Cari Blog Ini

Kamis, 03 Juli 2014

Haqiki -21 Pengalaman kerohanian sufi


Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu.

Bismillahirrahmanirrahim
Allahummashalli 'alaa Muhammad wa'alaa aalihi wa ashabihi wadlurriyatihi
washallim.

 

“Alhamdulillahi nasta’iinuhu wanastagh firuhu wana’uudzubillaahi min syuruuri anfusinaa waminsayyi ati a’ maalinaa man yahdihillahu falaa mudhilla lahu waman yudhlil falaa haadiya lahu, asyhadu anlaa ilaha illallaahu wah dahulaa syariikalahu wa asyhadu anna muhammadan ‘abduhuu warasuuluhu la nabiya ba’da.”
 


  Haqiki  

Pengalaman kerohanian sufi Sufi yang dikurniakan tarekat Islam selamat daripada suasana mabuk dan latah. Mereka menuruti jejak Rasulullah s.a.w dalam kehidupan batin dan mengamalkannya dalam kehidupan zahir. Dalam tarekat Islam ada pengalaman perpisahan dan perbezaan di antara Tuhan dengan hamba, selepas peringkat penyatuan. Sufi kembali menyaksikan perbezaan di antara yang benar dengan yang salah, baik dengan jahat. Sebenarnya tarekat Islam itu sendiri merupakan sebahagian daripada syariat Islam yang sempurna. Tarekat adalah sebahagian daripada syariat bukan sesuatu yang berasingan. Berlainan istilah digunakan bagi membezakan syariat pada zahir dengan syariat pada batin atau antara Hakikat Syariat dengan keadaannya yang zahir. Lebih tidak mengelirukan jika digunakan sahaja istilah syariat zahir dengan syariat batin yang berkumpul sebagai syariat yang sempurna. Memanggil syariat zahir sebagai syariat dan syariat batin sebagai tarekat mudah menimbulkan kekeliruan dan membuka jalan kepada sufi tiruan menabur fitnah dan syak wasangka dalam hati orang yang jahil.
Sufi yang dalam keasyikan dan mabuk adalah umpama seorang bayi yang dijaga sepenuhnya oleh ibunya. Ibunya menyayangi dan melindunginya. Si bayi boleh membuang air besar dan kecil di merata tempat, ibunya tidak akan marah. Tidak ada beban yang diletakkan oleh si ibu kepada bayinya. Apa juga yang si bayi lakukan si ibu menerima dengan penuh kasih sayang. Si ibu memperakui bahawa si bayi tidak berupaya menjaga dirinya sendiri. Bila si anak itu sudah baligh, kasih sayang dan perlindungan ibu tidak boleh dijadikan alasan untuk dia terus berkelakuan sebagai bayi. Dia sudah bertanggung-jawab memikul beban dirinya dan tertakluk kepada peraturan dan adab sopan.
Orang majzub dijaga sepenuhnya oleh Tuhan. Tuhan murka kepada sesiapa yang menyakiti orang majzub. Biasanya orang yang menyakiti orang majzub menerima balasan dengan segera. Perkataan orang majzub biasanya menjadi kenyataan. Keadaan yang demikianlah menyebabkan orang ramai yang berminat dengan aliran tarekat tasauf menganggap orang majzub sebagai orang keramat. Sebenarnya kekeramatan bukanlah milik seseorang. Ia adalah hak Tuhan yang dizahirkan dalam melindungi para pencinta-Nya yang tidak berupaya melindungi diri sendiri. Setelah ahli majzub kembali sedar, maka bakat dan keupayaan dirinya kembali berfungsi dan fenomena kekeramatan jarang atau pun tidak lagi berlaku pada dirinya. Dia menyelesaikan sesuatu perkara dengan menggunakan bakat kemanusiaan biasa tanpa melalui kekeramatan.
11. Syariat zahir dan batin
