Cari Blog Ini

Kamis, 03 Juli 2014

Haqiki -14 Jalan kesufian


Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu.

Bismillahirrahmanirrahim
Allahummashalli 'alaa Muhammad wa'alaa aalihi wa ashabihi wadlurriyatihi
washallim.

 

“Alhamdulillahi nasta’iinuhu wanastagh firuhu wana’uudzubillaahi min syuruuri anfusinaa waminsayyi ati a’ maalinaa man yahdihillahu falaa mudhilla lahu waman yudhlil falaa haadiya lahu, asyhadu anlaa ilaha illallaahu wah dahulaa syariikalahu wa asyhadu anna muhammadan ‘abduhuu warasuuluhu la nabiya ba’da.”
 


  Haqiki
Jalan kesufian(7)

Jalan fitrah yang diterokai oleh kumpulan manusia yang mengasingkan diri itu menjadi asas kepada jalan yang kemudian hari dikenali sebagai jalan kesufian. Pengasas aliran sufi adalah manusia fitrah yang hidup di dalam masyarakat yang penuh dengan kegelapan, kekeliruan dan ketidak-pastian. Mereka lari daripada kegelapan, kekeliruan dan ketidak-pastian itu sebagaimana Rasulullah s.a.w lari dari suasana jahiliah dahulu. 

Manusia fitrah yang tinggal sendirian itu melakukan amalan yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w iaitu bersembahyang, berpuasa, berzikir dan lain-lain. Amalan mereka tidak bersalahan dengan syariat, cuma bidang syariat yang ada hubungan dengan orang ramai tidak diamalkan. Amalan cara yang demikian kemudian harinya dipanggil suluk.

Manusia fitrah yang hidup di dalam masyarakat yang penuh dengan kegelapan jahiliah akan merasai tekanan dan kegelisahan pada jiwanya. Jalan keluar bagi orang yang seperti ini adalah mengasingkan diri di tempat yang jauh daripada orang ramai dan menghabiskan masanya dengan beribadat kepada Allah s.w.t. Sebahagian daripada golongan yang memilih jalan mengasingkan diri akan terus menerus berada di dalam keadaan demikian sementara sebahagiannya pula kembali kepada masyarakat setelah rohani mereka mencapai kematangan. 

Orang yang memasuki jalan bersendirian terus menerus berada pada jalan kesufian dan yang kembali kepada masyarakat adalah orang sufi yang berpindah dari jalan kesufian kepada jalan kenabian. Orang yang kembali kepada jalan kenabian lebih sempurna perjalanannya dan dari golongan inilah muncul para pendakwah yang membimbing umat manusia kepada jalan Allah s.w.t. Kebanyakan sufi yang telah matang kembali kepada jalan kenabian. Abdul Qadir Jilani, Ibrahim Adham, Junaid, Hasan Basri dan ramai lagi merupakan sufi yang kembali kepada jalan kenabian setelah menyempurnakan jalan kesufian. Mereka adalah ahli sufi yang mengikuti jalan kenabian. 

Sufi yang kembali kepada jalan kenabian ini mempunyai keperibadian yang kuat dan percampuran dengan orang ramai tidak lagi memberi tekanan kepada jiwa mereka, malah mereka mampu membimbing orang lain untuk berjalan kepada Yang Haq. 

Bagi orang yang seperti ini pengembaraan pada jalan kesufian merupakan sebahagian daripada latihan memantapkan kerohaniannya bagi melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah di bumi. Golongan tersebut adalah orang yang menjadi pilihan Allah s.w.t dalam menegakkan syariat-Nya di atas muka bumi dan memimpin umat manusia kepada jalan lurus yang sebenarnya.

Peringkat kewalian pada jalan kesufian berbeza dengan peringkat kewalian pada jalan kenabian. Kewalian sufi masuk kepada suasana meninggalkan semua makhluk dan membenamkan ingatan secara terus menerus kepada Allah s.w.t. 

