinggi daripada kesedaran. 

Mungkin mereka memandang kepada kesedaran orang awam. Jika mereka melihat kepada kewalian yang telah sempurna di atas jalan kenabian tentu mereka dapat melihat bahawa Kebenaran Hakiki muncul dalam kesedaran, bukan dalam kefanaan. Kewalian yang sempurna bukanlah yang fana terus menerus tetapi adalah yang kembali kepada kesedaran biasa dan meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w. Ketika di dunia ini berbakti kepada Tuhan lebih utama daripada fana dalam-Nya. Ahli makrifat yang sempurna adalah yang makrifatnya dihidupkan oleh air syariat dan mereka melibatkan diri di dalam kegiatan masyarakat sehingga ke akhir hayat mereka. Golongan ini tidak mendakwa melihat Tuhan dalam dunia. Mereka mengakui bahawa melihat Tuhan hanya mungkin di akhirat. Mereka melihat maut sebagai jambatan buat mereka sampai kepada Kekasih mereka.

Rasulullah s.a.w dan para sahabat beriman kepada perkara ghaib seperti beriman kepada Allah s.w.t dan sifat-sifat-Nya berdasarkan kenyataan yang dibawa oleh al-Quran. Wali-wali Allah yang sempurna juga beriman menurut iman Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Bilangan wali-wali yang sampai kepada peringkat ini setelah melepasi kewalian sufi adalah sedikit. 

Selain mereka, ulama dan orang-orang Islam yang awam juga beriman cara demikian. Iman pada kewalian sufi pula bersumberkan kepada penyaksian, dinamakan iman syuhudi. Sufi yang beriman secara syuhudi mungkin bercampur dengan orang ramai dan mungkin juga tinggal sendirian. Walaupun sufi jenis ini bercampur dengan orang ramai tetapi tidak secara keseluruhan dirinya. batinnya atau hatinya masih memandang ke atas, mencari-cari atau menanti-nanti. Lahirnya sibuk dengan manusia tetapi batinnya karam dengan Tuhan. Keadaan sufi yang demikian berbeza dengan keadaan Rasulullah s.a.w. 

Baginda s.a.w berhadap kepada makhluk secara keseluruhan, terlibat jiwa dan raga dalam berdakwah mengajak manusia kepada jalan Allah s.w.t. Sufi yang masih memandang atau mencari-cari ke atas menunjukkan dia belum bebas sepenuhnya daripada pengaruh kefanaan dan mabuk dan dia belum mencapai matlamat, sekalipun dia sudah boleh bergaul dengan orang ramai. Sufi yang sudah sampai ke penghujung perjalanannya menetap dalam kehidupan harian secara menyeluruh, berhadap kepada kehidupan dunia secara keseluruhan jiwa raga, tanpa mencari-cari ‘yang di atas’ atau mencungkil semula pengalaman yang telah dilalui dalam kewalian sufi dahulu.

Ketika sufi dalam proses menaik yang banyak hilang lenyap, hinggakan asma’ dan sifat juga hilang daripada alam kesedarannya, tidak ada yang disaksikan melainkan Wujud Mutlak. Tuhan kurniakan kepada sufi itu apa yang Dia kehendaki, sesuai dengan amanah dan tugas yang akan ditanggungnya kelak. Dalam proses menurun pula sufi kembali sepenuhnya kepada kesedaran biasa yang padanya ada perhatian kepada yang banyak. Dalam keadaan kesedaran semula itu tidak ada yang menarik minatnya kecuali hidup sebagai Muslim biasa. Mereka hanya menjalankan perintah Tuhan dan mengajak manusia kepada jalan Tuhan. Setelah mereka menyelesaikan tugas dakwah dan hampir kembali ke Hadrat Ilahi, mereka beralih daripada iman tanpa penyaksian kepada iman secara penyaksian (iman syuhudi).

Jangan menganggap kembali kepada kehidupan dunia sebagai kecacatan atau ditolak daripada majlis Tuhan. Jangan menyangka fana dalam Tuhan lebih baik daripada berkhidmat kepada makhluk Tuhan. Sufi yang kembali kepada dunia bukan dengan kehendaknya sendiri. Mereka turun dari kesedaran ‘alam tinggi’, keluar daripada suasana penyatuan kepada suasana perpisahan adalah dengan perintah Allah s.w.t. Sufi yang kembali kepada dunia tunduk kepada kehendak Allah s.w.t dengan melepaskan kehendak diri sendiri. Golongan sufi yang kembali kepada kehidupan dunia itu bergabung dengan golongan ulama, sama-sama bekerja menyebarkan agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w iaitu yang menggabungkan zahir dan batin syariat. Dakwah adalah pekerjaan yang paling mulia. Dakwat ulama ditimbang dengan darah syuhada dan lebih berat.