Ketika di dalam daerah kewalian sufi, mengalami fana dan jazbah, orang sufi melupakan dan membuang segala-galanya kecuali Allah s.w.t. Mereka tidak inginkan syurga dan tidak takutkan neraka. Dosa dan pahala sama sahaja bagi mereka. Mereka menafikan perbuatan diri mereka dan mengisbatkannya kepada perbuatan Tuhan. Mereka tidak beristighfar di atas kesalahan yang terjadi pada mereka. Bagi mereka istighfar menunjukkan mereka mendakwa diri mereka memiliki kekuasaan untuk melakukan sesuatu, sekalipun perbuatan itu adalah perbuatan dosa. Mengaku diri berkuasa lebih berat daripada dosa itu sendiri. Bagi mereka segala daya dan upaya adalah milik Allah s.w.t. Segala sesuatu adalah ciptaan dan perbuatan Allah s.w.t. Allah s.w.t menciptakan mereka, daya dan upaya mereka, kehendak mereka, perbuatan mereka dan segala-galanya. Oleh itu mereka menerima apa sahaja yang datang kepada mereka dengan reda. Mereka membuang ikhtiar memilih. Bagi mereka cukuplah Allah s.w.t sahaja yang mengadakan pilihan dan mereka menerima pilihan Tuhan itu. Mereka menukarkan kehendak diri mereka kepada kehendak Tuhan. Apa sahaja yang mendatangi mereka adalah kehendak Tuhan. Oleh itu mereka tidak menghindarkan kemudaratan yang sampai kepada mereka. Mereka tidak bergembira dengan nikmat dan tidak berdukacita dengan bala. Nikmat dan bala berjalan menurut kehendak Allah s.w.t, dengan Kudrat dan Iradat-Nya. Jika sesuatu itu ada pada Iradat-Nya, maka Kudrat-Nya melaksanakannya. Tidak ada sesiapa yang ikut campur dalam urusan-Nya. Sesungguhnya maha hebat Cinta Allah s.w.t yang menguasai hati orang sufi. Sufi sanggup membelakangi syurga demi Wajah Kekasihnya. Sufi sanggup meredah neraka jika itulah jalan untuk sampai kepada Kekasihnya. Sufi sanggup mencabar maut jika maut menghalanginya menemui Kekasihnya. Sekiranya benar ada orang yang sanggup mengharungi lautan api kerana kekasih, maka sufilah orangnya. Layaklah sufi itu mendapat perlindungan dan kasih sayang dari Tuhan. Suasana perlindungan dan penjagaan secara langsung dari Tuhan itulah yang dimaksudkan sebagai kewalian. Al-Waliyyu, Yang Maha Melindungi, memayungkan wali-wali-Nya dengan penjagaan dan perlindungan. Jazbah, fana dan baqa bukanlah kewalian yang sebenarnya. Itu semua hanyalah fenomena yang sering muncul pada orang yang dipayungi oleh al-Waliyyu, atau orang yang berada dalam daerah kewalian, terutamanya kewalian sufi. Tanpa fenomena demikian kewalian tetap wujud.
Sebahagian sufi kekal dengan Cinta Allah s.w.t dan menjadi majzub terus menerus sehingga ke akhir hayatnya. Golongan ini merupakan golongan wali yang tidak mempunyai tugas kekhalifahan. Kewalian mereka hanya untuk diri mereka sendiri, berguna bagi perhubungan mereka dengan Allah s.w.t, tetapi tidak berguna bagi perhubungan sesama manusia. Lagi pun kehadiran wali yang majzub itu berguna kepada masyarakat bagi mengingati orang ramai agar mencintai Allah s.w.t. Cinta Allah s.w.t yang terpancar dari mereka boleh menyedarkan orang-orang yang mempunyai hati tetapi terhijab oleh kelalaian. Cinta Allah s.w.t yang terzahir pada kewalian sufi menjadi besi berani menarik hati orang lain untuk melihat kepada Tuhan dan meninggalkan perkara yang melalaikan.
