Cari Blog Ini

Kamis, 03 Juli 2014

Haqiki-16 Kewalian Jalan Nabi dan Jalan sufi


Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu.

Bismillahirrahmanirrahim
Allahummashalli 'alaa Muhammad wa'alaa aalihi wa ashabihi wadlurriyatihi
washallim.

 

“Alhamdulillahi nasta’iinuhu wanastagh firuhu wana’uudzubillaahi min syuruuri anfusinaa waminsayyi ati a’ maalinaa man yahdihillahu falaa mudhilla lahu waman yudhlil falaa haadiya lahu, asyhadu anlaa ilaha illallaahu wah dahulaa syariikalahu wa asyhadu anna muhammadan ‘abduhuu warasuuluhu la nabiya ba’da.”
 


  Haqiki

Kewalian Jalan Nabi dan Jalan sufi (8)

Terdapat banyak perbezaan dari segi pengalaman, penyaksian, fahaman dan pegangan di antara pengembara pada jalan kesufian dengan pengembara pada jalan kenabian. Kewalian sufi diliputi oleh bayangan yang menyata sebagai tajalli-tajalli, sedangkan ia adalah hijab kepada Yang Haq. Kewalian sufi memasuki suasana menyaksikan rupa bentuk, cahaya dan warna. 

Cinta yang menguasai kewalian sufi adalah cinta yang mengasyikkan dan memabukkan, menghilangkan rasional. Kewalian pada jalan kenabian atau kewalian para sahabat Rasulullah s.a.w tidak melalui suasana tajalli dan penyaksian kepada rupa bentuk, cahaya dan warna. Pada jalan kenabian, cinta para sahabat kepada Allah s.w.t menyata sebagai ketaatan yang sejati berlandaskan kehambaan yang sebenar-benarnya. Kewalian sufi berpisah daripada dunia dan akhirat. Pada kewalian para sahabat pula, dunia dan akhirat menjadi daerah kekhalifahan mereka. 

Mereka bertanggung-jawab kepada kehidupan dunia dan mereka bekerja untuk keselamatan di akhirat.

Kehampiran dengan Tuhan pada kewalian sufi bercampur dengan unsur bayangan dan terdapat hijab padanya. Penyaksian sufi sering tertumpu kepada bentuk-bentuk misal yang dinisbahkan kepada Tuhan. Orang sufi biasa mengatakan mereka melihat Tuhan sebagai cuaca subuh atau sebagai satu bentuk atau satu warna. 

Gambaran misal itu menjadi hijab yang menutupi penyaksian terhadap Allah s.w.t yang tidak berupa, tidak berbentuk, tidak berwarna, tidak bercahaya dan tidak ada sesuatu yang menyerupai-Nya: “Laisakamislihisyaiun” .Pada kewalian terdapat husul iaitu sampai kepada Tuhan. Pada husul terdapat hijab atau bayangan iaitu gambaran misal, dan orang yang memasuki peringkat husul menyatu dengan bayangan atau misal yang dinisbahkan kepada Tuhan, sama ada misal itu cahaya, warna, dirinya sendiri atau apa sahaja. 

Penyatuan dengan hijab atau misal ketuhanan itu dirasakan sebagai bersatu dengan Zat Tuhan. Oleh itu melalui husul perbezaan di antara hamba dengan Tuhan dihapuskan. Hamba dengan Tuhan dipertemukan pada satu wujud dan dinamakan wahdatul wujud. Wahdatul wujud hanyalah bayangan, bukan Yang Haq. Kemabukan ketika dilambung gelombang kefanaan yang menghasilkannya. 

Yang Hakiki hanya ditemui selepas meninggalkan peringkat fana dan mabuk.
Kewalian pada jalan kenabian, kewalian para sahabat, tidak bercampur dengan suasana mabuk, tidak ada fana, bebas daripada bayangan yang menghijab Yang Hakiki. 

