Cari Blog Ini

Kamis, 03 Juli 2014

Haqiki-20 Pengalaman kerohanian sufi

Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu.

Bismillahirrahmanirrahim
Allahummashalli 'alaa Muhammad wa'alaa aalihi wa ashabihi wadlurriyatihi
washallim.

 

“Alhamdulillahi nasta’iinuhu wanastagh firuhu wana’uudzubillaahi min syuruuri anfusinaa waminsayyi ati a’ maalinaa man yahdihillahu falaa mudhilla lahu waman yudhlil falaa haadiya lahu, asyhadu anlaa ilaha illallaahu wah dahulaa syariikalahu wa asyhadu anna muhammadan ‘abduhuu warasuuluhu la nabiya ba’da.”
 


  Haqiki  

Pengalaman kerohanian sufi

Pengalaman bersatu dengan Tuhan, sebelum mencapai baqa, menimbulkan keasyikan, mabuk dan terbalik pandangan yang menyebabkan terhijab Yang Hakiki. Penyatuan yang mabuk itu biasanya menimbulkan latah, iaitu terucap kata-kata yang menyalahi syariat. Pengalaman wahdatul wujud atau merasai satu wujud boleh menyebabkan seseorang mengingkari Sunah Rasulullah s.a.w, sedangkan Allah s.w.t memerintahkan supaya mentaati Rasul-Nya. Hanya orang yang dipimpin dan dipelihara akan tetap berada dalam sempadan syariat sekalipun mereka mengalami wahdatul wujud. Mereka yang dipelihara mengekalkan sembahyang lima waktu dan menjauhkan perbuatan dosa. Mereka juga tidak terlibat dengan ucapan latah. Sekalipun sufi yang di dalam mabuk terlibat dengan ucapan latah tetapi mereka tidak boleh dikutuk dan juga orang yang mendengar ucapan demikian tidak menjadikannya pegangan. Sufi yang di dalam keadaan mabuk ketuhanan dikuasai oleh perasaan cinta kepada Allah s.w.t yang bersangatan sehingga hilang kesedarannya terhadap dirinya dan makhluk sekaliannya. Mereka berhak dimaafkan dari kesalahan mereka mengeluarkan ucapan latah dalam keadaan tidak sedar. Orang ramai yang bukan dalam jazbah, jika mengatakan demikian, beramal menyalahi syariat atau melepaskan syariat, maka mereka adalah sesat dan kufur.
Ketika dalam suasana penyatuan orang sufi tidak dapat membezakan di antara yang betul dengan yang salah, yang benar dengan yang batal, kesenangan dengan kesusahan, emas dengan pasir dan yang baik dengan yang buruk. Jika dia maju ke hadapan lagi dia akan masuk kepada peringkat di mana dia boleh membuat perbezaan di antara benar dengan salah dan baik dengan buruk. Orang sufi yang sudah masuk kepada peringkat ini, walaupun masih dikenali sebagai sufi, tetapi jalan mereka sudah berubah kepada tarekat Islam (jalan kenabian), bukan lagi tarekat sufi. Dalam tarekat Islam orang boleh membezakan Tuhan dengan makhluk, dosa dengan pahala dan sebagainya.
Perpindahan daripada tarekat sufi yang ada wahdatul wujud kepada tarekat Islam yang membezakan Wujud Tuhan dengan wujud makhluk, tidaklah membebaskan sufi daripada kesan wahdatul wujud dengan serta merta. Ketika di peringkat awal mengalami perbezaan, walaupun sufi sudah mula mengenali perbezaan tersebut, tetapi keupayaannya masih lagi lemah dan mereka masih belum mampu mengadakan pemisahan dengan jelas. Mereka masih mempercayai, walaupun sudah melihat perbezaan, bahawa perbezaan tersebut bersumberkan kepada kesatuan. Suasana yang demikian menimbulkan ungkapan: “Pandang yang banyak kepada Yang Satu” ; “Pandang Yang Satu kepada yang banyak” dan “Pandang Yang Satu kepada Yang Satu”. Bila mereka maju lagi keupayaan mengadakan perbezaan menjadi semakin kuat dan jelas sehingga akhirnya mereka benar-benar mampu mengadakan