Sufi yang dipilih untuk menanggung sesuatu tugas di dalam masyarakat akan ditarik kepada jalan mahabbah. Ketika di dalam daerah kewalian sufi, jazbah menghancurkan secara mudah sifat-sifat yang tercela pada diri mereka dan dimasukkan keupayaan sifat-sifat yang terpuji supaya sifat demikian menjadi keperibadian mereka. Mereka menjadi orang yang bersifat baik, bukan orang yang berusaha menjadi baik. Mereka menjadi ikhlas secara spontan bukan yang berperang dengan ria untuk mempertahankan ikhlas. Apabila mereka keluar dari daerah kewalian sufi dan dimasukkan ke dalam daerah kewalian cara kenabian, mereka masuk dengan ada persediaan segala keupayaan yang baik untuk menanggung bebas tugas yang akan diberikan kepada mereka kelak. Pada jalan mahabbah segala bakat dan keupayaan mereka digilapkan bagi melengkapkan kewalian kepada darjat khalifah yang layak memikul beban tugas khusus. Jalan mahabbah bermula selepas kefanaan, iaitu daripada baqa menuju kepada kesedaran sepenuhnya kerana sebelum memperolehi semula kesedaran keinsanan mereka tidak layak menjadi Khalifah Allah yang menguruskan hal-ehwal orang ramai. Apabila meninggalkan kefanaan dan masuk kepada kebaqaan dan kesedaran keinsanan sudah mula kembali, wali yang lebih matang itu dapat melihat perbezaan di antara Tuhan dengan makhluk, baik dengan jahat dan benar dengan salah. Pada peringkat permulaan menyaksikan perbezaan wali itu masih mempunyai sikap bertolak-ansur dengan sesuatu yang salah dan tidak benar. Walaupun kesalahan diakui wujud namun, mereka tidak bertindak memperbetulkan kesalahan tersebut. Pada peringkat ini mereka lebih banyak menyendiri dan enggan mencampuri urusan orang lain. Walaupun mereka sudah boleh melihat perbezaan di antara Tuhan dengan makhluk namun, mereka masih merasakan makhluk itu satu wajah atau aspek ketuhanan atau hak Tuhan, bukan ciptaan yang terpisah sepenuhnya daripada Tuhan.
Jalan mahabbah adalah sempadan di antara jalan kesufian dengan jalan kenabian. Fana dan baqa ada dalam daerah kewalian sufi. Peralihan daripada baqa kepada kesedaran keinsanan ada pada jalan mahabbah. Bila kesedaran keinsanan kembali sepenuhnya sufi tadi masuk kepada jalan kenabian. Perjalanannya menjadi lengkap. Dia sudah kembali kepada tempat bermulanya dan bulatan perjalanan kerohaniannya bercantum dan dia sudah boleh menanggung tugas kekhalifahan. Orang yang sampai kepada daerah khalifah ini menjadi sesuai dengan al-Quran dan as-Sunah. Mereka menjadi salinan kepada sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. Pada peringkat akhir ini mereka sudah berupaya membuat perbezaan sepenuhnya. Pegangan mereka juga berubah. Tuhan adalah Tuhan dan hamba adalah hamba. Baik adalah baik dan jahat adalah jahat. Benar adalah benar dan salah adalah salah. Tidak ada tolak-ansur lagi. Sempadannya sangat jelas. Sufi itu pun bertaubat daripada pegangannya yang dahulu. Kini mereka rindukan akhirat, kasihkan syurga dan takutkan neraka.
Wali yang menyempurnakan perjalanannya dan sampai kepada daerah kekhalifahannya bertanggungjawab membersihkan jalan menuju Allah s.w.t daripada pencemaran dan kesamaran. Yang benar adalah jelas dan jalan kepada kebenaran juga jelas. Yang salah adalah jelas dan jelas kepada kesalahan juga jelas. Wali yang bertaraf khalifah mampu menghuraikan ucapan-ucapan ganjil yang muncul dalam daerah kewalian sufi. Nabi adalah umpama titik awal yang tanpanya tidak mungkin dilukiskan huruf. Wali-wali sufi adalah titik-titik yang membentuk garis lengkung. Titik Nabi dan titik-titik wali sufi membentuk huruf nun. Walaupun garis lengkung itu panjang tetapi ia tidak bercantum dengan titik awal. Oleh itu terdapat perbezaan di antara garis lengkung dengan titik awal. Wali pada jalan kenabian iaitu khalifah kerohanian adalah pencantum garis lengkung kewalian sufi dengan titik awal kenabian. Khalifah memahami suasana kewalian sufi dan mampu membawa mereka kepada jalan kenabian. Khalifah menjadi penterjemah perkataan wali dan penegak perkataan Nabi. Kekusutan pada Jalan Kewalian Sufi dihuraikan oleh khalifah. Kebenaran pada jalan kenabian diperjuangkan oleh khalifah. Dari masa ke masa Tuhan menzahirkan khalifah-Nya untuk memperjuangkan jalan kenabian dan melindungi wali-wali yang tenggelam dalam jazbah, fana dan baqa.