Kewalian para sahabat memperolehi wusul atau berjumpa Tuhan tanpa dihijabkan oleh gambaran misal yang dinisbahkan kepada Tuhan. Pertemuan di antara hamba dengan Tuhan berlaku secara jaga, sedar, bukan dalam suasana mabuk. Bila tidak diganggu oleh mabuk dan gambaran misal, hamba menyaksikan kehambaan dirinya dan hamba menyaksikan ketuhanan Tuhannya. 

Hamba menyaksikan Tuhan yang :  “Laisakamislihisyaiun” – tiada sesuatu yang serupa dengan-Nya, bagaimana Dia dimisalkan oleh sesuatu. Wujud Tuhan dengan wujud hamba boleh dibezakan. Mata keyakinan wali pada jalan kenabian menyaksikan Tuhan Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi dari apa yang disifatkan, digambarkan dan dimisalkan. Penemuan wali pada jalan kenabian sama dengan kenyataan al-Quran dan pengajaran Rasulullah s.a.w. Kewalian pada jalan kenabian itulah yang benar-benar berjumpa dengan Yang Haq. 

Bila Yang Hakiki ditemui seseorang itu bebas daripada tarikan keasyikan kepada nyanyian dan tarian, bebas daripada mabuk dan pengaruh wahdatul wujud. Tidak terjadi tajalliyat, tidak ada gangguan bayangan dan misalan dan lain-lain yang biasa ditemui pada jalan kesufian. Sebab itu kelakuan ganjil yang biasa menyerang orang sufi tidak didapati berlaku kepada para sahabat Rasulullah s.a.w. Kewalian para sahabat melahirkan kecintaan kepada Allah s.w.t secara ketaatan dengan penuh kerelaan di atas landasan kehambaan yang sebenar-benarnya.

Tajalliyat, sama ada berlaku dalam rupa bentuk, atau di bawah hijab cahaya dan warna, berlaku pada kewalian sufi terutamanya pada peringkat awal perjalanan. Penjelmaan dan tajalliyat adalah bayangan kepada Yang Haq. Tajalli dan penyaksian tertuju kepada bayangan. Orang yang menolak bayangan bebas daripada tajalliyat. Orang yang memasuki jalan kenabian bebas daripada tajalliyat tetapi jika dia sampai kepada jalan kenabian melalui jalan kesufian, pengalaman tajalliyat ditemuinya.

Orang yang memasuki jalan kesufian bekerja untuk menghapuskan semua kehendak. Pada jalan kenabian penghapusan kehendak tidak dituntut. jalan kenabian memperakui bahawa kehendak yang asli adalah baik. Kehendak menjadi jahat apabila diarahkan kepada bahan-bahan dan perkara-perkara jahat. 

Jadi, bahan dan perkara jahat yang perlu dihapuskan daripada kehendak, bukan kehendak itu sendiri secara keseluruhannya. Kehendak perlu diarahkan kepada sesuatu yang baik menurut petunjuk syariat. Syariat telah menggariskan sempadan yang baik dan yang jahat. Pengembara pada jalan kenabian dikehendaki menjaga dan mengawal kehendak agar tidak keluar daripada daerah yang baik.

Selain daripada penghapusan kehendak, orang yang memasuki jalan kesufian juga menghapuskan sifat-sifat kemanusiaannya. Pada jalan kenabian pula syariat memisahkan sifat kemanusiaan yang baik daripada yang jahat. Orang yang memasuki jalan kenabian hanya perlu menghapuskan sifat yang jahat dan keji, tidak perlu menghapuskan sifat kemanusiaan keseluruhannya. 

Pada kewalian sufi didapati penafian perbuatan diri sendiri, sifat-sifat diri sendiri dan kewujudan diri sendiri. Semua perkara dan segala sesuatu diisbatkan kepada Allah s.w.t semata-mata. Hal atau suasana penafian diri merupakan ciri kefanaan. Orang yang terus kepada jalan kenabian tidak terlibat dengan penafian diri, sifat dan perbuatan, tetapi jika dia sampai kepada jalan kenabian melalui jalan kesufian dia mengalami juga hal yang demikian.