perbezaan. Pada akhir perjalanan mereka akan melihat dengan jelas bahawa Tuhan dengan makhluk bukan satu. Tuhan bukan alam dan alam tidak sedikit pun menyamai Tuhan. Tuhan melampaui segala sesuatu. Tidak ada maklumat, ibarat dan misal yang mampu menceritakan tentang Tuhan. Bila sampai kepada peringkat ini sufi telah terlepas sepenuhnya daripada pengaruh pengalaman wahdatul wujud, bersatu dengan Tuhan dan mabuk. Sufi kembali sedar dan boleh mengawal tutur katanya. Tidak ada lagi ucapan latah. Perkataan dan perbuatannya tidak lagi menyalahi syariat. Mereka kembali kepada syariat dan menjadikan Rasulullah s.a.w dan para sahabat sebagai teladan. Peningkatan tersebut berlaku secara berperingkat-peringkat. Orang yang tidak berhenti di tengah jalan akan menemui kebenaran yang sejati di penghujung jalannya. Tarekat kesufian berubah kepada tarekat Islam atau jalan kenabian. Tidak ada lagi fahaman yang mensyirikkan Tuhan dengan bayangan, gambaran, rupa, bentuk, warna, cahaya dan sebarang misal. Fahaman dan pegangan mereka sesuai dengan ajaran al-Quran dan as-Sunah.
Pengalaman kerohanian seperti fana dan baqa, pengalaman rasa dan penyaksian kepada gambaran misal pada alam ghaib, semuanya berlaku dalam alam kebatinan atau alam perasaan sufi, bukan kewujudan yang nyata. Manusia tidak bertukar menjadi Tuhan, tidak bersatu dengan-Nya dan tidak juga kekal bersama-sama-Nya. Tuhan tetap Tuhan dan hamba tetap hamba. Baik cahaya mahu pun suara yang didengar semuanya adalah gubahan Allah s.w.t tetapi bukanlah Dia. Apa juga yang disaksikan dan didengar hendaklah dinafikan dengan memperbanyakkan ucapan:”Laailahaillallah” Kalimah Tauhid ini mestilah membawa maksud : “Tiada Tuhan melainkan Allah” bukan “Tiada yang maujud melainkan Allah”. Makhluk tetap wujud pada kenyataan sekalipun hilang pada alam perasaan sufi. Tuhan tetap Berdiri Dengan Sendiri pada makam ketuhanan-Nya dan makhluk tetap wujud dalam sempadan wujud yang Tuhan tentukan untuk mereka. Tuhan menciptakan makhluk dengan peraturan dan ketetapan bahawa tidak mungkin wujud makhluk berlanggar atau bertembung dengan Wujud Tuhan, tidak mungkin berlaku penyatuan atau perpisahan dan tidak mungkin bersamaan. Wujud makhluk tidak boleh disamakan sedikit pun dengan Wujud Tuhan.
Rupa, bentuk, misal, cahaya dan warna yang disaksikan oleh sufi hanyalah gubahan Tuhan bukan Zat Tuhan dan bukan juga Sifat Tuhan. Tuhan menggubahkan yang demikian sebagai tarikan bagi sufi untuk mengenali-Nya. Sufi yang benar akan maju terus untuk melepasi gubahan Tuhan itu menuju kepada Yang Hakiki, yang melepasi segala bentuk gubahan, maklumat, sifat dan misal. Alam Misal yang dipertemukan dengan sufi itu berperanan sebagai batu loncatan untuk sufi bertawajjuh (melonjak) kepada Yang Haq. Peranan misal tersebut samalah seperti peranan al-Quran. Al-Quran yang menjadi petunjuk kepada sebahagian manusia dijadikan hujah oleh kumpulan manusia yang lain dalam mempertahankan pegangan mereka yang keliru. Manusia dari berlainan mazhab bertengkar sesama sendiri dengan masing-masing menggunakan al-Quran sebagai hujah. Bagi sebahagian manusia al-Quran mendatangkan petunjuk tetapi bagi yang lain pula digunakan untuk menyebarkan fitnah. Begitu juga keadaan misal yang dipersaksikan kepada sufi dalam alam ghaib. Sebahagian daripada mereka mendapat manfaat daripadanya dan mereka didorong oleh yang demikian untuk sampai kepada