Kewalian sufi bergerak menghapuskan kehendak diri sendiri dan sifat-sifat kemanusiaan. Sebutan dan ingatan yang terus menerus kepada Allah s.w.t membawa sufi fana diri atau melupakan diri sendiri. Di dalam fana sufi memperolehi jazbah iaitu pengalaman yang berkaitan dengan suasana ketuhanan. Setelah melepasi peringkat fana sufi sampai kepada peringkat baqa atau kekal bersama-sama Allah s.w.t. Di dalam menuju baqa, pada peringkat fana yang paling tinggi sufi hilang kesedaran diri sepenuhnya. Wujudnya hilang dari pandangan dan perasaannya. Hanya Wujud Allah s.w.t sahaja yang menguasainya.

 Pada peringkat tersebut sufi mengalami apa yang diistilahkan sebagai wahdatul wujud, di mana wujud hamba dengan Wujud Tuhan tidak lagi berbeza pada alam perasaan sufi. Suasana demikian diperolehi akibat didorong oleh rasa kecintaan kepada Allah s.w.t secara asyik mahsyuk yang bersangatan dan pada masa yang sama kesedaran terhadap diri sendiri hilang. Pengalaman wahdatul wujud menimbulkan apa yang diistilahkan sebagai mabuk. Sufi hanya melihat kepada Wujud Tuhan, tidak lagi kepada wujud dirinya dan sekalian wujud yang selain Tuhan. 

Bila kewujudan diri sendiri hilang dari alam perasaan sufi sering mengucapkan perkataan yang diistilahkan sebagai latah seperti pengakuan bahawa dirinya adalah Tuhan atau Tuhan yang menjadi bakat dirinya.

Kebanyakan sufi sangat mementingkan pengalaman bersatu dengan Tuhan. Mereka menjalani latihan yang berat-berat bagi menghilangkan kesedaran terhadap diri sendiri, iaitu mencapai fana dan dikuasai oleh kecintaan kepada Allah s.w.t yang mengasyikkan. Bagi memperolehi yang demikian sufi perlu menghapuskan semua keinginannya, sifatnya dan identiti dirinya secara menyeluruh. Pekerjaan yang demikian sangat berat, perlu dilakukan latihan menindas jasad. Latihan yang merbahaya dan luar biasa terkenal di kalangan para sufi di dalam proses meleburkan kedirian mereka. 

Latihan yang demikian membawa sufi melupakan dunia dan akhirat.
Orang sufi percaya rohnya adalah Roh yang dari Allah s.w.t, yang suci bersih. Roh yang suci itu dipenjarakan oleh jasad. Sufi berasa berkewajipan membebaskan rohnya daripada penjara jasad dan mencapai tujuan iaitu bersatu dengan Tuhan. Oleh yang demikian sufi mengistiharkan perang terhadap jasad dengan cara menindas keperluan jasad seperti makan, minum, tidur, tutur-kata, pergaulan dan sebagainya. Selagi rohaninya tidak bebas dari pengaruh jasad sufi tidak akan berasa aman. 

Sikap penindasan terhadap jasad ini menimbulkan kegelisahan, kehangatan dan kemarahan di dalam roh haiwaninya yang menghubungkan rohnya dengan jasad. Tindak-balas daripada roh haiwani itu sering menimbulkan sikap kasar dan agressif pada orang sufi, terutamanya bagi mereka yang berada pada peringkat permulaan melatihkan diri. Setelah dapat menguasai peringkat roh haiwani sufi akan beransur-ansur menjadi tenang dan kesedaran pancainderanya mengecil sehinggalah hilang terus. Dia mencapai kehampiran dengan Tuhan dan seterusnya memasuki suasana bersatu dengan-Nya. Baharulah sufi merasakan kerihatan daripada jihadnya terhadap jasad.