Kewalian pada jalan kesufian dinamakan wali kecil dan ia dibaluti oleh bayang-bayang yang bercampur dengan perkara-perkara yang tidak jelas dan samar-samar. 

Wali pada jalan kenabian, termasuklah wali yang telah melepasi jalan kesufian dan memasuki jalan kenabian, adalah lebih sempurna. Jalannya, fahamannya, pegangannya dan tindak-tanduknya lebih jelas, pasti dan nyata. Wali pada jalan kesufian gemar menggunakan istilah yang ganjil-ganjil dan tidak jelas maksudnya. Mereka suka mengadakan huraian secara berteka-teki yang sukar dimengerti maksudnya. Hujah mereka banyak bersandar kepada pengalaman kerohanian seperti zauk dan kasyaf tanpa merujuk kepada sumber yang lebih kuat iaitu al-Quran, as-Sunah ijmak ulama. Wali pada jalan kenabian pula sentiasa bersikap rasional, bersandar kepada sumber yang muktabar dan boleh diterima oleh akal yang sihat. 

Apabila wali sufi meningkat dan sampai kepada kewalian cara kenabian dia akan meninggalkan daerah yang kesamaran dan meragukan. Dia akan bergabung dengan wali-wali cara kenabian yang lain di dalam mengembangkan syiar agama Islam menurut ajaran al-Quran, as-Sunah dan muafakat ulama.

Bagi orang yang dipimpin, walaupun pada peringkat permulaannya dia memasuki jalan kewalian sufi namun, akhirnya dia akan sampai kepada jalan kewalian cara kenabian. Pengalamannya dalam bidang kewalian sufi membantunya membentuk keyakinan setelah dia berpindah kepada kewalian cara kenabian. Walaupun kebanyakan sufi yang terkenal memulakan perjalanan cara kewalian sufi dan kemudiannya berpindah kepada kewalian cara kenabian, tetapi kewalian cara sufi bukanlah syarat yang mesti bagi memperolehi kesempurnaan kewalian cara kenabian. 

Ramai orang yang terus pergi kepada kewalian cara kenabian tanpa melalui cara kesufian, terutamanya pada zaman Rasulullah s.a.w. Para sahabat yang terus memasuki cara kenabian dan menetap pada jalan tersebut tanpa memasuki cara sufi telah mencapai darjat kewalian yang paling tinggi dibandingkan dengan wali-wali pada semua zaman. Selepas Rasulullah s.a.w, para sahabat adalah contoh yang paling baik untuk diikuti. Rasulullah s.a.w telah mengasuh satu kumpulan manusia sempurna yang boleh diikuti oleh kaum Muslimin yang datang kemudian.
 Berasambung...........
Wallahu'alam  
Barakallahu Fikum 
Wasalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatu 
 

 Bismillahirrahmanirrahim...
Allahumma shallii alaa Muhammad Nabiyyil ummi wa barik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Wa umma wabarik 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man shalla' alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad Biadadi man lam an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama tuhibbu an yushalli 'alaihi wassallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama amarta an yushalli 'alaihi wasallim
Allahumma shallii 'alaa Muhammad kama yasbaqhis shalawatu 'alaihi wasallim.
 

Allahumma shalli 'alaa Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamasollaita'ala Ibrahim.
Wabarik'ala Muhammadin wa'ala ali Muhammadin kamabarakta'ala Ibrahima fil'alamin.
innaka hamidunmajid
amiin Ya Karim
amiin Ya Wahhab..amiin Ya "Alimun

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly

Risalah Alladuniyah-Imam Ghazaly   1 Assalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatu. Bismillahirrahmanirrahim Allahummashalli 'al...