Yang Haq. Sebahagian yang lain pula tertawan lalu berhenti di situ. Orang yang berjalan terus menemui Yang Maha Esa, yang menggubah bentuk, rupa, cahaya dan warna, yang mengeluarkan semua stesen dan membimbing sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Sebelum sampai kepada Yang Hakiki apa juga yang disaksikan hanyalah bayangan, walaupun pengalaman menyaksikan ‘yang banyak pada Yang Satu’ atau sebaliknya. Nafikan segala yang datang. Ulangi kalimah: “Laailaaha ilallah” sebanyak mungkin sehingga habis segala penyaksian dan pengetahuan juga tidak ada lagi. Pada tahap ini sufi dikuasai oleh kehairan-hairanan, kerana apa juga yang dibina oleh pengetahuan, penyaksian, khayalan, fikiran, cita-cita dan angan-angan semuanya runtuh dan lemah longlai apabila berhadapan dengan Zat Allah s.w.t. Tidak ada apa yang boleh mengatakan atau menggambarkan tentang Yang Hakiki. Apa yang tinggal adalah kejahilan. Inilah tahap fana yang sebenarnya. Sebelum mencapai kehairan-hairanan dan kejahilan hakiki, seseorang itu sebenarnya belum lagi memperolehi fana hakiki. Jangan cepat menyangka diri sudah mencapai matlamat dan berhubung dengan Tuhan. Perjalanan masih lagi jauh.
Bukanlah pengetahuan (ilmu) dan pengenalan (makrifat) yang menandakan seseorang itu sudah sampai ke penghujung jalan. Selagi ada ilmu dan makrifat selagi itulah jalan belum tamat. Tanda seseorang itu sampai ke peringkat akhir adalah apabila tidak ada lagi pengetahuan dan tidak ada juga makrifat, kedua-duanya mengaku kalah di hadapan Allah s.w.t. Apa yang ada hanyalah kejahilan hakiki. Tidak ada lagi pendapat tentang Tuhan juga tidak ada walau satu bentuk pun pengenalan mengenai-Nya. Pada ketika itu hamba dengan segala kerendahan hatinya mengakui bahawa tidak ada sesiapa yang mampu memecahkan benteng keperkasaan-Nya yang melindungi keesaan-Nya. Pengetahuan sebenar tentang Tuhan adalah tidak tahu. Pengenalan sebenar tentang Tuhan adalah tidak kenal. Setinggi-tinggi ilmu dan makrifat yang boleh dicapai adalah pengakuan bahawa hanya Dia yang kenal Diri-Nya. Abu Bakar as-Siddik yang sentiasa benar telah mengatakan: “Maha Suci Tuhan yang tidak mengadakan jalan untuk Dia dikenali melainkan memberi kita kesedaran dan pengetahuan yang Dia tidak mungkin dikenali”.
Haruslah difahami tentang tujuan fana dan baqa. Ia bukanlah jalan untuk mendapatkan kekeramatan atau kebolehan yang luar biasa. Ia juga bukan bertujuan mendapatkan ilmu dan makrifat yang tidak ada dalam al-Quran dan tidak diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Ia juga tidak bertujuan mengadakan peraturan baharu yang tidak ada dalam syariat. Fana yang sebenar adalah membuang apa sahaja yang tidak suci, bebas daripada mencintai dunia, dapat membendung fitnah nafsu. Semuanya adalah berdasarkan kehambaan kepada Allah s.w.t. Baqa sebenar adalah melakukan semua perintah Allah s.w.t, menjadikan kehendak-Nya sebagai kehendak diri sendiri tanpa perlu membuang kedirian sendiri. Fana dalam wahyu dan baqa dalam ubudiah adalah jalan yang paling benar dan paling lurus.