Dalam apa juga keadaan para sahabat Rasulullah s.a.w adalah contoh teladan terbaik untuk semua zaman. Kelebihan para sahabat sabagai generasi Muslim yang pertama tidak boleh ditandingi oleh generasi yang datang kemudian. Generasi pertama melebihi yang lain kerana mereka memiliki iman yang dilahirkan oleh hubungan secara langsung dengan Rasulullah s.a.w. Iman yang lahir daripada penyampaian secara langsung oleh baginda s.a.w lebih berkesan dan utama daripada iman yang lahir daripada cara-cara lain. Para sahabat tidak melalui fana dan jazbah, tidak ada bersatu dengan Tuhan dan baqa bersama-Nya. Mereka tidak menerima tajalli atau penzahiran Tuhan. Kelebihan mereka terletak pada takwa bukan pada kasyaf, tajalli, zauk dan mabuk. Kelebihan mereka adalah kerana mereka mempraktikkan Sunah Rasulullah s.a.w, berperang bersama-sama baginda s.a.w dan menanggung berbagai-bagai kesusahan demi agama Allah s.w.t. 
 Mereka mendapat Kebenaran Hakiki dalam kesedaran, melalui bimbingan wahyu yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w.

Tarekat sufi hendaklah dijadikan jalan untuk mencapai tahap yang diperolehi oleh para sahabat Rasulullah s.a.w, bukan untuk menyingkap misteri alam dan kehidupan atau untuk memperolehi tajalli. Matlamat sufi mestilah mencari kefahaman yang jelas dan keyakinan yang teguh kepada risalat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Kebenaran yang dibawa oleh Rasul Allah adalah jelas dan muktamad, tidak boleh dicabar oleh ahli falsafah atau pun ahli sufi. Fikiran, ilham dan kasyaf bukanlah alat untuk mengadakan kebenaran yang kain daripada kebenaran yang telah dinyatakan oleh al-Quran dan as-Sunah.

Risalat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w memperakui kewujudan benda-benda alam yang memiliki sifat-sifat dan keupayaan, boleh bergerak dan bertindak. Tuhan menciptakan makhluk dan dalam penciptaan makhluk itu Tuhan telah meletakkan keupayaan melakukan perbuatan. Perbuatan makhluk adalah ciptaan Tuhan bukan perbuatan Tuhan. Makhluk menggunakan bakat dan keupayaan yang Tuhan bekalkan kepada mereka bukan makhluk menggunakan perbuatan Tuhan untuk melakukan perbuatan. Perbuatan Tuhan tidak bersamaan dengan perbuatan makhluk. Tuhan menciptakan makhluk dan sifat-sifat mereka tetapi Tuhan bukanlah alat kepada sifat-sifat tersebut. Tuhan yang menciptakan perbuatan tetapi bukanlah Tuhan yang bergerak dalam pancaindera makhluk untuk melahirkan perbuatan.


Tauhid af’al, tauhid asma’, tauhid sifat dan tauhid zat bukanlah ajaran yang terdapat dalam risalat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w tetapi ia adalah pengalaman kerohanian yang berlaku dalam kewalian sufi. Pengalaman yang demikian hanya untuk sufi yang mengalaminya sementara orang ramai wajib berpegang kepada risalat Rasulullah s.a.w. Orang ramai yang sengaja berpegang kepada fahaman sufi yang dalam mabuk, yang menyalahi syariat, hukumnya adalah kufur. 

Orang sengaja menyengutukan perbuatannya dan dirinya dengan perbuatan Tuhan dan Zat Tuhan sama keadaannya dengan orang Nasrani yang menyengutukan al-Masih dengan Tuhan. Al-Quran mengecam perbuatan kaum Nasrani itu dan perbuatan demikian dikira sebagai perbuatan kaum musyrikin.
Risalat Rasulullah s.a.w memperakui kewujudan fitrah manusia. Dalam fitrah itu ada nilai-nilai baik dan buruk, cantik dan hodoh, sempurna dan cacat dan lain-lain. Tuhan kurniakan kepada seseorang manusia itu kediriannya sendiri untuk wujud sebagai satu individu, tidak perlu berebut pada satu kewujudan seperti Adam atau Muhammad. Tuhan ciptakan untuk manusia keupayaan memilih, fikiran, tindakan dan perasaan. Tuhan adalah Pencipta bukan yang dikuasai oleh ciptaan-Nya. 