Jalan yang ditempuh itu menyebabkan sufi gemar kepada yang indah-indah, mendengar suara yang merdu, lagu-lagu kasih, puisi dan cerita-cerita percintaan. Sebahagian daripada para sufi terbawa-bawa kepada berzikir secara menyanyi dan menari sambil diiringi oleh muzik. Keadaan yang demikian menambahkan rasa kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan mengubati kerinduan mereka kepada-Nya. Kerinduan kepada Tuhan sangat menekan jiwa dan menimbulkan kegelisahan yang amat sangat. 

Aktiviti yang mengasyikkan dapat meredakan tekanan dan kegelisahan tersebut. Perjalanan yang demikian menyebabkan timbul sikap kasar dan tidak terkawal di kalangan sebahagian sufi, selama kecintaan kepada Tuhan belum mereka kuasai dan kerinduan kepada-Nya belum terubat. 

Kerinduan dan keasyikan menyebabkan sufi lupa bukan sahaja kepada diri dan makhluk, malah sering juga terjadi peraturan syariat dan etika moral tidak diambil berat oleh sebahagian mereka. Sebahagian sufi masih melakukan peraturan syariat tetapi semata-mata kerana menghormati syariat Tuhan bukan kerana menghayati peraturan tersebut.

Para sufi yang bersungguh-sungguh dengan latihan kerohanian mereka, setelah memperolehi keasyikan, akan masuk ke dalam suasana kebatinan di mana mereka menyaksikan rupa, bentuk, cahaya dan warna. Pengalaman yang demikian banyak berlaku pada peringkat awal perjalanan sufi. Penyaksian yang demikian sangat menggembirakan mereka, menambahkan keyakinan dan semangat untuk maju terus. Oleh kerana penyaksian tersebut terjadi di dalam suasana kebatinan yang ghaib, sufi mudah menghubungkan yang disaksikan itu dengan Allah s.w.t. Timbullah konsep ketuhanan yang tidak jelas dan mengelirukan.

Penghujung jalan para asyikin adalah bersatu dengan Tuhan. Sufi mengalami kefanaan, dirinya hilang dia berkamil dengan Tuhan. Dia dikuasai oleh suasana ketuhanan. Pada peringkat ini sering terjadi ucapan latah seperti: “Ana al-Haq!” Ucapan latah yang meletakkan ketuhanan pada diri itu berlaku kepada sufi ketika kesedaran terhadap diri sendiri hilang lenyap. Suasana yang demikian diistilahkan sebagai mabuk. Dalam suasana yang demikian hubungan hati orang sufi dengan Tuhan sangat erat. Dia telah melepaskan segala-galanya demi Tuhannya. Dia telah membuang makhluk dan dirinya demi kecintaannya kepada Tuhan. 
Gelombang kefanaan yang melanda hati sufi itu mengubah suasana kebatinannya menyebabkan sering muncul keajaiban daripada dirinya, doanya cepat makbul, perkataannya menjadi kenyataan, dia boleh melakukan perkara yang luar biasa seperti berjalan di atas air atau masuk ke dalam api. Hasilnya bertambah teguhlah keyakinannya terhadap apa yang dipegangnya.
 Berasambung...........
Wallahu'alam  
Barakallahu Fikum 
Wasalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatu 
 

 Bismillahirrahmanirrahim...
Allahumma shallii alaa Muhammad Nabiyyil ummi wa barik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Wa umma wabarik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man shalla' alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man lam an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama tuhibbu an yushalli 'alaihi wassallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama amarta an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama yasbaqhis shalawatu 'alaihi wasallim.
 

Allahumma shalli 'alaa Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamasollaita'ala Ibrahim.
Wabarik'ala Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamabarakta'ala Ibrahima fil'alamin.
innaka hamidunmajid
amiin Ya Karim
amiin Ya Wahhab..amiin Ya "Alimun

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly   1 Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu. Bismillahirrahmanirrahim Allahummashalli 'al...