Bagi mencapai fana secara sufi, seseorang itu hanya perlu mengalami penyaksian yang satu, diistilahkan sebagai tauhid syuhudi. Dia tidak perlu mempercayai dan berpegang dengan fahaman satu wujud, atau tauhid wujudi atau biasa dikenali sebagai wahdatul wujud. Bukanlah mustahil bagi seorang sufi maju dalam bidang kerohanian, meningkat dari satu makam kepada makam yang lebih tinggi, tanpa dia melibatkan diri dengan fahaman wahdatul wujud atau ikut mengalaminya. Ramai sufi sampai kepada matlamat tanpa melalui pengalaman wahdatul wujud, malah tanpa pengalaman yang demikian perjalanan akan menjadi lebih teratur dan mudah. Orang yang terlibat dengan wahdatul wujud berkemungkinan besar ditawan oleh bayangan yang menyebabkan sukar bagi mereka melepasi suasana tersebut. Orang yang tidak melalui wahdatul wujud mudah sampai kepada matlamat. Golongan wahdatul wujud mengejar bersatu dengan bayangan sementara yang menolak wahdatul wujud menemui Yang Hakiki. Walaupun jalan kesufian sering dikaitkan dengan fahaman dan pengalaman wahdatul wujud tetapi perlulah diketahui bahawa ramai dari kalangan mereka yang beramal menurut tarekat sufi tetapi tidak ditarik kepada hal yang demikian. Jadi, mengikat kesufian dengan wahdatul wujud sebenarnya tidak tepat. Ia hanyalah satu kemungkinan yang ada pada jalan kesufian tetapi bukanlah kemestian. Ramai daripada kalangan sufi yang terdorong kepada wahdatul wujud akhirnya meninggalkan fahaman tersebut dan kembali kepada jalan kenabian. Sufi yang ditarik kepada jalan kenabian memasuki jalan yang dipanggil jalan mahabbah. Kasihan belas Tuhan yang membimbing mereka untuk keluar daripada bayangan awan wahdatul wujud untuk menyaksikan Yang Haq. Sufi yang memasuki jalan mahabbah menafikan wahdatul wujud dan apa sahaja yang disaksikannya. Setelah habis yang disaksikan sufi itu masuk kepada suasana kejahilan dan kehairanan bukan ilmu dan makrifat. Tuhan tidak termasuk di dalam perbatasan ilmu dan makrifat. Setelah sampai kepada kejahilan sebenar, sekiranya seseorang itu dikurniakan pengetahuan maka itulah pengetahuan yang paling benar dan orang yang berkenaan adalah sangat bertuah. Dengan pengetahuan yang sebenar itu seseorang mengetahui bahawa Keesaan yang sebenar tidak muncul di dalam yang banyak. Pengetahuan yang sebenar mengajarkan bahawa hanya Dia yang mengenali Diri-Nya. Itulah pengetahuan yang paling benar selepas mencapai fana yang sebenar, yang diperolehi sesudah menemui kejahilan. Sebelum sampai kepada kejahilan dan kehairanan apa yang dikatakan fana hanyalah kekosongan, bukan kefanaan. Kejahilan ditemui dahulu baharulah kefanaan diperolehi.
 Berasambung...........
Wallahu'alam  
Barakallahu Fikum 
Wasalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatu 
 

 Bismillahirrahmanirrahim...
Allahumma shallii alaa Muhammad Nabiyyil ummi wa barik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Wa umma wabarik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man shalla' alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man lam an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama tuhibbu an yushalli 'alaihi wassallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama amarta an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama yasbaqhis shalawatu 'alaihi wasallim.
 

Allahumma shalli 'alaa Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamasollaita'ala Ibrahim.
Wabarik'ala Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamabarakta'ala Ibrahima fil'alamin.
innaka hamidunmajid
amiin Ya Karim
amiin Ya Wahhab..amiin Ya "Alimun

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly   1 Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu. Bismillahirrahmanirrahim Allahummashalli 'al...