Kebenaran sejati seperti yang ditemui oleh para khalifah berada dalam syariat yang lengkap yang menggabungkan syariat zahir dengan syariat batin. Orang yang memasuki Jalan Sufi sangat mementingkan syariat batin hinggakan biasa terjadi ada di kalangan mereka yang tidak mengamalkan sebahagian besar syariat zahir terutamanya yang melibatkan hubungan sesama manusia. Mereka yang tidak memasuki Jalan Sufi pula mementingkan syariat zahir hinggakan kebanyakan penilaian dibuat berdasarkan perbuatan zahir dan mengabaikan amalan hati. Khalifah Allah mengetahui bahawa kebenaran terletak pada cantuman kedua-dua syariat tersebut. syariat zahir adalah peraturan agama seperti yang dibicarakan oleh ilmu fikah. Syariat batin adalah amalan hati seperti yang dibicarakan oleh ilmu tasauf. Keislaman seseorang dikenali melalui syariat zahir. Syariat zahir yang membezakan orang Islam dengan orang kafir. Rasulullah s.a.w menolak permintaan kaum Taqif yang mahu dikecualikan daripada sembahyang lima waktu. Khalifah Abu Bakar as- Siddik memerangi puak yang enggan mengeluarkan zakat. Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w bertindak tegas terhadap orang yang menolak syariat zahir dan mereka sangat berwaspada terhadap orang diketahui meninggalkan syariat batin. Orang yang menolak syariat zahir kerana engkar adalah kufur. Orang yang membuang syariat batin adalah munafik. Syariat zahir berhubung dengan amalan Islam. syariat batin berhubung dengan amalan hati iaitu iman. Al-Quran menggabungkan iman dengan Islam (amal salih).
Dan berikan khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal salih.. ( Ayat 25 : Surah al-Baqarah )
Al-Quran juga menggesa supaya berlaku keras menghadapi kekufuran dan kemunafikan.
Wahai Nabi! Berjihadlah (menentang) orang-orang kafir dan orang-orang munafik, serta bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka jahanam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali. ( Ayat 9 : Surah at-Tahrim )
 Berasambung...........
Wallahu'alam  
Barakallahu Fikum 
Wasalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatu 
 

 Bismillahirrahmanirrahim...
Allahumma shallii alaa Muhammad Nabiyyil ummi wa barik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Wa umma wabarik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man shalla' alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man lam an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama tuhibbu an yushalli 'alaihi wassallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama amarta an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama yasbaqhis shalawatu 'alaihi wasallim.
 

Allahumma shalli 'alaa Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamasollaita'ala Ibrahim.
Wabarik'ala Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamabarakta'ala Ibrahima fil'alamin.
innaka hamidunmajid
amiin Ya Karim
amiin Ya Wahhab..amiin Ya "Alimun

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly   1 Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu. Bismillahirrahmanirrahim Allahummashalli 'al...