Kepercayaan manusia bukan kepercayaan Tuhan. Perasaan manusia bukan perasaan Tuhan. Tindakan manusia bukan tindakan Tuhan. Tuhan tidak dikongkong oleh kepercayaan, perasaan dan tindakan manusia. Manusia yang merasai bahagia dan manusia juga yang merasai kecelakaan. Tidak ada jalan buat manusia untuk mempersekutukan apa yang ada dengannya dengan Tuhan.

Risalat Rasulullah s.a.w memperakui ada kepercayaan yang benar dan ada kepercayaan yang salah. Risalat membezakan yang baik dengan yang jahat, yang benar dengan yang batal. Risalat dengan jelas dan tegas mengatakan bahawa manusia bertanggungjawab ke atas perbuatannya, kepercayaanya dan sikapnya. Tuhan akan mengadili manusia dan akan memberi balasan kepada yang baik dan menghukum yang jahat. Risalat menolak fahaman sebahagian manusia yang meletakkan kesalahan kepada Tuhan.

Rasulullah s.a.w mengajarkan bahawa manusia adalah hamba Tuhan. Tuhan ciptakan manusia supaya mereka berbakti kepada-Nya. Kehambaan atau ubudiah merupakan kemuncak perjalanan suluk orang sufi. Kehambaan yang sempurna adalah yang berbakti kepada Allah s.w.t dengan sepenuh jiwa raga, beriman kepada firman-Nya dengan disertai oleh kepatuhan dan ketaatan, menerima peraturan syarak, berdakwah ke jalan-Nya dan menegakkan kerajaan-Nya di bumi. 

Setiap Muslim, termasuklah wali Allah, mesti menjadikan Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w sebagai contoh tauladan. Semakin hampir dengan Sunah baginda s.a.w semakin benar dan baiklah seseorang Muslim itu. Tidak ada wali yang bebas daripada Sunah Rasulullah s.a.w atau yang boleh menyamai baginda s.a.w. Apa juga kelebihan dan kemuliaan yang diperolehi oleh seseorang wali adalah kerana syafaat baginda s.a.w dan kerana mengikuti Sunah baginda s.a.w.

Jalan sufi pada satu seginya menyamai jalan kenabian. Sufi melakukan amalan sembahyang, puasa, membaca al-Quran, berdoa dan berzikir. Amalan yang demikian diambil dari al-Quran dan as-Sunah. Ia kemudian disusun bagi memudahkan pengikut satu-satu tarekat itu mengamalkannya bagi mendapatkan kesan yang maksima daripada amalan tersebut.

 Selain daripada amalan yang bersesuaian dengan ajaran al-Quran dan as-Sunah, terdapat juga bahagian yang benar-benar baharu, tidak kedapatan pada jalan kenabian. Bahagian tersebut adalah yang mengandungi fana, baqa, bersatu dengan Tuhan dan latihan kerohanian yang melahirkan pengalaman tersebut. Bahagian utama jalan kesufian adalah zikir dan tafakur. Bahagian yang paling menonjol adalah pengalaman fana dan baqa. Bahagian yang ada urusan dakwah, jihad dan berbakti kepada orang ramai diberi perhatian yang sedikit sahaja.
 Berasambung...........
Wallahu'alam  
Barakallahu Fikum 
Wasalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatu 
 
 Bismillahirrahmanirrahim...
Allahumma shallii alaa Muhammad Nabiyyil ummi wa barik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Wa umma wabarik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man shalla' alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man lam an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama tuhibbu an yushalli 'alaihi wassallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama amarta an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama yasbaqhis shalawatu 'alaihi wasallim.
 

Allahumma shalli 'alaa Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamasollaita'ala Ibrahim.
Wabarik'ala Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamabarakta'ala Ibrahima fil'alamin.
innaka hamidunmajid
amiin Ya Karim
amiin Ya Wahhab..amiin Ya "Alimun

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly   1 Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu. Bismillahirrahmanirrahim Allahummashalli 'al...